SYARIKAT pengeluar gula, MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) terus menyaksikan pemulihan operasi apabila merekodkan kerugian bersih berjumlah RM71.23 juta, 76 peratus lebih rendah dalam tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 berbanding RM299.77 juta tahun sebelumnya.

Prestasi lebih baik itu dicatatkan menerusi pengukuhan kos pengeluaran serta jumlah pengeluaran dan premium yang lebih tinggi.

Pada masa sama, MSM turut mencatatkan peningkatan dalam jumlah keseluruhan pendapatan sebanyak 22 peratus iaitu RM630.33 juta pada suku keempat 2020 berbanding RM516.04 juta dalam tempoh sama tahun 2019.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Syed Feizal Syed Mohammad, sebahagian daripada kerugian bersih berkenaan adalah hasil daripada margin keuntungan kasar lebih tinggi berjumlah tujuh peratus disebabkan kos penapisan dan gula mentah lebih rendah.

Beliau berkata, kos penapisan berkurang sebanyak tiga peratus tahun lalu berbanding 2019 berikutan kadar penggunaan kapasiti (UF) kepada 23 peratus dan hasil lebih baik terutama di MSM Sugar Refinery (Johor) Sdn. Bhd. yang merekodkan peningkatan dalam hasil daripada 88 peratus kepada 90 peratus.

“Tindakan rasionalisasi kapasiti syarikat melalui penamatan operasi di MSM Perlis serta penyatuan operasi ke kilang baharu, MSM Johor telah mengurangkan kos penapisan dan menambah baik UF.

“Inisiatif lanjut telah dilaksanakan bagi menstabilkan operasi di MSM Johor dengan kelengkapan fasiliti-fasiliti produk baharu. Pertambahan segmen perniagaan bagi pasaran eksport juga telah meluaskan lagi jejak pasaran dan mempelbagaikan aliran pendapatan kami,” jelas beliau dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: 66 juta saham FGV sudah dibeli Felda di pasaran terbuka

Mengulas lanjut, Syed Feizal berkata, premium yang tinggi juga telah meningkatkan jumlah eksport gula bertapis hampir empat kali ganda pada suku keempat 2020 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Katanya, jumlah jualan eksport gula bertapis dan produk-produk eksport baharu seperti gula cari, sirap halus dan pra campuran turut menyumbang kepada peningkatan dalam pendapatan sebanyak lebih RM100 juta.

Walau bagaimanapun, beliau memberitahu, pengurangan permintaan dan waktu operasi perniagaan yang terhad disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menjejaskan jumlah jualan domestik sebanyak sembilan peratus.

“MSM telah berjaya melaksanakan beberapa strategi utama seperti yang dirancang sepanjang tahun dengan penambahbaikan berterusan dalam setiap suku menjadi penanda aras pemulihan syarikat.

“Syarikat akan terus kekal berdaya tahan untuk lebih kompetitif serta memastikan prestasi kewangan kukuh menerusi pemerkasaan strategi perniagaan dan operasi,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram.