Sejuta rakyat Malaysia telah daftar terima vaksin – Khairy

0
113
Kakitangan Pusat Perubatan MSU, Nurul Huda Isa menunjukkan ruangan pendaftaran Vaksin Covid-19 melalui aplikasi My Sejahtera bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di Pusat Perubatan MSU Shah Alam, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Hanya selepas tiga hari pendaftaran vaksin Covid-19 di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dibuka secara rasmi melalui aplikasi MySejahtera, seramai sejuta individu telah mendaftar menerusi platform berkenaan.

Perkara itu diumumkan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin menerusi ciapan di akaun Twitter miliknya, hari ini.

Pada masa sama, Khairy turut memberitahu lebih ramai petugas barisan hadapan akan mula menerima suntikan vaksin tersebut.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai untuk mendaftarkan diri bagi menangani penularan pandemik Covid-19.

“Satu juta individu telah mendaftar untuk pengambilan vaksin dalam MySejahtera. Lebih ramai petugas barisan hadapan menerima suntikan.

“Ia selamat, ia efektif. Mari bersama-sama mengakhiri pandemik ini. Ambil vaksin. Daftar hari ini,” katanya dalam ciapan tersebut.

Rabu lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan program pendaftaran vaksinasi Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera bagi memudahkan pelaksanaan program imunisasi itu.

Majlis pelancaran diadakan selepas Perdana Menteri menerima suntikan pertama daripada dua dos vaksin Pfizer-BioNTech di Pejabat Kesihatan Putrajaya pada pukul 2.43 petang, sekali gus menjadi individu pertama menerima vaksin itu di negara ini.

Baca artikel berkaitan: Muhyiddin minta rakyat mendaftar untuk suntikan vaksin

Vaksinasi bersejarah bermula, Muhyiddin selesai disuntik dos pertama

Pendaftaran melalui Aplikasi MySejahtera antara lima kaedah pendaftaran secara dalam talian atau secara manual yang disediakan kerajaan untuk orang ramai mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 dalam negara.

Selain aplikasi MySejahtera, satu lagi kaedah secara dalam talian ialah melalui laman sesawang khas www.vaksincovid.gov.my, manakala bagi pendaftaran secara manual, orang ramai boleh mendaftar dengan menghubungi talian hotline (akan dimaklumkan kemudian), hadir di fasiliti klinik kesihatan awam dan swasta atau menerusi program bantuan bagi penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Khairy sebelum ini dilaporkan berkata individu yang mendaftar akan mendapat pengesahan tarikh dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV), dua minggu sebelum tarikh ditetapkan.

Namun begitu, beliau berkata, tarikh serta masa untuk menerima vaksin masih tertakluk kepada fasa yang ditetapkan sebelum ini, iaitu Fasa 1 untuk petugas barisan hadapan; Fasa 2 untuk warga emas berusia 60 tahun ke atas dan individu berisiko tinggi dan Fasa 3 bagi penduduk Malaysia berusia 18 tahun ke atas.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram.