Undian menuju PRU-15, BN mendahului

0
10470

Barisan Nasional (BN) menjadi pilihan utama pengunjung dalam kaji selidik Siapakah pilihan anda dalam PRU-15 yang dijalankan oleh portal UtusanTV.

Dalam tempoh 24 jam, kaji selidik yang dimuatkan dalam portal UtusanTV mulai pukul 8.21 pagi semalam mendapat sambutan memberangsangkan apabila 24,256 responden mengambil bahagian dalam pengundian. Jumlah itu lebih separuh daripada keseluruhan 52,386 klik kaji selidik tersebut.

BN mendapat 35 peratus atau 8,570 undi manakala gabungan UMNO dan Pas melalui Muafakat Nasional menduduki tempat kedua dengan perolehan undi 7,340 undi atau 30 peratus.

Gabungan Perikatan Nasional yang Pas turut menjadi anggota rasmi dan BN mendapat 3,552 undi atau 15 peratus mengatasi Pakatan Harapan yang menduduki tempat keempat dengan 3,346 undi atau 15 peratus.

Perikatan Nasional pula menduduki tempat terakhir daripada lima parti yang disenaraikan iaitu 1,449 undi atau 6 peratus.

Pemilihan BN bukan sesuatu yang mengejutkan memandangkan Kerajaan Perikatan Nasional kini dikatakan berhadapan dengan pelbagai isu yang dilihat menggugat populariti kerajaan berusia setahun tersebut.

Keadaan itu juga menyebabkan Perikatan Nasional tetap mendapat undi terendah walaupun diletakkan dalam pilihan Perikatan Nasional (+Pas) dan BN atau Perikatan Nasional.

Kecenderungan pengunjung memilih Muafakat Nasional pula dipercayai atas keyakinan gabungan itu bukan sahaja akan mampu menyatukan orang Melayu tetapi juga memperjuangkan kepentingan mereka jika memenangi pilihan raya.

Walaupun pemimpin Pakatan Harapan membuat pelbagai tuduhan terhadap kewujudan Kerajaan Perikatan Nasional selepas mereka hilang kuasa pada hujung Februari tahun lalu, namun ia dilihat belum mampu menarik pengunjung memilih pakatan yang dianggotai oleh PKR, DAP dan Amanah itu.

Bagi memastikan ketelusan undian, pengunjung hanya boleh mengundi sekali sahaja untuk setiap alamat internet protokol (IP). Undian ini telah menyebabkan jumlah trafik yang tinggi berbanding hari-hari biasa, sehingga kelancaran web UtusanTV terganggu semalam.

Semasa tempoh undian, pasukan lama web UtusanTV juga memantau dengan dekat bagi mengelakkan sebarang kemungkinan penggunaan robot. Pengundian menggunakan WP-Polls (Undian WordPress) – perisian yang dikenali sebagai mempunyai peraturan yang ketat.

Undian ini akan diteruskan bagi membolehkan lebih ramai orang mengundi.

UtusanTV adalah platform media pelbagai kandungan berita semasa dan bisnes yang diolah bagi menampilkan perspektif yang mudah difahami umum.

Kandungan portal ini menggabungkan enam majalah yang dikenali sejak berzaman iaitu Mastika (1941), Wanita (1969), URTV (1970), Al Islam (1974), Saji (1995) dan Hijab (2013). – UtusanTV