posisi tidur Rasulullah

Inilah posisi tidur Rasulullah s.a.w. yang menafikan kajian barat. Setiap individu mempunyai rentak posisi tidur tersendiri, mengikut keselesaan masing-masing. Apabila letak kepala di bantal, mudah sahaja mata terlelap, hingga berdengkur. Bangun esoknya, mungkin ada yang mengeluh sakit belakang, tidak bermaya, terasa sakit sendi atau juga merasa begitu penat sekali. Seolahnya baru lepas berlari berkilometer.

Sedar atau tidak, kita sangat memandang remeh berkaitan posisi tidur yang sesuai. Ini kerana posisi tidur sangat mempengaruhi perkembangan mental dan fizikal tubuh, terutama ketika proses tumbesaran bayi, dan kanak-kanak. Keadaan tidur yang tidak sesuai, juga memberi kesan terhadap emosi, pemikiran dan tindakan apabila dewasa kelak. 

Dalam membicarakan tentang posisi tidur yang tepat, terdapat begitu banyak kajian yang dilakukan. Kajian ini kebanyakkannya dipelopori oleh barat, yang cuba mengetengahkan idealogi mereka.  Tujuan mereka tidak lain hanyalah, ingin membuktikan kaedah yang mereka unjurkan itu adalah tepat, supaya menjadi ikutan setiap lapisan masyarakat.

Antaranya kajian yang dilakukan oleh Universiti Auckland, New Zealand, wanita hamil yang tidur mengiring ke kiri di hari-hari terakhir, sebelum proses bersalin dapat mengurangkan risiko kematian bayi. Manakala wanita hamil yang tidur mengiring di sebelah kanan pula, mempunyai dua kali ganda risiko kematian bayi. Kajian ini telah disiarkan dalam British Medical Journal.

Kajian Barat mengatakan tidur mengiring ke kiri memberi kesan positif namun Rasulullah s.a.w. menggalakkan umatnya tidur mengadap ke kanan.

Kajian tersebut disokong pula oleh American Pregnancy Association yang menyatakan, posisi tidur yang paling baik ialah mengiring di sebelah kiri, kerana ia dapat menambahkan kuantiti darah dan nutrien, serta membanyakkan plasenta bayi dalam kandungan.

Hasil dari kajian itu jelas menunjukkan bahawa, tidur mengiring sebelah kiri memberi kesan yang positif terhadap tubuh badan, terutama kepada ibu yang sedang hamil. Namun begitu, sejauhmana kajian tersebut benar dan mendatangkan kebaikan, sedangkan Rasulullah s.a.w. menggalakkan umatnya, untuk tidur dengan mengiring ke kanan. Dan tidak pula dinyatakan syarat-syarat tidur itu terhadap individu-individu tertentu.

Perlu difahami bahawa, posisi tidur amat penting dititik beratkan, kerana ia mempengaruhi proses perkembangan manusia, terutama ketika anak-anak masih di peringkat bayi. Jadi, sebagai ibu bapa perlu kiranya, mengambil berat bagaimana posisi tidur anak-anak mereka, supaya membesar dengan mental dan fizikal yang baik.

Dalam merungkai persoalan ini, Prof. Madya Dr. Rohani Abdullah, Pakar Perkembangan Kanak-kanak Universiti Putra Malaysia (UPM) menyatakan, memang terdapat kajian dari barat yang menyatakan bahawa, bayi seeloknya hendaklah tidur dengan posisi meniarap, supaya sisa makanan atau susu mudah keluar ketika tidur, dan tidak tercekik atau tersedak susu.

Akan tetapi, hasil dari kajian itu menunjukkan kesan sebaliknya kerana, berlaku banyak kematian bayi secara mengejut. Begitu juga dengan posisi tidur mengiring ke sebelah kiri. Ini kerana, apabila tidur dengan meniarap, maka segala organ dalam badan seperti jantung, paru-paru dan lain-lain mengalami tekanan yang berat dari tubuh.

Bahkan, apabila tidur dengan meniarap juga, maka proses pernafasan tidak berjalan dengan lancar. Oksigen yang disedut menjadi kurang, manakala karbon dioksida yang dihembus keluar, kembali disedut semula. Kesan dari ketidak lancarnya pernafasan ini, menyebabkan jantung menjadi lemah dan berlaku banyak komplikasi, ujarnya.

Tambahnya lagi, “tidur yang paling elok bagi bayi, dan kanak-kanak ialah dengan cara menelentang atau mengiring ke kanan, sebagaimana yang dikatakan oleh Rasulullah s.a.w.

 Apabila tidur dengan posisi ini, maka jantung, paru-paru dan organ dalaman tidak mengalami tekanan, manakala proses pernafasan berjalan dengan lancar, dan ini yang dapat membantu menguatkan sistem dalaman tubuh.

Bayi yang tidur tanpa bantal dapat mengelakkan berlaku kemek pada tempurung kepala bayi.

Biarkan bayi tidur di atas tilam tanpa berbantal, bagi menjaga struktur tulang belakang, dan mengelakkan berlaku kemek pada belakang kepala bayi. Ibu bapa yang merokok tidak digalakkan, untuk tidur bersama dengan bayi.

Menurut kajian yang dilakukan, bayi yang tidur bersama ibu bapa yang merokok, berisiko tinggi untuk mengalami komplikasi kesihatan apabila besar.”

Jelasnya lagi, melalui kaedah Chikida, apabila bayi dalam fasa untuk tidur, ibu bapa hendaklah berinteraksi bersama bayi, dengan menyebutkan kata-kata yang positif. Proses ini bagi menggalakkan otak kanan berkembang dengan baik. Ini kerana otak kanan berfungsi sebagai daya penggerak kreativiti, emosi, imaginasi dan sesuatu yang bersifat seni.

Tegasnya, tidur yang cukup amat diperlukan tubuh kerana, segala fungsi tubuh akan kembali cergas dan aktif. Kanak-kanak perlu tidur lebih dari 4 jam supaya hormon tumbuhan mereka dapat dirembes keluar. Hormon ini sangat penting, dalam proses tumbesaran mereka, kerana ia melibatkan ketinggian dan pembaikan sel-sel.

Tidur yang cukup, membantu dalam proses penyimpanan data yang lengkap dalam memori. Dalam keadaan tidur, maka segala memori ketika sedar dapat disimpan dengan baik. Namun begitu, sekalipun mempunyai tidur yang cukup, ia tetap mendatangkan mudarat pada tubuh jika posisi tidur tidak dijaga dengan baik.

_____________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram