Menangis, itulah tanda rahmat Allah

0
72
menangis tanda rahmat Allah

Menangis, itulah tanda rahmat Allah. Tidak tertanggung menahan sebak di dada, terasa berat dan menyakitkan. Air mata mula bergenang, mata berkaca lalu dikatupkan kelopak mata. Setitis air jernih mengalir di sudut mata. Setitis demi setitis dan akhirnya ia sudah tidak mampu dibendung lagi.

Empang air matanya pecah, disambut dengan sedu sedan memanjang. Pentas pun bermula sedu sedan pembuka bicara, air mata jadi pencerita tanpa kata-kata namun jelas maksudnya.

Menangis kerana sedih, gembira, penyesalan, simpati, hipokrit, kesakitan dan ketakutan diukur dengan  air mata. Melihat orang menangis pun air mata boleh berjuraian walaupun sebenarnya bukan diri yang mengalami kesedihan. Perasaan apakah itu? Adakah menangis itu memang sifat manusia? Dan, Islam membenarkannya?

Hebat, tangisan itu. Ia adalah satu anugerah yang Allah berikan kepada setiap manusia seperti mana yang disebut di dalam surah Najm ayat 43,

Dan sesungguhnya, Dialah yang menyebabkan (seseorang itu bergembira) tertawa, dan menyebabkan (seseorang itu berdukacita) menangis.”

Manusia tidak boleh ketawa dan menangis dengan sendirinya tanpa ilham dari Allah. Kemudian di dalam satu surah yang lain juga dijelaskan tentang banyak ketawa akan menangis di akhirat kelak.

Ia disebutkan di dalam surah At-Taubah ayat 82,

Oleh itu bolehlah mereka ketawa sedikit(di dunia ini) dan mereka akan menangis banyak (di akhirat kelak), sebagai balasan bagi apa yang mereka telah usahakan.”

Sedikit ketawa banyakkan menangis.

Menurut Pensyarah Jabatan Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Salasiah Hanin Hamjah, ayat itu menceritakan tentang sifat orang munafik apabila diajak berperang mereka enggan.  Sebab itulah disebutkan ketawalah banyak-banyak di dunia dan di akhirat kelak mereka akan menangis.

Jika dikaitkan keadaan hari ini dengan surah At-Taubah itu bermakna andai banyak sangat ketawa maka kita ada persamaan dengan yang munafik.  Di dalam Islam selalu diingatkan supaya sentiasa bersederhana. Jika hendak ketawa boleh tetapi jangan keterlaluan dan jika hendak menangis boleh tetapi juga usah terlampau sangat.

Rasulullah juga bersabda,

“jangan banyak ketawa kerana sesungguhnya ketawa itu akan mematikan hati.” – HR Ahmad.

Tidak salah menangis, malah ia adalah sinonim dengan Islam. Selagi ia tidak menyalahi syariat dan melanggar batas agama, menangis itu amat digalakkan. Ia merupakan suatu perkara yang sangat baik. Dari segi psikologi, menangis boleh menghilangkan stres, mengeluarkan kesedihan.

Manakala dari segi fisiologi, apabila manusia bersedih kerana berlaku kematian, kecewa atau ditinggalkan, badan akan menjadi bertoksik. Dengan menangis segala toksik itu boleh dikeluarkan, air mata akan melegakan dan menghilangkan tekanan.

Bayangkan jika tangisan itu ditahan, dada akan terasa berat dan menyebabkan tekak sakit. Andai berterusan ditahan kesedihan dan tidak dilepaskan akan terasa berbuku di dalam hati, lama-kelamaan akan menjadi penyakit lain pula.

Menangis mampu menghilangkan tekanan.

Bukan itu saja, malah menangis pun boleh mendapat pahala. Menangis kerana takutkan Allah dijanjikan dengan ganjaran pahala. Ini sudah dijanjikan oleh Allah bahawa orang yang menangis kerana takutkan Nya sudah dijanjikan akan terselamat dari api neraka.  Ada hadis Rasulullah yang menyebut, dari Ibn Abbas,

Aku mendengar Rasulullah bersabda: “Ada dua mata yang tidak akan disentuh oleh api neraka. Pertama mata yang menangis kerana takutkan Allah dan mata yang berjaga malam kerana berjihad di jalan Allah.” – HR At-Tirmizi

Takut Allah itu bagaimana?

Air mata yang mengalir kerana takutkan Allah adalah seperti yang nabi lakukan di tengah malam, bangun dengan solat hajat, tahajud dan menangisi keampunan dari Allah. Menangis kerana takutkan Allah disebabkan banyaknya dosa, bila beristighfar dan meminta ampun dari Allah dan jiwa menjadi tenang.

Menangis dan merayulah pada Allah kerana itu adalah yang paling baik sekali. Air mata itu adalah tanda kasih dan sayang.  Allah lebih suka orang yang menangis kerana takutkannya. Kerana menangis itu adalah lambang kesungguhan, tidak ada air mata yang keluar kerana berpura-pura mahu menangis. Allah akan melimpahkan rahmat Nya, hati menjadi lembut dan penuh dengan kasih sayang.

Menangislah kerana takut kepada Allah S.W.T.

Di dalam Islam air mata itu melambangkan sifat penyayang dan rahmat Allah. Ada sebuah hadis dari Saad bin Ubadah,

“Ya Rasulullah!, pernahkah engkau menangis?” Rasulullah menjawab; “Ya!”.  Saad berkata lagi: “Bukankah engkau melarang kami menangis?” Rasulullah menjawab: “Air mata itu adalah satu rahmat yang Allah turunkan di dalam hati setiap orang yang beriman. Sesungguhnya Allah merahmati hamba-hambanya yang penyayang.”

Sebaliknya orang yang tidak pernah menangis kerana takut kepada Allah dibimbangi hatinya akan menjadi keras dan jauh dari rahmat Nya. Ia juga disebut di dalam hadis nabi s.a.w., dari Jarir r.a.,  Rasulullah bersabda,

Barang siapa tidak diberi sifat lembut, bererti ia tidak diberi kebaikan.” – HR. Muslim

Oleh itu, selagi kita mampu menangis melihat kesedihan orang lain, berhadapan dengan kekecewaan, ditinggalkan orang tersayang, merasa sakit dan takut, itulah tandanya rahmat Allah.  Air mata itu satu rahmat yang Allah turunkan di dalam hati orang beriman. Bersyukurlah jika masih mampu menangis.

____________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram