Benarkah penulisan buku ilmiah tidak lagi diminati?

0
34
Ahli panel Forum Penulisan Buku Kewartawanan Sejak 1971: Satu Perbualan yang berlangsung di Studio MPI, Cyberjaya. Dari kanan: Amirul Akhbar (UiTM), Dr. Mohd Safar Hasim (MPI), Profesor Datuk Dr. Ahmad Murad Merican (UIAM). Dua lagi ahli panel, Ismail Hashim (UniSel) dan Datuk Zaini Hassan (bebasnews) bersiaran dari kediaman masing-masing. Datuk Dr. Chamil Wariya (kiri) bertindak sebagai moderator forum


Oleh : CHAMIL WARIYA

Banyak isu telah dibangkitkan dalam forum Penulisan Buku Kewartawanan Sejak 1971: Satu Perbualan yang berlangsung pada 24 Februari lalu anjuran bersama Malaysian Press Institute (MPI) dan Persatuan Pengajar Kewartawanan Malaysia (MJTS = Malaysia Journalism Teachers Society) di Cyberjaya, Selangor.

Forum yang berlangsung secara maya melalui Google Meet dan Facebook Live itu telah menampilkan lima orang ahli penal yang terdiri daripada ahli-ahli akademik tersohor dalam bidang kewartawanan dan seorang mantan wartawan kanan.

Ada dua isu menarik minat saya untuk dicatat dalam tulisan ini bagi dijadikan renungan kita semua.

Pertama, dakwaan bahawa penulisan buku-buku ilmiah tidak lagi menarik minat orang akademik dan kedua tanggapan bahawa selepas 50 tahun subjek kewartawanan diperkenalkan di negara ini pada 1971, pengajarannya masih lagi berkiblatkan ilmu dan teori Barat.

Mengenai isu pertama, pandangan dilontarkan dalam forum tersebut oleh sebilangan peserta bahawa menulis buku-buku ilmiah berkaitan dengan kepakaran dan bidang kajian yang diminati dalam kalangan ahli-ahli akademik merupakan satu keghairahan yang jelas kelihatan satu waktu dulu.

Ketika itu, mereka berlumba-lumba untuk menghasilkan penerbitan yang dari segi etos akan mengiktiraf keilmuan mereka dalam bidang pengajaran masing-masing.

Paling tidak, kata mereka, penyelidikan yang dilakukan untuk melengkapkan pengajian mereka pada peringkat ijazah sarjana dan doktor falsafah (PhD) akan diolah semula untuk disajikan dalam bentuk buku untuk khalayak dunia akademik dan bukan akademik menatap dan membacanya.

Buku-buku yang dihasilkan itu pula akan digunakan sebagai rujukan, kajian dalam kalangan pelajar di menara gading dan masyarakat umum di luar kampus.

Tetapi minat untuk menerbitkan buku-buku akademik itu dikatakan menurun dalam kalangan orang-orang akademik sejak beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk dalam bidang kewartawanan yang pengajarannya pada peringkat ijazah sarjana muda diperkenalkan di Universiti Sains Malaysia di Pulau Pinang pada Julai 1971.

Hal ini dikatakan berlaku kerana buku-buku ilmiah yang dihasilkan oleh ahli-ahli akademik tidak lagi diambil kira dalam kenaikan pangkat menjadi professor madya atau profesor di universiti awam.

Menurut mereka apa yang dinilai adalah artikel-artikel ilmiah yang diterbitkan oleh jurnal-jurnal akademik yang berstatus Scorpus sekurang-kurangnya menyebabkan fokus para pensyarah di universiti tidak lagi terarah untuk menulis buku ilmiah dalam bidang masing-masing, tetapi sebaliknya menghasilkan artikel ilmiah bagi diterbitkan dalam jurnal-jurnal terpilih.

Antara peserta yang menyertai Forum Penulisan Buku Kewartawanan Sejak 1971: Satu Perbualan menggunakan platform Google Meet pada 24 Februari 2021 lalu. Penganjur bersama forum ialah MPI dan MJTS.

Antara peserta yang menyertai Forum Penulisan Buku Kewartawanan Sejak 1971: Satu Perbualan menggunakan platform Google Meet pada 24 Februari 2021 lalu. Penganjur bersama forum ialah MPI dan MJTS.

Hal ini antara lain disentuh oleh Profesor Dr. Faridah Ibrahim dari Infrastructure University Kuala Lumpur (IUKL), Dr. Mumtaz Aini (Universiti Malaya), Profesor Datuk Dr. Murad Merican dan beberapa yang lain sewaktu menyatakan pandangan mereka pada forum tersebut.

“Apa yang berlaku ini adalah menyedihkan,” kata Datuk Dr. Ahmad Murad, kini profesor sejarah sosial dan intelek di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Dr. Mohd Safar Hasim yang pernah mengajar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebelum bersara pada 2016 juga senada.

Malah Datuk Dr. Murad pergi jauh lagi dengan mengatakan bahawa seandainya universiti-universiti awam kekal dengan dasar sekarang dalam menentukan kenaikan pangkat, maka kesarjanaan dalam kalangan ahli-ahli akademik akan berkubur.

“Mereka tidak akan menghasilkan buku-buku ilmiah, pada hal orang-orang akademik sepatut berbuat demikian,” ujaran beliau.

Lalu Profesor Murad merayu ahli-ahli akademik dalam jurusan kewartawanan supaya terus produktif menulis buku walaupun buku yang dihasilkan tidak diiktiraf untuk tujuan mendapat pangkat dalam dunia akademik.

Beliau juga mencadangkan pelbagai kalangan yang berkuasa di pusat-pusat pengajian tinggi supaya menilai semula mekanisme kenaikan pangkat yang diamalkan sekarang kerana ia merugikan dunia ilmu dari segi jangka panjang.

Selain minat yang menurun untuk menulis buku ilmiah dalam bidang kewartawanan, ada antara peserta menimbulkan soal pengajaran kewartawanan di negara ini yang masih berkiblat kepada ilmu dan teori kewartawanan Barat walaupun telah setengah abad subjek tersebut diajar di pusat-pusat pengajian tinggi.

Antara mereka yang lantang bersuara mengenai perkara ini adalah Ismail Hashim yang mahu teori pemberita barat seperti “bad news is good news” dan berita adalah apabila “manusia menggigit anjing” dinyahkan dalam pengajaran pemberitaan di negara ini.

Berita tidak semestinya sesuatu yang buruk, ujar beliau yang mahu nilai-nilai bukan Barat terutamanya apa yang dianjurkan oleh Islam dan negara-negara Timur yang lain turut dijadikan sebagai nilai berita yang diajar kepada para pelajar wartawan tempatan.

Malah bagi Profesor Datuk Seri Dr. Syed Arabi Aidid, mantan Rektor UIAM, bukan sahaja pengajaran kewartawanan berkiblat ke Barat, tetapi kewartawanan Malaysia itu sendiri masih belum ada worldview tempatan.

Justeru beliau mencabar orang-orang akademik dalam bidang kewartawanan supaya mula menghasilkan buku-buku kewartawanan yang menonjolkan world view Malaysia terutamanya dari segi teori.

Beliau juga mencadangkan supaya lebih banyak buku-buku teks yang bersifat tempatan dihasilkan bagi digunakan secara menyeluruh di sekolah-sekolah kewartawanan IPT – awam dan swasta di negara ini.

Beliau juga meminta mereka yang berminat dengan subjek kewartawanan dan media memperbanyakkan kajian kes mengenai organisasi media tempatan untuk membolehkan “kita memahami misalnya mengapa syarikat media seperti Kumpulan Utusan gagal dan mengapa undang-undang tertentu berkaitan media diperkenalkan.”

Lima orang ahli panel yang mengambil bahagian dalam forum tersebut ialah presiden MJTS, Profesor Datuk Dr. Ahmad Murad Merican, ahli Lembaga Pemegang Amanah MPI, Dr. Mohd Safar Hasim, ahli akademik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Amirul Akhbar, pensyarah kewartawanan UniSel, Ismail Hashim dan penasihat editorial portal berita bebasnews dan juga mantan penolong ketua pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zaini Hassan.
Pengerusi MPI, Datuk Dr. Chamil Wariya bertindak sebagai moderator.