FGV kembali catat untung, cecah RM150 juta

0
966

FGV Holdings Berhad kembali mencatatkan prestasi positif dalam tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 apabila mengaut keuntungan bersih sebanyak RM150.02 juta berbanding kerugian bersih RM246.17 juta tahun sebelumnya.

Pendapatan syarikat tersebut turut melonjak 6.2 peratus kepada RM14.08 bilion sepanjang tahun lalu berbanding RM13.26 bilion bagi tempoh 12 bulan pada tahun 2019.

FGV dalam makluman kepada Bursa Malaysia memberitahu, untung bersih bagi suku keempat 2020 juga naik mendadak 87.8 peratus kepada RM134.9 juta berbanding RM71.8 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

Pada masa sama, perolehan antara bulan Oktober hingga Disember 2020 turut meningkat kepada RM4 bilion daripada RM3.15 bilion bagi tempoh sama 2019.

Baca artikel berkaitan: Felda beli 4.63 juta saham FGV

66 juta saham FGV sudah dibeli Felda di pasaran terbuka

Untuk tempoh yang dikaji, harga purata minyak sawit mentah (MSM) adalah RM3,059 setiap metrik tan (MT), lebih tinggi daripada harga purata MSM yang direalisasikan pada suku keempat 2019 sebanyak RM2,159 setiap MT.

Harga purata minyak sawit mentah yang direalisasikan untuk tahun kewangan 2020 meningkat 32 peratus kepada RM2,675 setiap MT berbanding RM2,021 setiap MT pada tahun sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan (gambar) dalam kenyataan berasingan berkata, syarikat itu melaporkan prestasi kewangan positif tertinggi dalam tempoh lima tahun walaupun berhadapan pelbagai cabaran pada tahun 2020.

“Wabak pandemik Covid-19 mempengaruhi permintaan domestik dan global serta semakin terjejas disebabkan aktiviti huluan seperti menuai dan mengumpul tandan buah segar (TBS) yang tergendala kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“FGV menjangkakan tahun 2021 akan menjadi tahun yang penting berikutan cabaran dalam bekalan tenaga kerja dan turun naik harga MSM dalam perniagaan perladangan kami. Perniagaan gula pula akan terus menambah baik prestasi operasi dan kewangannya.

“Namun, kumpulan akan berpandu kepada strategi untuk meletakkan semula kedudukan FGV sebagai pemain agri perniagaan terkemuka untuk mencipta nilai dalam perniagaan hilirannya,” tambah Haris Fadzilah.

Haris Fadzilah turut memaklumkan, FGV memperuntukkan 75,000 MT daripada pengeluaran dedak isirung sawit (PKE) tahun ini sebagai makanan haiwan untuk penggunaan tempatan.

“Ia bersamaan hampir 20 peratus daripada jumlah pengeluaran PKE kami. FGV juga telah mewujudkan rangkaian pengedaran di seluruh Semenanjung Malaysia untuk memastikan bekalan sampai kepada petani tempatan dengan efektif,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram.