KDNK melonjak tidak bermakna rakyat rasai impak segera

0
99

LANGKAH melonggarkan kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pengenalan pelbagai pakej rangsangan ekonomi dan juga program vaksinasi yang akan bermula esok disifatkan sebagai pemangkin unjuran pertumbuhan positif Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini.

Walau bagaimanapun, kerajaan menggalas misi besar bagi memastikan unjuran pertumbuhan ekonomi itu selari dengan kedudukan kehidupan rakyat yang sebahagian besar terkesan akibat pandemik Covid-19.

Hal demikian menurut Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid adalah kerana lonjakan KDNK sebenarnya tidak bermaksud rakyat dapat merasai impak segera.

Sehubungan itu, beliau berkata, pembuat polisi seharusnya memastikan pertumbuhan ekonomi dapat memberi nikmat kepada rakyat bertepatan dengan konsep Wawasan Kemakmuran Bersama yang diterapkan kerajaan.

Katanya, unjuran positif terhadap ekonomi negara tahun ini tidak seharusnya hanya dinikmati golongan korporat besar atau syarikat multi nasional (MNC) sahaja tetapi juga kepada sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta rakyat secara menyeluruh.

“Kadangkala pengeluaran sektor pembuatan MNC dan korporat besar memang boleh memberikan indikator positif, namun tidak membawa maksud ia menyeluruh kepada semua.

“Walaupun KDNK melonjak, ia tidak bermaksud rakyat dapat merasai impak segera tetapi secara tidak langsung kita dapat merasai nikmat terutama dari segi kewujudan pekerjaan baharu, peningkatan upah dan aktiviti ekonomi lebih rancak yang memberi kesan positif permintaan kepada PKS,” katanya ketika dihubungi UtusanTV.

Baca artikel berkaitan: Total lockdown: Memang kurang kes tapi kesan ekonomi amat negatif – PM

PKP2.0: Semua sektor ekonomi akan dibenar beroperasi

Semalam, Kumpulan Bank Dunia menjangkakan pertumbuhan positif ekonomi Malaysia selari dengan ekonomi negara lain seluruh dunia jika penerima vaksin terus diperluas.

Bank Dunia mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Malaysia tahun ini akan berada pada kadar di antara 5.6 dan 6.7 peratus berbanding pertumbuhan global berjumlah empat peratus.

Namun begitu, Ahli Ekonomi Utama Makroekonomi, Perdagangan dan Pelaburan Bank Dunia, Richard Record turut mengingatkan risiko penurunan pertumbuhan termasuk jangkitan kes baharu yang boleh menyebabkan PKP bakal memberi kesan besar kepada ekonomi.

Mengulas lanjut, Baharom turut berpendapat angka pertumbuhan yang disasarkan Bank Dunia adalah tepat tetapi bergantung kepada kejayaan kerajaan memulihkan ekonomi kepada golongan sasar.

“Dengan pelbagai langkah dilaksanakan kerajaan ketika ini, memang wajar kita berkeyakinan bahawa proses pemulihan seterusnya pengukuhan ekonomi dapat disegerakan sekali gus membuatkan pertumbuhan KDNK dijangka positif,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram