PELAKON dan pengacara Janna Nick mengakui kontroversi yang dihadapinya baru-baru ini telah memberi kesan kepada kerjaya seninya.

Menurut Janna atau nama penuhnya Nurul Jannah Muner dia telah bertindak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang telah mencetuskan provokasi tersebut hingga tular di media sosial.

Jelas Janna, 25,menerusi peguamnya, Ben Syazwin, dia turut membuat tuntutan pampasan terhadap mereka yang bertanggungjawab menyebarkan kekecohan sehingga isu tersebut diperbesarkan.

“Seperti yang dinyatakan oleh peguam, saya akui perkara tersebut telah memberi kesan terhadap karier. Untuk itu saya terpaksa mengambil tindakan tegas selain membuat tuntutan pampasan.

“Tindakan itu dibuat kepada individu yang memulakan provokasi berkenaan sehingga isu ini menjadi sangat besar dan tidak dapat dikawal oleh pihak saya,” jelasnya.

Pelakon Melastik Ke Hatimu itu berkata demikian dalam satu sidang media khas yang diadakan secara maya sebentar tadi.

Dalam pada itu, Janna turut membuat permohonan maaf secara terbuka kepada pihak yang terguris hati dan mendakwa dia mempersenda anggota kumpulan K-pop, Blackpink iaitu Lisa Manoban dengan nama Lisa Blackpig di kapsyen Instagramnya baru-baru ini.

“Saya sebagai pengarah dan penerbit telefilem Delen mengambil sepenuhnya tanggungjawab untuk memohon maaf kepada semua yang terasa hati dan terguris hati dengan kapsyen berkenaan,” katanya.

Pengacara Melodi itu turut terpalit dengan kontroversi kerana didakwa tidak menghormati kematian ahli kumpulan SHINee iaitu Kim Jong-hyun menerusi video lama pada 2018 yang kembali diperkatakan oleh peminat K-pop.

Menurut Ben dari Tetuan Tan Norizan & Associates, penggunaan ‘si mati’ adalah kata ganti nama yang digunakan secara meluas terutama dalam prosiding dan perintah mahkamah.

“Penggunana kata nama ‘si mati’ bagi merujuk kepada individu yang telah meninggal dunia secara sopan dan rasmi.

“Tindakan anak guam saya yang dilihat sedang ketawa dalam video tersebut bukanlah mempersendakan kematian mendiang Jong-hyun sebagaimana yang dituduh dan disebar luas.

“Janna menerima kecaman daripada pengguna media sosial termasuklah ugutan bunuh, tuduhan palsu dan fitnah. Janna juga sudah dipanggil pihak polis bagi memberikan keterangan dan siasatan sedang dilakukan oleh pihak berkuasa adn Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM),” ujarnya kepada URTV.

ARTIKEL BERKAITAN : Janna Nick bersedia saman pesalah laku jenayah siber – “Kesalahan mereka adalah jenayah serius” , Didakwa hina artis K-Pop, Janna Nick buat laporan polis ‘diserang’ netizen