Sikap Sahabat terhadap sunnah

0
39
sikap sahabat terhadap sunnah

Bukanlah semua yang dikatakan sunnah perlu diikuti sepenuhnya. Terdapat bahagian-bahagian sunnah yang boleh ditinggalkan atau tidak dituruti. Kelonggaran ini diberikan bagi menunjukkan bahawa, Baginda s.a.w. bukanlah seorang nabi dan pemimpin yang bersifat diktator.

Dalam merungkai konteks sunnah, para Muhaddisin telah membahagikannya kepada beberapa bahagian iaitu, wajib, sunat, harus, makruh dan haram.

Sunnah yang wajib dilakukan seperti solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadan, mengeluarkan zakat dan lain-lain. Manakala yang berbentuk sunat, jika dibuat menambah pahala, dan ditinggalkan tidak berdosa, seperti solat sunat, puasa sunat, menuntut ilmu dan sebagainya.

Bagi yang harus untuk diikuti pula, seperti cara nabi makan minum, tidur, melayan isteri, berpakaian, akhlaknya bersama masyarakat dan sebagainya. Selain itu terdapat juga sunnah yang makruh untuk dilakukan, iaitu perbuatan yang dilarang tetapi tidak membawa kepada hukum yang haram. Contohnya memakan benda yang berbau seperti durian atau petai, dan membawa ke dalam masjid untuk bersolat.

Makanan ini tidaklah salah untuk dimakan. Akan tetapi, nabi melarangnya kerana ia mendatang ketidakselesaan kepada jamaah yang lain.

Manakala yang akhir ialah haram iaitu semua perbuatan yang dilarang oleh Baginda s.a.w. atau Baginda lakukan tetapi umatnya ditegah sama sekali, seperti berpoligami lebih dari empat orang isteri.

Bukti cinta para sahabat

Dalam menzahirkan perasaan cinta yang mendalam kepada Baginda s.a.w. para sahabat telah menunjukkannya melalui beberapa peristiwa yang berlaku, antaranya melalui hadis dari Abu Ayyub al-Anshari r.a. katanya,

“Apabila Baginda diberi makanan oleh seseorang, beliau makan dan sebahagian lagi diberikannya kepadaku. Pada suatu hari Baginda memberikan makanan yang tidak dimakannya kepadaku kerana di dalamnya terdapat bawang putih. Lalu kutanya, “apakah bawang putih itu haram?” jawabnya, “tidak! tetapi aku tidak menyukainya kerana baunya.” Kata Ayub lagi, “kalau begitu aku juga tidak suka apa yang anda tidak sukai.” HR Muslim

Baginda s.a.w. tidak makan bawang putih kerana baunya.

Selain itu, terdapat juga hadis lain yang menunjukkan betapa cintanya para sahabat kepada Baginda melalui makanan. Menurut Anas bin Malik r.a,

“pada suatu hari, seorang tukang jahit telah menjemput Baginda untuk datang ke jamuan makan yang disediakannya sendiri. Aku juga pergi bersama Baginda ke majlis tersebut. Tuan rumah telah menghidangkan roti gandum, kuah berisi buah labu, dan daging untuk Baginda. Aku melihat Baginda mencari-cari labu di dalam piring hidangannya. Sejak itu aku menyukai labu.” HR Bukhari & Muslim

Justifikasi dari dua kisah di atas, dapat kita lihat bagaimana cintanya para sahabat kepada Baginda s.a.w. dan bagaimana sikap serta peribadi Baginda terhadap para sahabatnya.

Kisah pertama seorang sahabat yang gemar makanan yang mengandungi bawang putih, namun apabila mengetahui bahawa Baginda s.a.w. tidak menyukainya kerana bau yang terdapat pada bawang tersebut, lantas dia juga turut tidak menyukainya.

Dan kisah yang kedua pula, Anas bin Malik r.a telah membuktikan cintanya yang mendalam kepada Baginda, beliau yang sebelumnya tidak menggemari buah labu, mula menyukainya apabila mengetahui yang Baginda amat suka menikmati buah tersebut.

Sikap ini seharusnya ada pada diri setiap muslim yang mengaku beriman kepada Baginda, dengan menjadikan setiap kesukaan Nabi adalah kesukaannya juga.

Nabi bukan diktator

Selain itu terdapat juga kisah yang dinukilkan oleh Khalid bin al-Walid r.a. iaitu,

“sesungguhnya aku bersama Rasulullah telah masuk ke rumah Maimunah, isteri nabi s.a.w. yang juga ibu saudaraku dan Ibnu Abbas r.a. Di rumah Maimunah terdapat daging Dhab yang dipanggang telah disediakan oleh saudaranya bernama Hufaidhah bt al-Harith dari Najd. Daging itu kemudian dihulurkan kepada Baginda dan jarang sekali dihulurkan makanan kepada Baginda tanpa memberitahu terlebih dahulu tentangnya.

Baginda lalu menghulurkan tangan pada daging Dhab tersebut. Seorang wanita yang juga bertamu di situ berkata, “beritahulah kepada Baginda apa yang kamu hulurkan kepadanya. Mereka lalu mengatakan, “itu adalah daging Dhab wahai Rasulullah.” Rasulullah lalu menarik tangannya kembali.

Dhab, makanan yang tidak digemari Baginda s.a.w.

Kemudian aku bertanya, “haramkah dhab itu wahai Rasulullah?” Baginda menjawab, “tidak! tetapi ia tidak terdapat di bumi kaumku, kerana aku merasa jijik.” Lalu aku mengambil dan memakannya, Rasulullah hanya melihat tetapi tidak melarang kami.” HR Muslim

Rentetan dari kisah ini juga, kita dapati bahawa sikap Baginda s.a.w yang bersikap toleransi terhadap para sahabat. Walaupun Baginda tidak menyukai daging tersebut, tetapi Baginda tidak menghalang para sahabat menikmatinya.

Ini jelas membuktikan bahawa bukanlah setiap sunnah itu perlu diikuti sepenuhnya, kerana Baginda memahami setiap manusia mempunyai citarasa dan budaya yang berbeza.

Terpulang pada mereka samada untuk menurutinya atau tidak. Dan hadis ini juga bukanlah menunjukkan bahawa Khalid al-Walid tidak mencintai Rasulullah sebagaimana Anas r.a dan Ayub r.a. Hanya ini menunjukkan tentang sikap kemanusiaan yang ada pada diri Baginda, sekalipun Baginda seorang nabi.

Apa yang nabi suka juga bukan bererti, setiap orang perlu suka. Jika ini yang berlaku, maka jelas bahawa nabi bersikap diktator dan mementingkan diri.

Bahkan bukan juga apa yang menjadi kesukaan nabi maka makanan tersebut semestinya berkhasiat dan apa yang nabi tidak suka tidak berkhasiat. Ingin dijelaskan kesukaan nabi ini merupakan sikap seorang manusia biasa yang juga mempunyai keinginan seperti manusia biasa. Wallahu a’lam

___________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram