PENYANYI rap, Tuju mendedahkan single terbaharu yang berjudul Jiwa Pusing ditulis sewaktu dirinya sedang rungsing memikirkan hala tuju masa depannya.
Jelas Tuju yang juga merupakan ahli kumpulan K-Clique, dia bersyukur lagu yang ditulis berdasarkan perjalanan hidupnya pada 2019 akhirnya dapat dilancarkan pada tahun ini.
“Jiwa Pusing merupakan luahan hati saya sendiri yang mana ketika itu saya tak dapat lihat masa depan. Iyalah, waktu rakan sebaya semua sambung belajar, manakala saya hanya ada SPM sahaja.
“Ketika umur saya 20 tahun, saya hanya fikir mahu bekerja sahaja tetapi tetap masih tidak nampak masa depan. Sebagai anak sulung, saya selalu fikir dapatkah saya membantu orang tua saya yang semakin berusia unutk meringankan beban mereka.
“Saya fikir apa jadi pada saya lima tahun akan datang. Kerja cuci kereta pun pernah saya buat dulu. Sebab itu saya tetap nekad berhijrah ke Kuala Lumpur walaupun tiada duit satu sen pada ketika itu.
“Keluarga juga tidak diberitahu tentang penghijrahan saya masa itu. Saya hanya maklumkan ada jemputan untuk membuat persembahan saja,” katanya.
Tuju yang juga suami kepada penyanyi rap, Loca B berkongsi perjalanan pahit getirnya satu ketika dulu dalam sidang media pelancaran lagu Jiwa Pusing secara maya.
Malah, Tuju atau nama sebenarnya Muhammad Azree Shah Awang Zamri percaya pasti akan ada pelangi selepas hujan dan bersyukur berkat kegigihannya, kini dia mampu tersenyum bangga melihat kejayaan yang diraih.
“Saya beruntung kerana ibu bapa dan ahli kumpulan K-Clique sentiasa memberikan saya semangat.
“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan apa yang saya ada hari ini. Tidak minta jadi kaya tetapi asal cukup semua kelengkapan untuk diri dan keluarga, ia sudah lebih mencukupi.
“Saya harap semua yang mendengar Jiwa Pusing ini akan memahami maksud disebalik liriknya yang sampaikan. Niat saya hanya mahu menghibur dan meluahkan isi hati yang lama disimpan menerusi sebuah lagu,” ujarnya.
Jiwa Pusing diterbitkan oleh Black Hat Records dengan kerjasama Warner Music Malaysia. Single tersebut boleh didapati di kesemua pelantar digital Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan Apple Music bermula 19 Februari lalu.