BINTANG golf Tiger Woods kini dirawat di Harbor-UNCLA Medical Center di Los Angeles selepas mengalami beberapa kecederaan setelah terlibat dalam kemalangan, semalam.

Reuters melaporkan Woods, 45 tahun yang ketika itu memandu kereta sport utility vehicle (SUV) terlibat dalam nahas kira-kira pukul 7.12 pagi (waktu tempatan).

Jabatan Sherif Los Angeles berkata, anggota penyelamat dilaporkan terpaksa menggunakan alat ‘jaws of life’ untuk mengeluarkan Woods yang terperangkap di dalam kenderaannya.

“Woods terbabit dalam satu kemalangan kereta pagi ini di California di mana dia mengalami beberapa kecederaan di kaki. Beliau kini melalui pembedahan dan kami ucapkan terima kasih atas privasi dan sokongan anda,” kata ejen beliau, Daniel Rapaport, dalam satu kenyataan.

Video yang memaparkan kejadian berhampiran komuniti pinggir bandar Rolling Hills Estates dan Rancho Palos Verdes menunjukkan SUV milik Woods dalam keadaan terbalik di sisi, dengan bahagian depannya rosak teruk dan di kelilingi serpihan.

Hujung minggu itu, Woods menganjurkan acara tahunan Genesis Invitational di Riviera Country Club.

Beliau bagaimanapun tidak bertanding dalam kejohanan itu kerana mengalami masalah sakit belakang.

Woods yang ketika kemalangan itu memandu bersendirian sedang menjalani pembedahan berikutan kecederaan di bahagian kakinya.

Pemain itu dalam perjalanan ke Rolling Hills Country Club bagi menjalani rakaman bersama GolfTV untuk hari kedua apabila kemalangan berlaku.

Pada 2017, Woods pernah ditahan kerana selepas terlibat kemalangan ketika memandu dalam keadaan mabuk berhampiran rumahnya.

Bagaimanapun dalam kejadian terbaru ini, minuman keras bukan punca kejadian tetapi siasatan masih dijalankan dan beliau dilihat memandu laju sebaik sahaja meninggalkan hotel sebelum kemalangan.