Malaysia Airlines terima suntikan RM3.6b daripada Khazanah

0
48

KHAZANAH Nasional Berhad menyatakan komitmen untuk menyuntik modal baharu sebanyak RM3.6 bilion kepada syarikat induk Malaysia Airlines Berhad (MAB), Malaysia Aviation Group (MAG) sehingga 2025 sepanjang tempoh penstrukturan semula syarikat tersebut.

Komitmen terbaharu itu hadir selepas Mahkamah Tinggi United Kingdom (UK) memberi ‘lampu hijau’ terhadap pelan penstrukturan semula hutang MAB bernilai RM16 bilion yang dijangka selesai awal bulan hadapan.

MAG dalam kenyataan turut mengumumkan Mahkamah Tinggi Keadilan England dan Wales telah mempersetujui Skim Pengaturan di bawah Bahagian 26 Akta Syarikat UK 2006 antara entiti pemajakan MAG, MAB Leasing Limited dengan majoriti pemberi pajak operasi pesawat MAG.

Menurut MAG, skim yang menjadi komponen penting penstrukturan lebih luas dan mengurangkan liabiliti lebih RM15 bilion itu mendapat sokongan penuh pemberi pajak yang relevan.

Syarikat penerbangan itu menjelaskan, langkah penstrukturan semula dan skim tersebut bakal membantu mencapai perjanjian dua hala dengan pemberi pajak kewangan, pemberi pajak enjin gantian, pembekal perkhidmatan penyelenggaraan, pemberi pinjaman korporat dan entiti berkaitan kerajaan Malaysia.

“Kini, selepas skim dipersetujui secara rasmi oleh Mahkamah UK, syarikat boleh meneruskan pelaksanaan pelan penstrukturan semula dengan sokongan pemegang saham tunggal iaitu Khazanah dan pemegang taruh sedia ada.

“Ia bagi memastikan masa hadapan syarikat negara itu di samping menyediakan keterhubungan penting kepada Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

November lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dilaporkan berkata Khazanah telah menyuntik sejumlah RM28 bilion kepada MAB setakat ini.

Mengulas lanjut, MAG turut menjelaskan antara elemen penting penstrukturan termasuk langkah proaktif yang telah dilakukan untuk menghadapi krisis Covid-19 melalui pemotongan rangkaian, penjimatan kos struktur, pemuliharaan tunai dan inisiatif penundaan pembayaran.

“Ini diterjemahkan kepada sejumlah RM5.5 bilion pada tahun 2020 dan sasaran RM397 juta untuk suku pertama 2021.

“Selain itu, pemberi pajak operasi juga telah menyokong syarikat dengan menetapkan semula kadar pajakan kepada pasaran dan penundaan yang turut dilaksanakan dengan institusi kewangan serta pemberi pajak lain,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram