Gadis bernama Anneliese Michel ini dilahirkan pada 21 September 1952 di Jerman. Dibesarkan dalam pegangan Katolik yang kuat.
Gadis ini dikenali sebagai seorang yang periang. Tetapi, itu semua sebelum Anneliese ditimpa penyakit misteri yang bermula pada tahun 1968.

Doktor mengatakan gadis itu sekadar menghidap penyakit batuk kering. Lalu dia diberi rawatan di sebuah hospital di Jerman. Setelah sembuh, Anneliese dibenarkan pulang semula ke rumah.
Gadis tersebut memulakan sesi persekolahannya di sekolah menengah Aschefenburg. Awalnya, semua berjalan lancar sehinggalah suatu hari tiba-tiba Anneliese menghadapi kesukaran untuk bertutur.
Kakinya juga jadi lembik sehingga sukar berjalan dan sering berpaut pada meja, kerusi atau apa-apa sahaja yang berada dalam capaian tangannya untuk membantunya berdiri.
Pada tahun 1973, Anneliese mula ditimpa kemurungan yang serius. Keadaan itu berlanjutan agak lama hingga dia mula mengadu sering terlihat bayangan yang menakutkan.
Anneliese mengatakan dia melihat syaitan pada dinding rumahnya. Syaitan tersebut mempunyai tujuh tanduk dan mahkota.
Bukan itu saja, ahli keluarganya juga pernah beberapa kali melihat Anneliese dalam keadaan tercampak, seperti ada seseorang yang mengangkat dan melambungnya ke tanah.
Pernah suatu hari sewaktu mereka sekeluarga sedang menikmati makan malam, kedua-dua tangan Anneliese tiba-tiba membengkak sebelum gadis itu terlambung ke belakang daripada kerusi yang didudukinya. Gadis itu hanya mampu menjerit kesakitan meminta pertolongan.

Ibu bapa Anneliese, Josef dan Anna tahu ada sesuatu yang berlaku terhadap anak gadis mereka. Keadaan gadis itu semakin teruk. Anneliese mula mengamuk dan melakukan bermacam perkara aneh, termasuklah menjilat air kencingnya sendiri.

Gadis itu turut memakan lalat, labah-labah dan juga pernah menelan kepala burung yang sudah mati. Pada ketika yang lain, Anneliese akan merangkak masuk ke bawah meja dan menyalak seperti anjing selama dua hari. Menjerit dan mengoyakkan bajunya sudah menjadi aktiviti harian Anneliese.
Tidak sanggup melihat anak gadis mereka terseksa, Josef dan Anna menghubungi paderi sebagai salah satu alternatif untuk memulihkan Anneliese.
Ritual mengusir syaitan
Sebelum bersetuju memberikan khidmat exorcism kepada Anneliese, Paderi Arnold pernah membawa gadis itu bertemu ramai doktor untuk mendapatkan rawatan, namun menemui jalan buntu. Kata doktor, Anneliese menghidap sejenis penyakit sawan dan hanya diberikan pil bagi membantu menenangkan dirinya.
Dua orang paderi yang pada mulanya tidak percaya Anneliese dirasuk terdiam apabila mereka menyaksikan sendiri bagaimana gadis itu dilambung dan dihempas ke atas lantai tanpa ada sesiapa yang mengangkat atau mencampaknya.
Melihatkan keadaan gadis itu, pada tahun 1975, ketua paderi di kawasan tersebut telah memberi kebenaran kepada Paderi Arnold Renz dan Paderi Ernst Alt untuk menjalankan ritual exorcism (pengusiran syaitan) terhadap Anneliese.

Rawatan berlangsung selama 10 bulan. Dalam tempoh itu, sebanyak 67 kali ritual tersebut dijalankan. Setiap minggu, beberapa kali Anneliese menjalani kaedah spiritual yang menyeksa tubuhnya. Kesemua ritual itu turut dirakamkan dalam bentuk audio.

Anneliese menghadapi kecederaan lutut serius sepanjang menjalani proses exorcism. Gadis itu perlu melutut lebih daripada 600 kali pada setiap ritual yang kadangkala memakan masa berjam-jam lamanya.
Hasil daripada ritual tersebut, kedua-dua paderi mendakwa dapat mengesan enam jenis syaitan yang telah merasuk Anneliese iaitu Judas, Lucifer, Hitler, Nero, Fallen Priest dan Cain.

Sekalipun telah berpuluh-puluh ritual dijalankan untuk menghalau syaitan yang dikatakan merasuk tubuh gadis itu, dikatakan semuanya gagal. Anneliese terus hidup terseksa dan akhirnya meninggal dunia pada 1 Julai 1976, setelah lapan tahun bertarung dengan ‘penunggu’ yang menguasai dirinya.

Hasil bedah siasat mendapati kematian Anneliese Michel disebabkan kekurangan air dan zat makanan.
Dia juga menghidapi demam panas dan pneumonia ketika itu. Berat Anneliese sewaktu kematiannya hanyalah lebih kurang 30 kilogram.
Dua tahun selepas kematian Anneliese, mahkamah memutuskan kedua-dua ibu bapa gadis itu berserta dua paderi yang merawatnya didapati bersalah atas tuduhan menyebabkan kematian Anneliese. Kesemua mereka dipenjarakan selama enam bulan.

Selepas lebih empat dekad kematian Anneliese, banyak pihak yang meragui gadis itu benar-benar dirasuk. Mereka mempersoalkan ubat-ubatan yang diberikan kepadanya.
Ramai yang menyokong bahawa Anneliese mungkin sebenarnya menderita kerana penyakit schizophrenia atau sejenis gangguan mental. Jika diberikan rawatan yang betul, mungkin Anneliese masih boleh diselamatkan.
Namun jika dilihat daripada sudut lain pula, tiada siapa mampu menerangkan kejadian bagaimana gadis itu boleh dilambung dan dihempas ke tanah. Begitu juga dengan rakaman audio yang memperdengarkan suara aneh Anneliese yang dikatakan berbicara dalam bahasa kuno lama yang sudah tidak digunakan lagi ketika itu.
Sehingga kini, persoalan apa sebenarnya yang membunuh Anneliese masih menjadi tanda tanya. Tiada jawapan tepat yang dapat diberikan.
Selain ditulis menjadi buku, kisah yang menimpa Anneliese turut diangkat ke layar perak menerusi beberapa buah filem. Salah satu daripadanya ialah filem The Exorcism of Emily Rose yang ditayangkan pada tahun 2005.

_____________________
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram.