Engkau tidak layak ke syurga

0
75
Engkau tidak layak syurga

Engkau tidak layak ke syurga walau sebanyak manapun kebaikan yang kau lakukan. Sedih membaca kisah yang tular baru-baru ini tentang seorang wanita warga emas yang ditemui telah ditinggalkan bersendirian oleh keluarganya.

Menerusi perkongsian di Facebook Lembaga Zakat Selangor (LZS), pihaknya telah menerima laporan mengenai wanita warga emas tersebut yang berseorangan di tepi jalan di Jalan Kebun Shah Alam dengan hanya berkerusia roda bersama beg pakaian dan lampin pakai buang.

Lebih menyedihkan lagi apabila mengetahui keadaan wanita tersebut yang kudung sebelah kaki. Difahamkan wanita tersebut masih mempunyai ahli keluarga.

warga emas yang dibuang keluarganya, yang tular baru-baru ini. kredit fb LZS

Usaha menghubungi ahli keluarganya berhasil dilakukan namun tidak mendapat kerjasama yang baik apabila tiada seorang pun waris yang sudi menjemputnya kembali ke rumah dengan alasan tidak mampu menjaga ibunya yang telah tua dan uzur. Akhirnya atas kebenaran anaknya itu, ibu tua tersebut ditempatkan dirumah perlindungan warga emas dengan segala kos ditanggung pusat Zakat.

Manakala pada awal bulan ini juga seorang lelaki warga emas turut ditinggalkan oleh ahli keluarganya di sebuah surau di Shah Alam dengan alasan mengajaknya untuk solat berjamaah di surau tersebut.  

Subhanallah. Apa sudah jadi dengan masyarakat Islam kita hari ini. Bulan Febuari ini sahaja sudah dua kes yang hampir sama berlaku. Jika yang melakukannya bukan beragama Islam, mungkinlah dapat diterima dek akal. Akan tetapi apabila umat Islam sendiri yang menolak untuk menjaga dan berlaku ihsan kepada kedua orang tuanya, itu benar-benar mengecewakan kita sebagai saudara sesama Islam.

Islam telah menunjukkan betapa banyak ganjaran yang dijanjikan Allah kepada orang yang menjaga dan berbuat ihsan kepada kedua ibu bapanya. Bukan sahaja ganjaran, malah balasan buruk pula menanti kepada anak-anak sekiranya berlaku derhaka kepada mereka.

Warga emas yang ditinggalkan di surau oleh ahli keluarganya. kredit LZS

Terdapat banyak dalil-dalil yang khusus menyentuh tentang kewajipan anak-anak terhadap ibu bapa, serta adab-adab yang mesti dijaga ketika bersama mereka. Firman Allah surah al-Isra’:23

Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah selain kepada Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.

Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”. Dan janganlah engkau menengking, menyergah mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”

Sekalipun perkataan “ha” atau “ah” Allah larang sebutkan kepada kedua ibu bapa, inikan pula dengan menengking atau menghina serta membuang mereka seperti mana kisah di atas. Sudah pastilah perbuatan ini mengundang pula kemurkaan Allah S.W.T. dan mendapat celaan yang berat.

Antara dosa besar selain dari menyekutukan Allah dengan sesuatu, adalah dosa kepada kedua ibu bapa. Malah haram jasad anak yang derhaka ini mencium bau syurga, apatah lagi menjadi penghuninya.

Ibu bapa anak kunci syurga

Sabda Baginda s.a.w. “Sesungguhnya aroma syurga itu terbau dari jarak perjalanan seribu tahun, dan demi Allah tidak akan mendapatinya barang siapa yang derhaka kepada orang tuanya.” – HR Thabrani.

Dalam hadis yang lain diriwayatkan oleh Nasai dan Ahmad,

“Ada tiga jenis orang yang diharamkan Allah masuk syurga iaitu, peminum arak, derhaka terhadap kedua orang tua serta seorang yang dayus (merelakan kejahatan berlaku dalam keluarganya dan membiarkan isteri serta anaknya melakukan maksiat).”

Bukan hanya di akhirat dia menderita, malah saat hidupnya di dunia lagi, mereka yang telah melukakan hati kedua orang tuanya tidak akan mendapat rahmat dan keredaan Allah.

Sabda Baginda s.a.w.

“Keredaan Allah tergantung kepada keredaan kedua ibu bapanya. Dan murka Allah juga tergantung pada murka kedua orang tua.” – HR al-Hakim

Ingatlah, seseorang yang sempat bersama atau berbakti kepada kedua ibu bapanya merupakan orang yang sangat bertuah dan beruntung sekali di dunia. Ini kerana, Baginda s.a.w. pernah mengingatkan kepada sahabat, orang yang hina adalah orang yang sempat bersama ibu bapanya tetapi kesempatan yang ada itu tidak membolehkan dia untuk dimasukkan ke dalam syurga.

Dari Abu Hurairah r.a. bersabda Baginda s.a.w.

Kehinaan, kehinaan, kehinaan.” Baginda ditanya, “Siapa yang engkau maksudkan wahai Rasulullah?” Baginda menjawab, “Sesiapa sahaja yang mempunyai orang tuanya ketika sudah lanjut usia salah satu atau keduanya namun tidak (menjadikannya sebab) masuk ke syurga.” – HR Muslim.

Sebagaimana anak adalah anugerah, ibu bapa juga merupakan anugerah terindah yang Allah berikan kepada hamba-Nya. Walaupun mungkin ada sikap sesetengah ibu bapa yang tidak menyenangkan hati sama ada dari segi pertuturan atau perbuatan mereka, namun sebagai anak apatah lagi seorang muslim mereka tetap wajib menjaga mereka.

Di atas kesabaran serta kepayahan dalam menjaga kedua ibu bapa yang sudah tua atau uzur itulah juga maka Allah telah menyediakan ganjaran yang terlalu besar. Lihat sahaja bagaimana kisah Uwais al-Qarni yang mana Allah S.W.T. memuliakan beliau dan memberikan kelebihan padanya iaitu doanya amat makbul. Malah kisah tentang Uwais turut disebut Baginda s.a.w. dalam sebuah hadisnya,

Nanti akan datang kepada kamu sesorang yang bernama Uwais bin Amir bersama serombongan pasukan dari Yaman. Dia berasal dari murad, dari qaran. Dia menghidap penyakit kulit, kemudian dia sembuh darinya kecuali sebesar satu dirham.

Dia memiliki seorang ibu dan sangat berbakti kepadanya. Sekiranya dia bersumpah kepada Allah, maka akan diperkenan apa yang dia minta. Jika kamu mampu agar dia memohon kepada Allah keampunan bagimu, maka lakukanlah.”

Inilah bukti bagaimana Allah S.W.T. memuliakan seorang manusia yang memuliakan ibunya. Dia bukan sahaja terkenal di kalangan manusia malah turut dikenali oleh seluruh penduduk langit. Lebih dari itu, kemuliaan dan kebaikan yang dilakukan terhadap ibunya tetap disebut-sebut sehingga ke hari ini.

Justeru kepada anak-anak, jadikanlah kisah Uwais sebagai satu motivasi dan inspirasi kita menjaga mereka. Biarlah penat dan lelah kita menjaga kedua ibu bapa di dunia ini menjadi bukti dan dibayar tatkala kita menghadap di hadapan Allah nanti dan menjadi anak kunci membuka pintu syurga. Wallahu a’lam.  

______________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram