UMNO: Sebatang mudah dipatah tapi kukuh dan kuat jika seberkas

0
391
sebatang mudah

UMNO perlu terus memperkukuhkan parti dan memastikan tiada lagi perpecahan kerana perpecahan akan membuatkan bangsa Melayu lemah dan akhirnya peristiwa 22 bulan di bawah Pakatan Harapan (PH) berulang.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mana mungkin semua boleh lupa kesengsaraan yang dilakukan oleh PH sepanjang mereka menjadi pimpinan negara sehinggakan ramai pelabur mula menarik diri.

Justeru, katanya, dalam mencari kepercayaan rakyat, UMNO juga perlu belajar daripada kesilapan di mana tersilap membuat percaturan sehingga akhirnya tersungkur pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Oleh itu, tegas Menteri Kanan Pertahanan itu, tidak salah untuk UMNO mengakui kesilapan serta belajarlah daripada kesilapan ini agar dapat membina kembali keutuhan parti.

“Ingatlah, lidi yang sebatang, terlalu mudah dipatahkan namun jika ia menjadi seberkas, ia menjadi kuat dan kukuh,” katanya dalam kenyataan akhbar malam ini.

Ismail Sabri dalam kenyataan itu turut menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia supaya menolak politik kebencian dan fitnah dengan mencari satu permulaan baru kepada Malaysia yang lebih baik dan aman dalam norma baharu pasca COVID-19.

“Saya amat yakin dengan segala sejarah dan peristiwa lepas yang telah menjerumuskan kita dalam rekah kebinasaan sebuah negara majmuk seketika itu menjadikan kita lebih matang dan rasional dalam menentukan hala tuju negara demi masa depan generasi akan datang,” jelasnya.

Tambah Ismail Sabri, sepanjang Barisan Nasional (BN) dan UMNO menjadi kerajaan telah terbukti negara ini ditadbir dengan baik dan sikap saling hormat menghormati antara kaum sentiasa dipelihara dalam semua aspek.

“Bukan hanya bangsa Melayu/Bumiputera terjamin tetapi kaum-kaum lain turut bebas mengamalkan budaya serta kepercayaan masing-masing, malah dirai bersama dalam kemajmukan Malaysia.

“Lantaran itu, bangsa lain tidak perlu khuatir sama sekali sekiranya UMNO yang menjadi kompenan dalam BN kembali menjadi tunjang negara,” katanya.

Beliau turut menekankan betapa pentingnya Melayu Bumiputera bersatu dalam menghadapi dunia politik yang semakin mencabar.

“Mahu tidak mahu, kita tidak dapat menolak bahawa Pilihan Raya Umum Ke-15 sudah tidak lama.

“Sesungguhnya kepelbagaian kaum di Malaysia merupakan satu keunikan yang tidak dapat kita hayati di negara atau tempat lain. Semangat saling menghormati antara kaum dan agama merupakan lambang kemajmukan Malaysia,” katanya.

Baca artikel berkaitan: Perhimpunan Agung UMNO 2020 27,28 Mac

Istilah ‘kluster’ bukti UMNO kini berantakan

Ujar Ismail Sabri, beliau konsisten untuk bercakap dan memperjuangkan bangsa Melayu di samping menghormati rakan-rakan lain dalam negara ini.

“Setelah lebih setahun kita diserang pandemik COVID-19, ianya telah banyak mengubah kehidupan normal kita dari sebelum ini. Ia mengajar kita soal pematuhan kepada ketetapan dan bagaimana kita menyesuaikan diri dalam norma baharu yang serba menghambat.

“Kita sedang mengharunginya bersama dan cahaya kejayaan makin hampir dengan adanya vaksin untuk imuniti rakyat lebih terjamin,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram.