Hanya 10.45 juta isi Banci 2020, e-Census masih dibuka

0
15

HANYA 10.45 juta atau 35 peratus sahaja daripada 32.7 juta rakyat Malaysia telah mengisi maklumat Banci Penduduk dn Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020).

Sehubungan itu, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin memohon kerjasama orang ramai supaya segera mengisi maklumat berkenaan.

Menurut Mohd. Uzir, sistem e-Census yang disediakan juga masih dibuka sekiranya orang ramai ingin membuat pengisian tanpa pertemuan secara bersemuka.

Beliau berkata, Jabatan Perangkaan masih belum melaksanakan Banci 2020 secara besar-besaran melalui pertemuan bersemuka disebabkan kekangan penularan Covid-19.

“Banci 2020 telah bermula sejak 7 Julai lalu dengan pelaksanaan banci dalam talian (e-Census) dan kaedah Temu Ramah Melalui Telefon (CATI).

“Apa yang dilaksanakan ketika ini adalah anggota kami bergerak membuat bancian bersemuka secara bersasar yang tidak ada kekangan dari segi pergerakan dan mengikut kesesuaian serta keselesaan komuniti setempat.

“Jika orang ramai tidak selesa dengan sistem e-Census, anggota kami di lapangan akan membantu menggunakan sistem CATI atau kami boleh menghantar soalan kaji selidik secara manual,” katanya dalam sesi soal jawab program Hari Bersama Pelanggan Jabatan Perangkaan secara maya, hari ini.

Baca artikel berkaitan: Lebih 700,000 mengganggur di Malaysia

Banci 2020 telah dilaksanakan secara dua fasa yang pada asalnya tempoh fasa pertama bermula 7 Julai hingga 30 September tahun lalu manakala tempoh fasa kedua dari 7 hingga 24 Oktober 2020.

Namun begitu, tempoh pelaksanaannya telah dijadualkan semula.

Bulan lalu, Mohd. Uzir dilaporkan berkata sebanyak 3.3 juta tempat kediaman telah dibanci menggunakan platform e-Census yang dibuka semula bagi menyokong usaha kerajaan membendung penularan Covid-19.

Menurut beliau yang juga Pesuruhjaya Banci 2020, terdapat 320,000 isi rumah melibatkan 1.2 juta penduduk telah mendaftar di platform e-Census tetapi masih belum melengkapkan pengisian dalam talian itu sepenuhnya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram