Inisiatif digital usaha bantu rakyat, PKS – Tengku Zafrul

0
29

INISIATIF pendigitalan yang dilaksanakan kerajaan disifatkan sebagai usaha untuk membantu rakyat serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ekoran tempias besar dicetuskan Covid-19.

Sehubungan itu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan akan terus memantapkan lagi usahanya apatah lagi selepas memperkenalkan inisiatif MyDIGITAL dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia.

Beliau turut menyifatkan pelancaran kedua-dua inisiatif berkenaan sangat tepat pada masanya memandangkan cabaran negara ketika ini adalah untuk bangkit semula dan pulih daripada kedudukan ekonomi ketika ini.

Menurut Tengku Zafrul, MyDIGITAL merupakan pelan hala tuju transformasi digital yang mampu mengupayakan sektor perniagaan untuk bersaing di pentas global dengan memantapkan kelancaran dan kecekapan operasi.

Tengku Zafrul memberitahu, dalam usaha melonjakkan status negara, ekonomi digital memainkan peranan besar dengan sektor tersebut dijangka menyumbang 22.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2025.

Baca artikel berkaitan: PERMAI : Kesinambungan perancangan Wawasan Kemakmuran Bersama

“Inisiatif ini juga bakal menjadi titik tolak untuk menarik pelaburan baharu dalam sektor digital sebanyak RM70 bilion dari dalam dan luar negara.

“Bukan itu sahaja, pelan ini juga menyasarkan untuk membuka 500,000 peluang pekerjaan dalam ekonomi digital,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana), hari ini.

Selain dua inisiatif baharu yang diperkenalkan kerajaan, Tengku Zafrul turut memberitahu, Belanjawan 2021 turut memberi penekanan kepada industri digital.

Antara inisiatif itu, kata Tengku Zafrul adalah sokongan penggunaan teknikal dan digital bagi PKS serta syarikat peringkat pertengahan (MTC) dengan setakat ini, sebanyak RM40.5 juta telah disalurkan kepada 8,580 perniagaan dalam bentuk geran dan pinjaman untuk langganan perkhidmatan digitalisasi.

Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan turut memperuntukkan RM500 juta bagi tahun 2021 untuk melaksanakan inisiatif Jalinan Digital Negara (Jendela) bertujuan memastikan kesalinghubungan sejumlah 430 sekolah seluruh negara.

“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga telah memperuntukkan RM7.4 bilion tahun ini dan 2022 bagi memperluas perkhidmatan jalur lebar seluruh negara.

“Kerajaan juga menyalurkan RM150 juta bagi kempen e-Dagang PKS dan PKS mikro yang merangkumi program latihan, bantuan penjualan dan peralatan digital kepada 100,000 usahawan tempatan,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram