Gambar yang tular di media sosial mendakwa polis menyaman penunggang motor Harley-Davidson disebabkan bunyi ekzos yang bising. - GAMBAR MEDIA SOSIAL

Kalau dah motosikal berkuasa tinggi, tentulah ekzos tidak perlu diubahsuai pun sudah kuat bunyinya.

Jadi, agak pelik sekiranya mana-mana kenderaan yang menggunakan peralatan atau aksesori asal dikenakan tindakan saman.

Itu yang kononnya berlaku kepada pemilik motosikal berkuasa tinggi Harley-Davidson yang disaman polis dengan gambarnya tular baru-baru ini.

Rupa-rupanya, tindakan pihak polis menyaman penunggang motosikal Harley-Davidson itu adalah kerana nombor pendaftaran fancy dan tidak mengikut spesifikasi, bukannya bunyi ekzos yang bising.

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman memaklumkan penunggang motosikal berkuasa tinggi itu dikenakan saman ketika operasi JSPT Kuala Lumpur bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) di Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Katanya, operasi bertujuan menguatkuasakan peraturan dan undang-undang sedia ada terhadap semua pengguna kenderaan, termasuk kesalahan mengubah suai ekzos menyebabkan bunyi bising melebihi had dibenarkan.

“Susulan operasi itu, JSPT mengesan satu gambar tular di media sosial mengaitkan tindakan saman atas kesalahan ekzos bising pada motosikal jenis Harley-Davidson.

“Gambar itu jelas disalah tafsir kerana tindakan saman ke atas penunggang adalah bagi kesalahan nombor pendaftaran ‘fancy’ dan bukan kesalahan ekzos bising,” katanya dalam kenyataan seperti dipetik BH Online.

Baca artikel berkaitan: Saman bukan sebab sarung tangan, tapi ingkar SOP – Polis

Menurut kenyataan itu lagi, mana-mana kenderaan yang menggunakan peralatan dan aksesori mengikut spesifikasi keluaran asal kilang adalah tidak melakukan kesalahan.

“JSPT ingin menegaskan mana-mana kenderaan yang menggunakan peralatan dan aksesori mengikut spesifikasi keluaran asal kilang adalah tidak melakukan kesalahan.

“Walau bagaimanapun, jika terdapat pengubahsuaian dilakukan tanpa mendapat kelulusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) adalah satu kesalahan dan boleh diambil tindakan undang-undang,” katanya.

Katanya, semua pengguna dan pemilik kenderaan diminta mematuhi peraturan dan undang-undang supaya tidak melakukan pengubahsuaian tanpa kebenaran demi memastikan keselamatan dan keselesaan awam.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram