Tak tahan sering bergaduh, Wawa Zainal dedah pernah minta cerai dengan Aeril Zafrel

0
133
wawa zainal

PELAKON Wawa Zainal mendedahkan dirinya pernah meminta cerai daripada suaminya, Aeril Zafrel ketika awal perkahwinan mereka dulu.

Wawa atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin membuat pengakuan itu sewaktu sesi perkongsian mengenai alam perkahwinan menerusi video yang dimuat naik di Instagram doktor perubatan dan pakar motivasi terkenal, Datuk Prof. Dr. Muhaya Mohamad.

Dedah Wawa, 29, perjalanan rumah tangga mereka tidaklah seindah yang dibayangkan seperti sekarang. Katanya, mereka pernah teruk dikecam gara-gara kontroversi melibatkan pernikahan sehingga telah menjejaskan pendapatan sebagai anak seni.

Berkahwin pada usia yang sangat muda dan belum matang, ia mudah mempengaruhi keputusannya tanpa berfikir panjang sehinggakan Wawa tekad meminta cerai kerana kerap berlakunya pertelingkahan di awal perkahwinan.

Namun, dia bersyukur kerana dikurniakan seorang suami yang cukup penyabar dan dia perlahan-lahan belajar dengan Aeril untuk menjadi seorang yang matang dan saling bertolak ansur.

“Pada waktu itu saya masih muda, kita sejenis belum matang maksudnya. Sikit-sikit gaduh, sikit-sikit benda kecil diperbesarkan. Sikit-sikit tanpa berfikir panjang, ‘eh kau ceraikan aku’.

“Saya banyak belajar daripada sikap Aeril untuk menjadi seorang penyabar. Masa itu Aeril sangat sabar melayan saya.

“Alhamdullilah, saya pun tak sangka kami bertahan sehingga sekarang, sembilan tahun perkahwinan yang mana saya banyak terinspirasi daripada Aeril.

“Banyakkan bersabar dan betolak ansur dengan pasangan masing-masing,” ujarnya.

Wawa dan Aeril berkahwin pada 25 Februari 2012 secara rahsia sehinggakan berita tersebut tersebar dan mengejutkan industri hiburan tanah air ketika itu.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Ahmad Fakharuddin Attar,8, Hayla Maghfirahtul Adzkiyaa,6 dan Aya Soffya,2.