Untung bersih Nestle Malaysia RM552.71j

0
26

WALAUPUN berdepan suasana perniagaan mencabar sepanjang tahun lalu, namun Nestle (Malaysia) Berhad masih mampu mencatatkan prestasi memberangsangkan selepas merekodkan keuntungan bersih bernilai RM552.71 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020.

Perolehan syarikat tersebut turut stabil berjumlah RM5.41 bilion bagi keseluruhan tahun 2020, turun hanya 1.81 peratus berbanding RM5.51 bilion yang dicatatkan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019.

Bagi suku keempat 2020 pula, keuntungan bersih Nestle naik sedikit kepada RM132.49 juta manakala pendapatan juga meningkat tiga peratus bernilai RM1.37 bilion berbanding RM1.33 bilion untuk tempoh sama tahun 2019.

Ketua Pegawai Eksekutif Nestle Malaysia, Juan Aranols dalam kenyataan memberitahu, prestasi baik tersebut dipacu oleh tahap penggunaan rumah yang kukuh, pemulihan eksport dan beberapa kemajuan dalam saluran di Luar Rumah (OOH) ekoran keadaan operasi lebih terbuka dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Beliau berkata, keputusan suku tahunan lebih baik pula berjaya dicapai hasil usaha berterusan kakitangan mendorong peluang pertumbuhan semua jenama dan saluran dalam suasana mencabar serta persaingan sengit.

“Jenama-jenama kami terus mendapat pengiktirafan pengguna hasil daripada perancangan jenama kukuh, inovasi menarik dan pelaksanaan jualan yang mantap,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nestle turut memberitahu pelancaran produk inovasi pantas juga menjadi pemacu utama pertumbuhan dalam suku keempat 2020 termasuk produk seperti MILO Nutri Breakfast, format baharu Sos Cili MAGGI dan pelancaran Kit Kat Gold.

Mengulas mengenai prospek tahun ini, Aranols memberitahu, Nestle akan mula menceburkan diri dalam kategori makanan berasaskan tumbuhan dengan kemudahan kilang sajian berasaskan tumbuhan telah siap dan beroperasi sepenuhnya serta dilancarkan secara rasmi April depan.

Nestle juga kata Aranols akan membuat peruntukan pelaburan baharu untuk meluas dan menaik taraf kemudahan pengilangan sekali gus mencipta peluang pekerjaan baharu.

“Kami juga akan menggiatkan usaha untuk membina masa depan lebih hijau dan lestari untuk semua seperti pelaksanaan projek penting iaitu Projek RELeaf dengan matlamat menanam tiga juta pokok bermula tahun ini hingga 2023.

“Selain itu, kami juga berterusan menentang sisa plastik dan menggiatkan usaha bertukar kepada sumber tenaga boleh diperbaharui di semua tapak kilang kami.

“Kami juga akan mengendalikan perniagaan dengan tumpuan terhadap jangka panjang dan sentiasa membekalkan produk bermutu tinggi yang selamat serta berkhasiat memenuhi cita rasa dan jangkaan seluruh rakyat Malaysia,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram