“Peliharalah segala solatmu dan peliharalah solat wustho. Berdirilah kerana Allah dalam solatmu dengan khusyu. ” – al-Baqarah: 238
Ayat al-Quran di atas menyebutkan tentang menjaga solat wustho. Ulama mufassirin berbeza pandangan dalam merungkai apakah maksud sebenar solat wustho. Ada yang mengaitkannya dengan solat Maghrib, Isyak, Subuh, Zohor dan Asar. Malah ada juga yang tidak mengkhususkan langsung dengan solat lima waktu.
Wustho adalah kalimah Arab yang membawa maksud tengah. Maka solat wustho adalah solat yang berada ditengah-tengah waktu.
Wustho adalah Zohor
Dr. Wahbah Zuhaili di dalam tafsir al-Munir menyatakan, Imam Ahmad, Bukhari, Abu Daud, al-Baihaqi dan Ibnu Jarir at-Thobari daripada Zaid bin Tsabit menjelaskan sebab turunnya ayat 238 kerana, Nabi s.a.w. menunaikan solat Zohor pada pertengahan siang (tengah hari) yang merupakan solat paling berat untuk dikerjakan oleh sahabat Baginda, maka turunlah ayat ini.
Terdapat satu lagi riwayat daripada Imam Ahmad, an-Nasaie, Ibnu Jarir at-Thobarie daripada Zaid bin Tsabit,
“Sesungguhnya Nabi s.a.w. solat Zohor pada pertengahan siang (tengah hari). Tiadalah di belakang Nabi melainkan satu dan dua saf sahaja kerana manusia sedang berehat dan berniaga. Maka turunlah ayat ini.”
Berdasarkan dua hadis di atas, sebahagian ulama berpendapat, yang dikatakan solat wustho itu ialah solat Zohor. Pendapat ini juga diterima oleh ibnu Ma’bad yang mengatakan,
“Ketika kami duduk di tempat Zaid bin Tsabit, dikirim orang untuk bertanya Usamah bin Zaid tentang solat wustho. Maka jawabnya, “Zohor, yang biasa dilaksanakan Nabi s.a.w. pada saat yang panas hingga termasuk solat yang berat di kalangan sahabat.
Wustho adalah Subuh
Solat wustho juga turut dikaitkan dengan solat Subuh berdasarkan riwayat Abi Raja’ al-Utharidi yang berkata,
“Aku solat Subuh di belakang Ibnu Abbas r.a. maka dia berqunut dengan mengangkat kedua-dua tangannya.” Usai solat, dia berkata, “Inilah solat Wustho yang kami diperintah qunut di dalamnya.” – HR Imam Malik & Ibnu Jarir
Begitu juga, Jabir r.a. turut menyatakan, solat wustho adalah solat Subuh. Berkata Abul Aliyah,
“Aku solat Subuh di masjid Basrah di belakang Abdullah bin Qais, kemudian aku bertanya kepada seorang sahabat, “Yang manakah solat wustho?” Jawabnya, “ya inilah solat wustho.”
Imam Syafie juga menjadikan riwayat di atas sebagai hujah beliau dalam menetapkan bacaan qunut dalam solat Subuh berdasarkan ayat “wa quunu lillahi qanitin.”
Begitu juga, jika kita merujuk tafsir al-Quran al-Azhim, solat Subuh dinamakan wustho kerana ia solat yang tidak diqasarkan, dan terletak di antara dua solat empat-empat yang boleh diqasarkan, iaitu solat Isyak dan Zohor, serta yang dibaca dengan jahr (kuat) dan sirr (perlahan).
Selain itu menurut tafsir al-Munir, solat wustho disandarkan pada solat Subuh kerana, waktu Subuh adalah waktu yang paling seronok dan bersemangat untuk tidur dibuai mimpi indah, yang menjadikan manusia bermalas-malasan untuk menunaikannya. Ia juga merupakan solat yang paling berat untuk golongan munafik.
Wustho adalah Asar
Namun begitu tegasnya, pendapat yang paling umum dan disepakati oleh para sahabat dan jumhur ulama, solat wustho adalah solat Asar. Ini berdasarkan riwayat daripada Ali bin Abi Thalib r.a. yang berkata, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda dalam peperangan Ahzab,
“Orang-orang kafir telah merintangi kami untuk melakukan solat wustho iaitu solat Asar. Semoga Allah memenuhi hati dan rumah mereka dengan api, kemudian Baginda s.a.w. melakukan solat itu selepas Maghrib.”

Abu Yunus maula Aisyah r.ha. turut meriwayatkan dengan berkata,
“Aku disuruh oleh Aisyah r.ha untuk menulis mashaf. Maka dia berpesan supaya memberitahunya jika sampai pada ayat ini. Aku memberitahunya, lalu dia berkata kepada ku, “Peliharalah segala solat mu, dan peliharalah solat wustho dan solat Asar. Berdirilah kerana Allah dalam solat mu dengan khusyuk. Lalu dia berkata, “Begitulah yang aku dengar daripada Rasulullah s.a.w.”
Terdapat satu kisah yang diriwayatkan daripada Abdullah r.a. katanya,
“Orang-orang musyrik menahan Rasulullah s.a.w. solat Asar sehingga matahari telah kemerah-merahan atau kekuningan. Maka bersabda Baginda s.a.w., mereka menghalangi kita solat wustho yakni solat Asar. Allah memenuhi perut dan kubur mereka dengan api.” – (HR Muslim)
Wustho adalah solat rohani
Adapun pendapat kedua yang tidak mengkhususkan solat wustho sebagai solat yang lima adalah pendapat dari Syeikh Abdul Qadir al-Jailani. Beliau berpendapat surah al-Baqarah ayat 238 ini mempunyai dua perintah yang berbeza.
Pertama, “peliharalah segala solat mu” ia merujuk solat lahiriah, dan seterusnya, “peliharalah solat wustho” bermaksud memelihara solat rohani.
Bagi ulama fekah, mereka mendefinasikan solat lahiriah sebagai beberapa perkataan, dan perbuatan yang dimulai dengan takbirratulihram dan diakhiri dengan salam. Ia merangkumi apa jua solat yang didirikan. Manakala solat rohani pula, adalah solat yang dilakukan oleh hati, dengan secara terus menerus.
Oleh itu, menurut Syeikh Abdul Qadir lagi, solat wustho sesuai dengan maknanya tengah yang memiliki persamaan dengan posisi hati yang berada ditengah-tengah, iaitu di pusat kesedaran dan titik keseimbangan seorang manusia. Yang demikian, maksud solat wustho adalah, usaha seorang manusia menjaga hatinya, untuk selalu berada di pusat kesedaran dengan mengingati Allah, menyebut nama Allah, bahkan bertemu dengan Allah secara rohani. Hatinya tidak pernah lalai dan tidak pernah tidur, bahkan selalu berzikir dan menghadirkan Allah s.w.t. dalam diri.”
Solat lahiriah dilakukan hanya dalam waktu-waktu tertentu, masjidnya adalah ruangan fizikal, dan jamaah dalam solat ini, adalah bersama dengan saudara-saudara seiman.

Manakala solat rohani adalah solat yang dilakukan setiap masa dan ketika, kerana itu ada yang menamakannya dengan solat da’im atau dawam (berterusan). Masjidnya di dalam hati, dan jemaahnya, menghimpunkan seluruh kekuatan dan potensi diri (akal, roh dan anggota) untuk bersama-sama mengagungkan dan melafazkan nama Allah S.W.T..
Dari itu, dapat difahami bahawa pandangan Syeikh Abdul Qadir berkaitan dengan perkara ini bahawa, Allah telah memfokuskan solat wustho bertujuan menunjukkan bahawa, ia menjadi sesuatu yang sangat penting untuk dilakukan.
Solat lahiriah yang kita kerjakan setiap waktu itu akan menjadi sia-sia, jika tidak diiringkan dengan kemampuan untuk melaksanakan solat rohani. Namun begitu, bukan bererti solat lahiriah boleh kita abaikan, dan hanya mementingkan kepada solat rohani.
Dalam hal ini kedua-duanya penting untuk diseimbangkan sesuai dengan perintah Allah agar mendirikan solat dengan solat yang penuh khusyuk. Bermakna untuk solat bukan sahaja memerlukan pergerakan anggota zahir malah turut digerakkan dengan sepenuh hati. Wallahu a’lam
__________________________________
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram