Siri animasi Omar & Hana telah berjaya merekodkan lebih 100,000 langganan menerusi saluran Youtube berbahasa Arab sejak enam bulan dilancarkan.

Dengan lebih 20 juta jam masa tontonan, pencapaian ini menunjukkan perkembangan yang menggalakkan bagi jenama Omar & Hana di persada antarabangsa.

Berdasarkan kaji selidik Digital Durian yang melibatkan golongan ibu bapa kepada peminat Omar & Hana, terdapat permintaan untuk kandungan yang berasaskan Islam oleh ibu bapa dari rantauan Timur Tengah dan Utara Africa (MENA).

Emiriah Arab Bersatu (UAE) tersenarai dalam 10 negara yang berminat dengan Omar & Hana YouTube versi bahasa Inggeris. Dengan data statistik ini, keputusan menghasilkan siri Omar & Hana dalam bahasa Arab untuk memenuhi permintaan peminat yang semakin meningkat adalah langkah seterusnya yang terbaik.

Terdapat juga permintaan muzik instrumental berdasarkan budaya di UAE untuk digunakan. Pendekatan ini dilihat sebagai satu kejayaan berdasarkan pencapaian untuk saluran YouTube versi Bahasa Arab Omar & Hana.

Menurut penerbitnya, Fadilah A. Rahman, pihak mereka menerima banyak permintaan untuk menghasilkan lebih banyak siri animasi Omar & Hana dalam pelbagai bahasa terutama sekali Arab.

“Kami mendapat sambutan yang luar biasa dari penonton Arab siri animasi Omar & Hana dalam bahasa Inggeris dan melihat bahawa ada permintaan untuk kandungan kami dalam bahasa Arab, terutama sokongan dari rantau MENA.

“Terima kasih kerana menyokong Omar & Hana bahasa Arab ini. Kami berharap agar dapat terus menyebarkan nilai-nilai murni ke seluruh dunia melalui kandungan Omar & Hana. Teruskan menonton dan jangan lupa untuk melanggan saluran rasmi YouTube Omar & Hana,” katanya.

Video Omar & Hana versi bahasa Arab ditonton oleh kanak-kanak serata dunia dari lebih 50 negara, terutamanya di Arab Saudi, Turki, Iraq, Mesir dan Algeria.

Bahasa Arab merupakan bahasa keempat yang diterbitkan oleh Digital Durian bagi Omar & Hana, diikuti oleh bahasa Melayu, Inggeris dan Indonesia. Malah, siri animasi itu juga akan turut disiarkan dalam bahasa Urdu tidak lama lagi.

Siri animasi Omar & Hana bersiaran setiap Jumaat, jam 11 pagi di Astro Ceria. Kesemua episod Omar & Hana juga boleh distrim secara eksklusif bagi pelanggan Astro melalui aplikasi Astro GO.