SEBARIS ubah masa depan pergigian

0
84

DALAM era teknologi digital yang semakin berkembang ditambah kebimbangan persekitaran ekoran penularan Covid-19, sebuah klinik gigi, SEBARIS By Dr. Bala Sdn. Bhd. mengambil inisiatif memperkenalkan teknologi baharu yang mampu merevolusi industri pergigian.

Mengambil pendekatan Revolusi Industri 4.0 (RI 4.0) menerusi teknologi kecerdasan buatan (AI), Pengasas SEBARIS, Dr. Bala Saravanan berkata, teknologi terbaharu itu membolehkan pesakit dan doktor menerima laporan lebih tepat, membina kaedah komunikasi baharu serta menggunapakai pembangunan dan penyelidikan terbaharu.

Menurutnya, ia hadir menerusi sebuah peranti iaitu Dental Monitoring yang boleh diakses pesakit hanya melalui telefon pintar tanpa perlu bersemuka dengan doktor masing-masing.

Pada masa sama, Bala memberitahu, pesakit juga dipantau secara langsung dan profesional oleh 15 pakar pergigian seluruh dunia menerusi aplikasi berkenaan.

“Dental Monitoring adalah sebuah aplikasi yang tepat bagi doktor gigi dan pesakit kerana ia merupakan teknologi pemantauan jarak jauh yang membolehkan pesakit membuat prosedur penyelarasan gigi dengan selamat tanpa perlu selalu datang ke klinik gigi.

“Selain itu, kami juga menggunakan pendakap gigi jenis baharu, Invisalign iaitu berbeza dengan pendakap gigi konvensional kerana ia tidak menggunakan wayar seperti biasa dan boleh ditanggalkan ketika makan atau menggosok gigi,” katanya dalam sidang akhbar secara maya hari ini.

Dalam pada itu, Bala menjelaskan, walaupun pelaburan yang diperuntukkan bagi teknologi baharu itu disifatkan agak tinggi tetapi kos tersebut dijamin tidak akan membebankan pesakit.

Beliau berkata, julat harga yang dikenakan kepada pesakit juga adalah mengikut harga pasaran sedia ada dan bergantung kepada setiap kes.

“Kami mula menggunakan teknologi Dental Monitoring pada awal tahun ini kerana merasakan ia memberi manfaat lebih-lebih lagi semasa tempoh pandemik ini.

“Kami tidak mengubah harga yang dikenakan untuk rawatan kepada pesakit hanya kerana menggunakan teknologi baharu ini.

“Sebagai contoh, kes yang disifatkan agak mudah melibatkan penggunaan pendakap gigi mungkin hanya sekitar RM4,000 hingga RM5,000 tetapi ada juga kes yang mencecah RM20,000 sekiranya memerlukan pelan rawatan dua ke tiga tahun. Ia bergantung kepada setiap kes,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram