Tercatatnya sejarah sebuah kota dari telaga tempat gajah bersiram

0
151

Pernahkah anda dengar kisah telaga yang sejarahnya bermula daripada gajah? Sebuah telaga di Pendang, Kedah menyimpan rahsia ratusan tahun kisah silam. Namanya, Telaga Gajah.

Jika dilihat hari ini, telaga yang terletak di pinggir jalan ini nampak biasa saja. Apa kisah di sebalik telaga ini?

Telaga Gajah di Pendang, Kedah.

Sebelum itu, kena fahami dahulu asal usul nama daerah Pendang. Jika anda beranggapan Pendang mendapat nama daripada perkataan ‘bendang’ (sawah), anda silap.

Nama Pendang sebenarnya berasal dari perkataan ‘pendiat’ yang bermaksud parit atau lubang yang digali khas untuk menangkap atau menjinakkan gajah.

Pada zaman dulu, Pendang merupakan tempat pembiakan gajah yang terbesar di negeri Kedah selain dari Mukim Naga di daerah Kubang Pasu. Gajah ketika itu digunakan sebagai pengangkutan perang.

Disebabkan haiwan ini penting dalam peperangan, maka ia dilatih sebaik mungkin untuk memberi kemenangan bagi pihak Kedah. Anak-anak gajah akan dipelihara di sebuah kampung yang bernama Kubang Anak Gajah (sehingga kini kampung tersebut masih wujud dengan nama yang sama).

Gajah pada zaman dahulu penting dalam peperangan.

Gajah-gajah liar akan dijinakkan. Haiwan ini akah dilatih untuk memahami dan mematuhi segala arahan tuannya. Ya, seperti sebuah sekolah, tetapi untuk gajah.

Gajah-gajah yang telah dijinakkan akan dibawa ke telaga ini untuk dimandikan. Disebabkan itu telaga ini mendapat namanya, iaitu Telaga Gajah.

Jika ada gajah yang mati, ia akan ditanam di sebuah tempat bernama Kampung Gajah Mati (sehingga hari ini nama kampung ini kekal begitu di daerah Pendang).

Oh ya, Telaga Gajah ini bukan saja dijadikan tempat khas untuk memandikan gajah yang dilatih, malah gajah-gajah yang pulang dari menghantar ufti bunga emas ke Siam juga akan singgah mandi di telaga yang sama.

Pada hari ini, Telaga Gajah sudah berusia ratusan tahun. Namun ia masih dapat dilihat sehingga sekarang dan dipelihara sebagai salah satu warisan sejarah di Pendang, Kedah.

Telaga Gajah yang menjadi lambang sejarah Pendang.

Telaga Gajah yang berada di Laman Warisan Majlis Daerah Pendang (MDP) ini merupakan telaga asal yang airnya tidak pernah kering walaupun pada musim kemarau panjang.

Dikatakan terdapat satu lubang yang menghubungkan air sungai ke perigi itu. Namun, penduduk di situ tidak pasti sama ada lubang itu masih berfungsi atau tidak. Cuma, airnya tidak lagi sejernih dahulu.

Menurut cerita orang-orang lama di situ, dahulu bukan sahaja gajah malahan penduduk sekitar turut mandi di telaga berkenaan dengan menggunakan pencedok yang diperbuat daripada upih pinang.

Telaga berkedalaman 4.8 meter ini pernah menjadi antara tempat yang melakar sejarah kawasan ini, namun generasi muda tidak ramai yang tahu mengenainya.

Kewujudan telaga ini tidak diketahui ramai sebelum ini sehinggalah pihak Majlis Daerah Pendang mengambil inisiatif menjaga dan memperkenalkan semula sejarah berkaitan telaga ini.