penyelesaian ambank
Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

AMMB Holdings Bhd bersetuju dengan penyelesaian global bernilai RM2.83 bilion bagi menyelesaikan semua tuntutan dan tindakan tertunggak berkaitan penglibatan Kumpulan AmBank di dalam isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan berkata, penyelesaian global terkini itu sebahagian daripada usaha tuntutan kembali oleh kerajaan yang berterusan terhadap semua pihak terlibat dengan 1MDB dan entiti yang berkaitan dengannya.

Menurut MOF, pada Julai 2020, kerajaan telah berjaya dalam rundingan dengan Goldman Sachs untuk mencapai penyelesaian bernilai RM15.8 bilion (AS$3.9 bilion).

“Walau bagaimanapun, kesemua penyelesaian ini tidak akan membebaskan entiti dan individu lain dari salah laku mereka di dalam kes 1MDB dan mereka akan tetap didakwa menerusi sistem keadilan mahkamah.

“Penyelesaian global oleh AMMB Holdings adalah berkait dengan pematuhan undang-undang sekuriti dan garis panduan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

“Sebahagian dari terma penyelesaian global ini termasuk syarat oleh SC supaya AmInvestment Bank Bhd mengambil langkah pembetulan, termasuk menambah baik sistem dan proses untuk memperkuatkan kerangka kerja tadbir urus mereka di dalam penilaian sukuk terbitan korporat,” kata MOF.

Sementara itu, dalam kenyataan sama, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz pula berkata, penyelesaian terbaharu itu memberi manfaat kepada rakyat Malaysia.

Penyelesaian AmBank
Penyelesaian dengan AmBank berjumlah hampir RM3 bilion dicapai, tetapi kes-kes tuntutan dan mahkamah ke atas individu berkaitan 1MDB tetap berjalan.

Katanya, penyelesaian melalui sistem mahkamah akan membabitkan masa dan sumber kewangan yang banyak.

“Dengan penyelesaian ini, pembayaran jumlah berkenaan akan dipercepatkan, dan tidak akan tertangguh melalui sistem pengadilan mahkamah yang akan memakan masa.

“Jumlah ini juga dapat digunakan untuk melangsaikan kewajipan tertunggak 1MDB,” katanya.

Jumlah penyelesaian itu adalah tambahan kepada denda RM53.7 juta yang dikenakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan dibayar oleh Kumpulan AmBank, kata MOF.

“Kumpulan AmBank telah pun mengambil langkah menyeluruh untuk memperbetulkan kekurangan yang berkaitan dengan urus niaga terbabit.

“Ini termasuk langkah-langkah di bawah program pemulihan yang disyaratkan oleh BNM untuk dilaksanakan oleh Kumpulan AmBank, yang kini diterajui oleh lembaga pengarah dan pasukan pengurusan kanan yang baharu.

“Dengan langkah ini, Kumpulan AmBank berada dalam keadaan lebih baik untuk terus melindungi kepentingan pendeposit serta pemegang saham, dan bagi memastikan pertumbuhannya di masa hadapan,” katanya.

Baca artikel berkaitan: Kerajaan Malaysia saman sekutu Jho Low

Tambahnya, penyelesaian global berkenaan tidak akan mempengaruhi atau menjejaskan tuntutan Malaysia terhadap individu seperti Jho Low, Jasmine Loo dan pihak lain yang berkaitan dan yang masih giat dicari berkaitan dengan skandal 1MDB.

“Kementerian Kewangan ingin merakamkan penghargaan kepada Jabatan Peguam Negara, SC, BNM, Polis Diraja Malaysia, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia serta Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah atas usaha mereka dalam mencapai penyelesaian ini,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram