Misteri kejadian histeria di sekolah. Seorang demi seorang dirasuk…

0
156

Kita selalu mendengar kisah kejadian histeria secara berkumpulan (mass-hysteria) yang berlaku di kawasan sekolah. Dalam setiap kes, termasuk di sekolah-sekolah tadi, puncanya dikaitkan dengan hantu, jin dan syaitan.

Sebagai contoh, diceritakan kejadian itu berlaku akibat gangguan lembaga hitam berambut panjang sampai ke tumit, wanita tua dengan wajah menakutkan dan hantu raya. Hinggakan ada mangsa yang sanggup mengelar tangan dengan pisau, menghisap darah sendiri, bercakap dalam bahasa asing dan mahu terjun bangunan.

Gangguan misteri dalam kes-kes histeria ini mengingatkan saya kepada kajian yang saya lakukan berkaitan histeria, di Segamat, Johor pada awal 1990-an. Saya bukan sekadar menemu bual mangsa, malah saksi-saksi lain yang melihat kejadian mass-hysteria di rumah, sekolah serta kilang. Ya, memang menarik namun dipenuhi misteri.

Kes-kes histeria yang sering terjadi di sekolah.

KISAH 1: Pukul 11.00 malam, Oktober 1989. Suasana sunyi di Sekolah Kebangsaan Kampung Jawa, Segamat, tiba-tiba dikejutkan oleh jeritan seorang pelajar perempuan. Pelajar-pelajar lain yang turut serta dalam program qiamullail sebagai persediaan peperiksaan UPSR, semua terjaga. Apa yang berlaku?

Pelajar berusia 12 tahun itu mengadu dia ternampak satu lembaga hitam memanjat dinding bilik tempat dia dan pelajar-pelajar lain tidur. Lembaga itu kemudian masuk ke dalam lubang siling dan menghilang. Pelajar yang ketakutan itu segera ditenangkan.

Tetapi, belum pun keadaan itu dapat diredakan, terdengar lagi jeritan. Kali ini beberapa orang pelajar melihat lembaga tersebut keluar dari lubang siling dan berkeliaran di sekeliling mereka.

Mereka meraung ketakutan, meronta dan kekejangan. Dari seorang pelajar, ia berjangkit kepada pelajar lain, hingga menjadi berpuluh-puluh orang. Kejadian itu akhirnya berjaya dipulihkan oleh beberapa orang yang berkebolehan, dan qiamullail diteruskan.

Bagaimanapun, kejadian histeria berlaku lagi beberapa hari kemudian. Ia bermula apabila beberapa orang pelajar melihat jelmaan lelaki tua yang daif, berkain pelekat serta berkaki ayam merayau-rayau di sekitar mereka. Selain itu, para pelajar tersebut juga melihat lembaga-lembaga hitam, lelaki dan perempuan berkeliaran di sekeliling sekolah.

Akibatnya, lebih 30 pelajar berusia 11 dan 12 tahun telah kerasukan. Mereka meraung, berguling-guling di tanah dan berlari ke sana ke mari sambil menangis. Ada juga yang memeluk tiang gol, menonggeng dan menekup muka dengan tangan kerana telah dipeluk serta dipegang oleh lembaga-lembaga menakutkan tadi.

Misterinya, kesemua pelajar yang histeria itu berlari ke sebuah kawasan perkuburan berhampiran dan pengsan sesampainya di sana. Seorang tukang kebun cuba membantu, tetapi pulang ke rumah, dia pula yang histeria – menjerit, tidak sedarkan diri, tidak makan dan tidak tidur selama tiga hari berturut-turut.

Dalam keadaan dirasuk itu, tukang kebun berkenaan menyatakan kemarahannya kerana tempat tinggal serta jalan laluannya telah dikotori dengan najis. Apa maksud makhluk yang merasuk tubuh tukang kebun tersebut?

Menurut bomoh, makhluk itu sebenarnya tinggal di sebuah busut di bawah lantai sekolah dan ia marah kerana `dikotori’ oleh program qiamullail. Ertinya, program itu suci bagi kita, tetapi kotor serta najis oleh makhluk-makhluk tersebut. Kononnya juga, histeria berlaku kerana ada hantu raya yang sedang merayau selepas tuannya mati tanpa ada waris yang sudi menerima belaannya tadi.

KISAH 2 : Kejadian histeria yang berulang-ulang kali berlaku di sebuah sekolah menengah di Labis ini memang unik. Menurut guru-guru yang menceritakan kisah ini kepada saya, kejadian mula berlaku apabila seorang pelajar mengingkari amaran seorang lelaki tua yang datang dalam mimpinya, supaya jangan sesekali masuk ke kawasan sekolah. Akibatnya, pelajar ini telah diketuk dan ditolak hingga jatuh oleh `sesuatu.’

Pelajar lain pula kerasukan selepas melihat jelmaan seorang gadis berbogel melambai dan mengajaknya pergi ke sebuah bukit di belakang sekolah. Namun sampai ke tempat itu, dia ditinggalkan begitu saja. Ketika itulah pelajar berkenaan histeria. Tambah menakutkan, selepas beberapa kali kejadian ini berlaku, jelmaan gadis tersebut muncul pula dalam keadaan tubuhnya dipenuhi darah!

Bahagian paling menarik dalam kejadian histeria ini ialah, seorang bomoh yang boleh berkomunikasi dengan makhluk ghaib mengatakan, jelmaan-jelmaan yang merasuk para pelajar tadi adalah daripada Orang Bunian keturunan Kwantong, berasal dari Tanah Besar China dan tidak beragama.

Bagaimanapun, makhluk itu mendakwa dia sudah menjadi mualaf, bertutur dalam Bahasa Melayu dan menggunakan nama Melayu. Antara nama yang disebutkan bomoh tadi ialah Atan, Zamri dan Pak Janggut.

Menurut bumoh itu, hantu yang bernama Atan telah membunuh Mazni, iaitu gadis berbogel yang dilihat oleh mangsa histeria. Usia Mazni sama dengan usia mangsa dan dia ingin bersahabat dengan pelajar tadi. Namun, tindakan Mazni itu tidak dipersetujui oleh Atan lalu dia membunuhnya. Itulah sebabnya Mazni kemudian muncul dalam keadaan berlumuran darah. Kini, Atanlah yang menguasai tubuh pelajar tadi.

Histeria berkumpulan itu berakhir selepas pihak sekolah menunaikan permintaan makhluk Kwantong tadi supaya memberi air kosong serta bubur putih dan merah kepada semua pelajar. Selain itu, bomoh tersebut menaburkan kacang hijau di sekitar sekolah dan para pelajar pula dilarang menyapu sampah selama tiga hari berturut-turut.

KISAH 3: Suatu hari pada tahun 1986, seorang pelajar perempuan dari sebuah tanah rancangan Felda telah mengikut rombongan sekolahnya melawat Melaka. Sampai di kota A Famosa, gadis belasan tahun ini terlihat sebuah patung tidak berlengan yang dipamerkan di kota tersebut.

Tertarik dengan ukiran patung itu, dia mengeluarkan kamera. Ketika inilah sesuatu yang pelik berlaku. Semasa mengambil gambar patung itu, tiba-tiba gadis berkenaan terasa tubuhnya ditarik seseorang. Dia menoleh sekeliling, tiada sesiapa yang melakukannya.

Pulang ke rumah, fikiran si gadis menjadi kacau. Kepalanya sakit dan tidak dapat tidur selama empat hari berturut-turut. Sepanjang masa dia terbayangkan patung itu. Si gadis menangis, meracau, menyanyi dan berlari tanpa tujuan. Pada waktu yang lain dia membaca al-Quran dan sembahyang dalam keadaan separuh sedar. Histeria ini berlaku berulang-ulang kali selama sebulan.

Menariknya, sebelum itu dua orang kakak gadis ini juga pernah mengalami histeria. Kakak yang sulung pernah berlari meredah paya pada malam hari kerana diminati oleh lelaki bunian.

Seorang lagi kakaknya dikatakan histeria selepas disihir seorang lelaki Indonesia menggunakan cermin. Kesan sihir itu menyebabkan dia memecahkan semua objek berkaca yang dilihatnya. Kakak si gadis tersebut juga semasa histeria mengatakan, ada seseorang yang hendak membunuhnya dan mengarahkannya menukar agama.

Kisah di atas hanya secebis daripada pelbagai kes berkaitan histeria. Ada berpuluh-puluh lagi kes dan saksi yang saya temui menceritakan kisah yang hampir sama. Kesimpulannya sama, semua angkara hantu, jin, syaitan dan bunian. 

_____________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram.