Misteri lubang di pulau Oak yang jadi buruan pencari harta karun

0
184

Pada tahun 1795, Daniel MC Ginnis yang baru berusia belasan tahun bersama dua sahabatnya menaiki sampan menyusuri sebuah pulau kecil yang tidak berpenghuni di Teluk Mahone, Kanada.

Mereka mendarat di tenggara pulau itu dan berjalan meneroka keindahan alam sebelum mereka tiba di satu tempat yang dikelilingi dengan pohon-pohon gergasi hutan yang sudah tumbang. Namun, di tengah-tengahnya berdiri gah sebatang pohon oak tua. Di situ, mereka menemukan sebuah lubang.

Pulau Oak.

Mereka membuka penutup lubang yang diperbuat daripada tanah liat. Mereka yakin ada sesuatu di dalamnya lalu menggali lubang itu. Pada kedalaman tiga meter, mereka temui sebuah lagi penutup. Kali ini berupa potongan kayu hutan yang disusun saling bersilangan sebagai penghalang.

Mereka terus menggali dan menemui sebuah lagi penutup daripada tanah liat pada kedalaman enam meter. Mereka yakin ada sesuatu tersembunyi di dalam lubang itu. Namun, mereka sudah tidak berdaya untuk terus menggali.

Remaja itu pulang semula ke rumah dan memberitahu penduduk tentang penemuan mereka. Mungkin ada harta karun tersembunyi di dalam lubang itu. Tetapi, tiada siapa yang berani datang ke pulau itu kerana beranggapan pulau tersebut berhantu.

Sembilan tahun kemudian, Daniel yang sudah dewasa kembali semula ke pulau itu bersama rakan-rakannya. Penggalian disambung semula. Pada kedalaman lebih 27 meter, mereka temukan penutup tanah liat. Pada penutup itu mengandungi simbol-simbol aneh bagai tulisan zaman kuno. Mereka sambung menggali, tetapi gagal menemui sebarang harta karun. Lalu ia berakhir begitu saja.

Hampir 100 tahun kemudian, barulah tulisan pada penutup yang ditemui Daniel itu berjaya diterjemahkan oleh seorang profesor. Ia berbunyi – ‘empat puluh kaki di bawah (batu ini) tertanam dua juta pound.’

Sejak itu, pulau Oak di bahagian selatan pantai Kanada mula menjadi tumpuan pencari harta karun. Penggalian yang dimulakan Daniel disambung oleh orang lain.

Pencarian Harta Karun

Selama bertahun-tahun, mereka tidak henti menggali namun hasilnya tetap hampa. Tiada harta karun besar berjaya ditemui. Pelbagai halangan menimpa termasuk meragut nyawa penggali.

Gambaran kedalaman lubang di Pulau Oak.

Pencari harta karun tidak putus asa. Mereka membuat teori, mungkin pada  kedalaman 35 meter ke bawah, ada laluan terowong lain sama ada di bahagian kiri atau kanan yang boleh membawa kepada tempat harta karun itu disembunyikan.      

Peralatan moden turut digunakan untuk menggali sehingga pada kedalaman 90 meter ke bawah. Pada setiap 10 meter, akan ada lapisan penutup lain ditemui.

Pada kedalaman 90 meter, ditemui sebuah batu sepanjang tiga meter yang terukir huruf-huruf ganjil di atasnya. Menganggap ia sebagai satu petunjuk, penggalian diteruskan. Namun, air mula memenuhi lubang itu setinggi 30 meter. Walaupun disedut keluar, air tidak juga kering.

Setahun kemudian, lubang baru digali dengan harapan untuk menyambungkan ia dengan lubang asal. Tetapi, ia turut digenangi air apabila mencapai kedalaman 100 meter. Usaha itu akhirnya dihentikan apabila menemui kebuntuan.

Pernah penggalian dilakukan dengan teknik gerusi. Ia membawa kepada penemuan lapisan cemara dan lapisan kayu setebal empat inci sebelum lapisan metal setebal 22 inci.

Apabila mesin gerudi dikeluarkan, pernah pasukan penggali dapati beberapa untaian rantai emas tersangkut pada mesin gerudi itu. Ini menambahkan keyakinan mereka tentang harta karun di pulau tersebut.

Tetapi, air dalam lubang itu adalah air masin dan semakin naik apabila air laut mulai pasang. Apabila air laut surut, ada sumber air dari arah lain pula yang masuk ke dalam lubang itu.

Antara penggali yang pernah melakukan pencarian di pulau ini.

Melalui kajian yang dijalankan, didapati pantai itu adalah pantai buatan yang telah dirancang agar lubang itu terhubung dengan pantai tersebut yang berjarak 500 meter. Namun harta karun yang dicari masih gagal ditemui.

Macam-macam usaha penggalian dilakukan di pulau yang dikenali dengan jolokan ‘The Money Pit’ itu dari tahun 1861 sehinggalah sekarang.

Memorial yang dibina bagi memperingati mereka yang terkorban di pulau ini ketika melakukan penggalian.

Ada yang cuba menggali lubang baru ke arah timur dengan harapan menemukan saluran lubang harta karun tersebut. Ada pula yang membuat halangan agar air tidak membanjiri lubang yang digali. Tapi tiada satu pun yang berjaya. Malah, ia hanya meragut nyawa apabila dalam satu penggalian, alat pengepam air yang digunakan tiba-tiba meletup.

Harta Karun Siapa?

Ada beberapa teori yang dikaitkan dengan pemilik harta karun Pulau Oak. Antaranya, lagenda mengenai pelaut bernama Kapten William Kidd yang menyebut, kapten itu menyembunyikan hartanya di pulau tersebut.

Kapten Kidd.

Teori lain pula mengatakan pemilik harta karun itu adalah kerajaan Perancis yang menguburkan harta kerajaan di situ sewaktu kalah dalam perang melawan Inggeris dahulu.

Tak kurang juga yang mengatakan harta itu kepunyaan bangsa Viking. Turut dikaitkan sewaktu penjajahan bangsa Eropah pada abad ke 18, banyak kekayaan peradaban Inca dan Maya yang telah lenyap dan kononnya segala harta itu disembunyikan di Pulau Oak.

Knight Templar.

Bahkan, ada juga teori mengatakan ia lubang yang dibina oleh Knight Templar bagi menyembunyikan Holy Grail dalam legenda Kristian.

Pada tahun 2018, sekumpulan pencari menemui batu permata merah yang dianggarkan berusia 500 tahun.

Ia dikaitkan mungkin ada kaitan dengan harta karun yang hilang kepunyaan Marie Antoinette, ratu Perancis terakhir.

Batu permata yang ditemui di Pulau Oak dan dikaitkan dengan ratu Perancis.

Artifak yang ditemui dari pulau ini banyak dikaitkan dengan teknologi zaman lampau yang masih belum mampu dirungkai. Bagaimana teknik pengaliran saliran air dan hubungannya dengan darat dan bagaimana pulau buatan manusia itu dihasilkan masih menimbulkan misteri sehingga sekarang.