Zahid, Najib…berterus teranglah

0
836


Pada 4 Januari lalu, UtusanTV melaporkan bagaimana tersebar satu rakaman didakwa suara seorang pemimpin kanan UMNO yang menyatakan, parti itu bersedia bekerjasama dengan PKR dan DAP menubuhkan ‘gabungan baharu’ sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) atau semasa pilihan raya itu jika Parlimen dibubarkan.

Dalam ucapan yang dipercayai disampaikan pada satu perjumpaan dan menggunakan loghat sebuah negeri di Pantai Timur, pemimpin berkenaan meminta ahli-ahli UMNO jangan kolot dengan menganggap DAP sekarang sama macam DAP dulu sambil menjelaskan perubahan yang akan berlaku dalam barisan kepemimpinan tidak lagi.

Pemimpin berkenaan meminta ahli UMNO berfikiran terbuka untuk menerima kerjasama dengan DAP jika ia terjadi dan menyatakan kalau Pas boleh berkawan dengan DAP (satu ketika dahulu), kenapa UMNO tidak boleh melakukan perkara yang sama.

Pemimpin UMNO itu juga berkata, di peringkat pusat ramai tidak yakin parti itu boleh menang tanpa bantuan parti-parti lain (daripada pembangkang) memandangkan komponen Barisan Nasional (BN) ‘tidak boleh diharap’.

Kata pemimpin itu lagi, jika kerjasama dengan DAP hampir 40 kerusi Parlimen di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur, Perak dan sebagainya akan dikuasai oleh DAP, keadaan itu sudah tentu akan membantu kemenangan kepada ‘gabungan baharu’ tersebut.

Pemimpin berkenaan turut menegaskan, dalam keadaan apapun perubahan politik akan berlaku kerana UMNO berasa sudah cukup dikhianati oleh Bersatu.

Tidak pasti sama ada kebetulan atau tidak, dalam beberapa hari ini dua pemimpin yang dikatakan sedang mencorakkan peta politik UMNO bagi menghadapi PRU-15 seolah-olah menggunakan nada yang sama.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan, parti itu jangan ada sekelumitpun perasaan amarah terhadap rakan lama dan beliau juga kemudiannya dalam satu wawancara memberi bayangan atas nama ‘kedinamikan politik’ UMNO sedia bekerjasama dengan semua parti.

Semalam pula dalam wawancara dengan Astro Awani, bekas Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, dalam politik segala berkemungkinan dan tidak mustahil UMNO boleh bekerjasama dengan PKR dan DAP jika ia dipersetujui oleh akar umbi.

Mereka juga menjadikan tindakan politik Tun Dr.Mahathir Mohamad yang sanggup bergabung dengan PKR dan DAP dalam PRU-14 sebagai contoh.

Sepatutnya kedua-dua pemimpin tidak perlu berkias lagi. Cakap sahaja terus terang UMNO akan berbincang untuk mengadakan kerjasama politik dengan PKR dan DAP dalam PRU-15 tetapi buat sementara akan terus berada dalam Kerajaan PN sehingga Parlimen dibubarkan…kan senang.

Lagipun kalau itu berlaku, orang tidak terkejutpun kerana sebelum ini kedua-dua mereka pernah dikaitkan mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. Justeru tidak payah malu-malu untuk berterus terang.

Kalau tengok apa yang berlaku dalam UMNO sekarang berikutan pertembungan antara ‘Kluster Menteri’ dan ‘Kluster Mahkamah’, terbukti UMNO sudah ‘tidak ada hati’ lagi untuk bekerjasama dengan PN. Dengan Pas pun sudah nampak ada masalah.

Jadi adalah wajar jika Ahmad Zahid dan Najib tidak membiarkan ahli-ahli di peringkat akar umbi berteka-teki dengan siapa UMNO akan bekerjasama dalam PRU-15. Jangan biarkan mereka ternanti-nanti dan berada dalam kekeliruan;

Kalau padi katakan padi,
Tidak hamba tertampi-tampi,
Kalau jadi katakan jadi,
Tidak hamba ternanti-nanti

Melalui penjelasan dan pendirian secara terus terang, senang untuk akar umbi membuat keputusan. Penulis percaya Ahmad Zahid dan Najib mempunyai pengaruh cukup hebat untuk menyakinkan pemimpin dan ahli-ahli untuk menyokong perancangan politik mereka.

Jangan bimbang pemimpin-pemimpin UMNO lain, tidak akan bersuara kerana nanti akan dituduh ‘jurucakap’ Bersatu.

‘Inshaallah’ ahli-ahli UMNO akan menerima langkah politik bijaksana itu kerana apa yang penting UMNO tidak lagi dibuli oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Bersatu.

‘Inshaallah’ apabila kerjasama dengan PKR dan DAP itu menjadi kenyataan UMNO akan diberikan posisi jawatan Kabinet kanan tanpa sebarang syarat sama ada dari ‘Kluster Mahkamah’ atau tidak . Dan jangan lupa, bila gabungan itu berlaku, ‘inshaallah’ UMNO boleh bertanding lebih 100 kerusi kerana tidak perlu berkongsi dengan Bersatu dan Pas lagi.

PKR pula tak akan berebut dengan UMNO kerana mereka sudah ada banyak kerusi selamat. Selain itu, kita juga yakin DAP akan rela berkorban memberi kubu kuat mereka kepada UMNO seperti mana mereka berikan kepada Amanah.

Semua itu senario ini, gambaran penulis kalau benar ada niat UMNO untuk bersama PKR dan DAP atas nama ‘kedinamikan politik’, atas semangat ‘jangan ada sekelumitpun amarah kepada rakan lama’, dan atas hasrat mencontohi apa yang pernah dilakukan oleh Tun Dr.Mahathir Mohamad dan Pas.

Tetapi jangan lupa kata-kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan pada awal Januari lalu yang mengingatkan ahli-ahli UMNO jangan terikut-ikut dengan rentak sehingga ada suara dan cadangan untuk parti bekerjasama dengan musuh tradisi.

Tegas Mohamad,’’Nak bekerjasama dengan DAP apahal..begitu bertegas kita, begitu bersungguh-sungguh kita nak jatuhkan DAP. 22 bulan mentadbir negara dah nak hancur negara takkan kita sanggup pula duduk dengan DAP. Saya tidak akan bersetuju, selagi saya Timbalan Presiden UMNO saya tidak akan bersetuju bekerjasama dengan DAP.’

Penulis juga yakin ramai dalam UMNO lebih bersedia berjuang bersendirian dan bertembung tiga penjuru daripada bekerjasama dengan PKR dan DAP, kecualilah mereka merasakan perjuangan demi Melayu sudah tidak relevan lagi.