Sissy Imann jatuh kuda, ucap syahadah berkali-kali – “Terima kasih Allah untuk peringatan…”

0
90
sissy imann

PENYANYI dan pengacara Sissy Imann mengalami kecederaan selepas terjatuh ketika menunggang kuda untuk rakaman sebuah program televisyen.

Jelas Sissy, aktviti berkuda itu merupakan pengalaman pertamanya dan tidak sangka berdepan insiden mencemaskan selepas kuda yang ditunggangi tiba-tiba membuat pusingan semula (uturn) ketika sedang menuju bukit.

“Hari ini merupakan pengalaman pertama saya menunggang kuda untuk sebuah program TV. Jujurnya saya memang agak takut dan gementar kerana pada awalnya saya tidak mahu melakukannya.

“Tetapi kuda tersebut kelihatan mesra dengan saya selepas beberapa pusing memanaskan badan. Tapi Allah nak hapuskan dosa rasanya, masa menunggang naik bukit, kuda itu tiba-tiba berpatah balik dan menuruni bukit dengan kelajuan penuh.

“Memang merasalah kuasa kuda. Dalam hati memang berkali-kali ucap syahadah dan saya menjerit sebab kuda itu turun bukit dalam keadaan yang sangat laju.

“Akhirnya, saya terlambung jatuh ke sebelah kanan kuda bila dah sampai ke bawah, nasib tak dipijak kuda. Cuma rasalah kaki kuda berada atas badan saya,” katanya.

Dalam pada itu, Sissy atau Sissy Iman Mohammad Kamil itu tetap bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan yang serius walaupun badanya terasa sakit akibat kesan hentakan yang kuat.

Katanya, kejadian terbabit telah membuatkan dia mengalami trauma saat memejamkan mata dan membayangkan insiden berkenaan.

“Dah pergi klinik buat x-ray, setakat ini doktor kata tak ada apa yang patah atau retak. Tulang semua okey… alhamdulillah, cuma lebam dan luka calar sana sini sebab terhentak jatuh tapi sumpah ia memang menyakitkan.

“Jadi doktor cucuk ubat tahan sakit sebelum buat x-ray sebab saya memang tak boleh baring langsung. Sekarang saya berehat di rumah, jalan pun kena orang papah… nak baring pun sakit.

“Pengalaman yang trauma setiap kali saya pejamkan mata, saya akan terbayangkan situasi yang mencemaskan itu berulang kali dalam fikiran.

“Saya dengan rendah hati nak pohon doa semua supaya saya dikurniakan kesembuhan segera. Terima kasih Allah untuk peringatan ini, macam mana kita yakin semuanya akan selamat dengan kuasa Alalh, Kun Fayakun,” luahnya di Instagram.

Sissy turut berharap ibu bapanya berhenti menyalahkan diri sendiri kerana apa yang berlaku bukanlah berpunca daripada mereka.