Tidak hadir perbicaraan, mahkamah keluar waran tangkap untuk Sajat

0
310
Sajat didakwa di mahkamah syariah di Shah Alam. / Gambar media sosial

MAHKAMAH Tinggi Syariah Shah Alam mengeluarkan waran tangkap terhadap usahawan kosmetik, Nur Sajat kerana gagal hadir pada prosiding kes berpakaian wanita tiga tahun lalu.

Waran tangkap itu dikeluarkan oleh Hakim Syarie, Mohammad Khalid Shaee @ Shaii terhadap Nur Sajat atau nama sebenar Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman.

Menurut sumber Sinar Harian, prosiding hari ini dijadualkan jam 9 pagi untuk sebutan semula kes, namun kelibat usahawan kontroversi itu tidak kelihatan sehingga tamat prosiding.

Portal akhbar itu melaporkan, peguam, Zuri Zabuddin Budiman ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata, Nur Sajat tidak hadir di mahkamah pada Selasa, namun beliau diwajibkan untuk menghadiri prosiding pada tarikh baharu itu kelak.

BERITA BERKAITAN Berpakaian wanita: Muhammad Sajjad didakwa akhirnya

Disebabkan itu katanya, prosiding kes ditangguh ke 1 Jun depan untuk sebutan semula kes.

“Saya tunggu juga Nur Sajat, tetapi dia tak datang. Pihak kami mungkin akan hantar mitigasi, tetapi belum dibincangkan lagi,” katanya.

Selain Zuri Zabuddin, Nur Sajat turut diwakili peguam syarie, Ahmad Nazib, Azlina Che Hasan dan Amirah Zainal.

Kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Syarie, Atras Mohd Zain.

Pada 6 Januari lalu, Nur Sajat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah di sini atas tuduhan sebagai seorang lelaki berpakaian menyerupai wanita pada 2018 lalu.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram