Pandangan mata dari panahan iblis

0
46
pandangan mata panahan iblis

Pandangan mata dari panahan iblis. Pepatah ada mengatakan, dari mata turun ke hati. Ungkapan ini terhasil kerana mata merupakan jendela jiwa. Dengan menatap mata seseorang, kita boleh mengetahui banyak perkara tentang orang tersebut.

Semua perkataan, perbuatan, gerak badan dan emosi kita adalah gambaran luaran rohani atau spiritual kita.  Oleh itu, sesuatu perbuatan yang dilakukan oleh manusia akan dinilai di sisi Allah berdasarkan niat. Dan niat itu pula datangnya dari hati.

Hubungan antara mata dan hati, hubungan yang tak dapat disembunyikan. Apa saja yang terdetik di hati akan tergambar di tubir mata. Firman Allah Taala dalam surah Al-Mu’min: 19 yang bermaksud,

Allah mengetahui (pandangan) mata yang khianat, dan apa yang disembunyikan dalam hati.”

Apa yang dimaksudkan dengan pengkhianatan mata berdasarkan tafsir ialah, mata yang melihat secara haram dan juga mata yang tidak melihat secara langsung tetapi melihat bila adanya kesempatan.

Justeru,  Islam menyuruh setiap umatnya lelaki mahupun perempuan supaya menjaga pandangan mata. Ini kerana pandangan mata itu sangat luas, merangkumi pandangan sinis atau memperkecilkan orang lain termasuklah pandangan mata yang menjadi sumber perbuatan memfitnah dan mengumpat.

Sesungguhnya fitnah yang timbul dari mata dan suara adalah sama-sama bahaya. Dari mata, akan timbul di fikiran cantik buruk sesuatu perkara. Jika buruk apa yang dilihat, maka keluarlah dari mulut perkara-perkara yang tidak enak didengar. Begitu jugalah sebaliknya. Oleh kerana itu menjaga pandangan mata amat penting di sisi Islam.

Jagalah pandangan anda dari perkara yang haram

Larangan tegas dalam menjaga pandangan mata  turut dapat dibuktikan dengan kisah Rasulullah. Dikisahkan, ada di antara seorang Quraisy bernama Abdullah bin Abi Sarh, seorang yang pernah memeluk Islam.

Oleh kerana kebaikan dan kecerdasannya, Nabi s.a.w. mengangkatnya untuk menjadi penulis wahyu. Sayangnya, baru menulis beberapa ayat dari Al-Quran, dia murtad dan melarikan diri ke Mekah.

Di Mekah, dia membocorkan segala rahsia pertahanan Madinah hingga mencetuskan peperangan di kalangan penduduk Madinah. Maka ketika terjadi Fathul Makkah, Rasulullah memerintahkan,

Sesiapa pun yang bertemu dengan Abdullah bin Abi Sarh, di mana pun dia bahkan meskipun bergantung di atas Kaabah, bunuh.” Ini kerana dosanya tidak dapat diampunkan dan kesalahannya terhadap kaum Muslimin terlalu besar untuk dimaafkan.

Setelah beberapa waktu, Abdullah bin Abi Sarh pulang ke Madinah dan meminta pertolongan saudara susunya, Uthman bin Affan r.a untuk berjumpa Rasulullah s.a.w  dan mengharapkan Baginda memaafkannya.

Lalu dibawa Abdullah berjumpa dengan Rasulullah yang sedang bersama-sama sahabat yang lain dan memohon agar Baginda Rasulullah memaafkan Abdullah. Setelah sekian lama Rasulullah mendiamkan diri dan menundukkan kepala, akhirnya Baginda mengatakan “Ya.”

Lalu, Uthman bergegas membawa Abdullah bin Abi Sarh ke tempat yang aman. Setelah itu, Rasulullah bersabda,

“Andai saja tadi ada di antara kalian yang maju dan memenggalnya, sesungguhnya aku telah berdiam lama agar ada di antara kalian yang maju dan memukul tengkuknya.”

Salah seorang dari kaum Al-Anshar berkata,

“Mengapa engkau tidak memberi isyarat kepada kami ya Rasulullah?” Rasulullah bersabda,

“Sesungguhnya seorang Nabi tidaklah berkhianat meski hanya dengan isyarat mata!”

Rasulullah s.a.w  juga bersabda,

“Pandangan itu panah yang beracun dari panah-panah iblis. Oleh itu, barang siapa yang meninggalkan pandangan kerana takut akan seksaan Allah maka ia akan memperoleh kemanisan iman dalam hatinya.”

Menjaga pandangan mata adalah kunci keselamatan diri

Oleh kerana itu, menjaga pandangan mata merupakan kunci keselamatan diri agar iman tidak runtuh dan diri terpelihara dari  hasutan syaitan yang tidak pernah berputus asa untuk menyesatkan anak Adam.

Kita sedar, menahan pandangan mata suatu perkara yang amat berat, akan tetapi hasil dari itu adalah kenikmatan Islam yang tiada tara. Menjaga pandangan mata sebahagian dari sifat muraqabah yang akan menjamin kebahagiaan seseorang hamba di dunia dan juga akhirat.

Sesungguhnya, menjaga pandangan mata itu adalah pencegahan pertama agar hati dan iman terpelihara. Semoga kita diberikan kekuatan oleh Allah S.W.T.  supaya dapat menjaga pandangan dan diberikan hati yang bersih serta iman yang kuat. 

_________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram