Kotor dan berkuman. Biskut tanah ini selamatkan perut mereka daripada mati kebuluran

0
330

Pernahkah anda mendengar biskut yang diperbuat daripada tanah? Di Haiti, sebuah negara yang terletak di bahagian barat Pulau Hispaniola di Laut Caribbean, penduduknya menjadikan biskut tanah atau dikenali dengan nama ‘bon bon terres’ sebagai makanan untuk mengalas perut mereka.

Haiti

Golongan miskin di sini tidak mempunyai banyak pilihan untuk menyara diri. Apa saja sumber yang ada asalkan boleh dijadikan makanan, itu sudah penting untuk kelansungan hidup mereka. Daripada situ, maka terhasillah bon bon terres sebagai makanan untuk mengisi perut mereka.

Biskut tanah yang dipanggil ‘bon bon terres’.

Jijik? Kotor? Perkara itu tidak lagi difikirkan. Yang penting, perut yang lapar boleh diisi.

Penduduk Haiti menghasilkan biskut tanah daripada tiga bahan utama iaitu tanah liat, garam dan minyak sayuran. Lumpur atau tanah liat diperoleh di sekitar kawasan rumah ataupun dibeli di pasar-pasar tempatan.

Ketiga-tiga ramuan berkenaan dicampurkan sehingga sebati dan dibentuk menjadi cakera bulat. Kemudian, kepingan biskut berwarna coklat cair itu diletakkan di bawah cahaya matahari untuk proses pengeringan. Setelah selesai, bon bon terres boleh dinikmati sebagai juadah.

Celaine Denies, seorang wanita tempatan memberitahu, dia membesar dengan hidangan tersebut sebagai makanan ruji. Ramuan yang sama telah diadun oleh neneknya ketika dia masih kecil. Berat hatinya untuk memberi makan biskut tanah itu kepada kanak-kanak. Ini kerana dia tahu bahan utama yang terkandung di dalamnya adalah kotor dan tidak mengandungi nutrisi yang sihat.

Situasi yang sama turut berlaku ke atas peniaga yang menjual bon bon terres. Marie Noel, seorang warga tempatan terpaksa menjual biskut tanah ini sebagai sumber pendapatan bagi menyara tujuh orang anaknya. Pada masa sama, hidangan tersebut turut menjadi alas perut buat dia dan keluarga.

Noel berharap suatu hari nanti dia dan keluarganya akan dapat menikmati bekalan makanan berkhasiat yang cukup. Paling penting, mereka boleh berhenti daripada menjamah biskut tanah yang dipenuhi kotoran itu.

Kesusahan hidup yang dialami penduduk Haiti menyebabkan mereka berisiko tinggi terdedah dengan keracunan. Bagaimanapun, mereka memilih untuk bertahan meskipun terpaksa berhadapan dengan sebarang risiko daripada mati akibat kebuluran. Tambahan lagi, masyarakat di sini sudah berasa lali dengan sakit perut yang ada kalanya datang secara tiba-tiba.

Dalam pada itu, pakar kesihatan mendedahkan pelbagai jenis penyakit akan dihadapi mereka sekiranya memakan biskut tanah secara berterusan. Mereka bukan saja mengalami pemakanan tidak seimbang, bahkan juga risiko terkena penyakit daripada bakteria dan kuman tanah itu sendiri.  Selain itu, kerosakan pada gigi juga boleh berlaku terutama dalam kalangan kanak-kanak.

Bagi penduduk di sana, mungkin berkata-kata adalah mudah sedangkan mereka yang menghadapinya. Jika diberi pilihan, sudah tentu mereka juga tidak mahu menjamah biskut tanah tersebut. Tetapi apakan daya, kehidupan yang sukar dibelenggu kemiskinan membuatkan mereka tiada pilihan.

Laporan CNN mendedahkan Haiti adalah salah sebuah negara yang paling padat dan merupakan salah satu negara termiskin di Hemisfera Barat. Menurut CIA World Factbook, 80 peratus penduduknya hidup dalam kemiskinan.

80 peratus penduduk Haiti hidup dalam kemiskinan menyebabkan mereka tidak mempunyai sumber makanan yang sihat.

____________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram.