TERUSAN WAN MAT SAMAN – Saliran terpanjang dari kerahan tenaga manusia yang turut mengorbankan nyawa

0
1999

Jika berkunjung ke Kedah, sudah pasti anda sedia maklum tentang terusan popular yang wujud di negeri jelapang padi ini. Dikenali sebagai Terusan Wan Mat Saman, ia merupakan terusan yang dibina sepanjang 22 batu bermula dari Alor Setar hingga ke kaki Gunung Jerai.

Pernah berlegar kisah kumpulan penyamun yang dikerah sebagai tenaga buruh dalam proses untuk menyiapkan Terusan Wan Mat Saman. Berdasarkan cerita, kumpulan penyamun ini terpaksa akur semasa dikerah melaksanakan saliran air. Sejauh mana kebenaran tentang cerita ini?

Menurut Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), cerita itu tidak benar. Terusan tersebut dibina menggunakan kerahan tenaga penduduk kampung dan kawasan sekitar. Latar belakang yang disebut sebagai penyamun itu kemungkinan hanya cerita yang diadakan daripada sesetengah pihak.

Terusan Wan Mat Saman.

Terusan ini dinamakan bersempena nama Menteri Besar Kedah pada masa itu iaitu Dato’ Wan Muhammad Saman Wan Ismail. Pembinaan laluan air ini dilakukan atas tujuan untuk meluaskan sawah padi, dan mengelakkan padi menjadi rosak akibat terendam semasa berlakunya banjir. Ia juga bertujuan untuk mengemaskan lagi sistem tali air di negeri itu.

Dato’ Wan Muhammad Saman

Pembinaan terusan ini bermula pada 31 Ogos 1885. Prosesnya tidak semudah yang disangka. Sistem kerahan tenaga manusia telah dijalankan sepanjang proses pembinaan.

Menurut sumber Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah, rakyat dikerah untuk menggali saliran menggunakan peralatan tradisional seperti parang, cam dan cop.

Setiap penduduk tidak akan terlepas daripada terlibat dengan pelaksanaan projek tersebut. Jadual penggiliran dibuat untuk setiap individu bagi mengelakkan tanaman sawah tidak terbiar. Difahamkan, sekiranya terdapat penduduk yang ponteng semasa kerja, mereka akan dikenakan hukuman yang berat.

Pembinaan terusan ini dijalankan dalam tiga peringkat. Pada fasa pertama, kerja-kerja penggalian dimulakan dari hujung Sungai Pengkalan Kundur ke Kota Sarang Semut. Di Tandop, sebuah empangan yang berfungsi untuk mengawal air ketika berlaku musim tengkujuh atau kemarau telah dibina di sini.

Pada fasa kedua, terusan dibina bermula dari Kota Sarang Semut hingga ke kaki Gunung Jerai. Seterusnya pada fasa ketiga pula, terusan di Tandop disambungkan dengan Sungai Kedah di Alor Setar.


Muara Terusan Wan Mat Saman.

Ketiga-tiga peringkat pembinaan terusan ini menimbulkan banyak cabaran dan halangan. Antaranya, disebabkan oleh cara kerja paksaan, ramai daripada tenaga buruh tidak sanggup untuk meneruskan kerja-kerja yang diarahkan. Ada di antara mereka bertindak melarikan diri. Hal ini disebabkan oleh terlalu ramai nyawa yang terkorban akibat diserang penyakit demam malaria.

Bagi mengatasi masalah itu, Wan Muhammad Saman terpaksa menggunakan khidmat buruh kontrak Cina. Mereka dibayar dengan upah RM2.00 hingga RM3.00 sehari. Difahamkan, ada kalanya buruh-buruh Cina yang terlibat melakukan ancaman terhadap beliau kerana tidak membayar upah kepada mereka. Keadaan itu berlaku disebabkan oleh buruh Cina pada ketika itu tidak terikat dengan undang-undang negeri Kedah. Sebabnya, mereka menganggap diri mereka sebagai rakyat British.

Selepas melalui pelbagai kesukaran dalam proses pembinaan terusan, akhirnya saliran air ini berjaya disiapkan pada tahun 1896. Terusan dengan  kedalaman 1.5 meter dan lebar 7.5 meter ini siap sepenuhnya dalam tempoh 10 tahun.


Batu peringatan yang dibina di muara Terusan Wan Mat Saman

Sebuah batu peringatan telah dibina sebagai simbolik mengenang jasa Dato’ Wan Muhammad Saman di muara terusan. Pada permukaan batu, tertera maklumat mengenai pembinaan saliran air berkenaan yang dibina hasil daripada tenaga manusia dan peralatan tradisional. Uniknya lagi, ia juga disebut sebagai terusan terpanjang di dunia pada ketika itu.

Pada masa yang sama, pembinaan terusan yang dilaksanakan telah membawa kepada perluasan kawasan sawah padi di Kedah. Atas sebab demikian, Kedah mendapat jolokan sebagai ‘Negeri Jelapang Padi’ sehingga kini.

Selain itu, usaha pembangunan saliran air ini turut menjadi asas kepada pembinaan jalan raya utama selain memberi banyak manfaat kepada penduduk di negeri Kedah.

Terusan ini telah meluaskan lagi kawasan sawah padi di Kedah sehingga digelar Negeri JeLapang Padi.

Kejayaan pembinaan terusan ini telah mendatangkan banyak kesan positif kepada negeri Kedah. Usaha dan kebijaksanaan Wan Muhammad Saman dalam memajukan Kedah turut menyebabkan beliau digelar sebagai Bapa Pembangunan Kedah oleh ramai sejarawan.

Wan Muhammad Saman telah dilahirkan di Alor Janggus, Alor Setar sekitar tahun 1830-an. Beliau merupakan individu yang berketurunan keluarga pembesar negeri.

Pada tahun 1870, Wan Muhammad Saman telah dilantik sebagai Perdana Menteri yang mana kini jawatan itu dikenali dengan nama Menteri Besar.

Berdasarkan sejarah, Dato’ Wan Muhammad Saman pernah berkhidmat sebagai Perdana Menteri Kedah selama tempoh 28 tahun. Beliau memegang jawatan berkenaan di bawah pentadbiran tiga orang Sultan iaitu Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah, Sultan Zainal Rashid Muadzam Shah II dan Sultan Abdul Halim Shah.

Bagi memperingati jasa dan sumbangannya, nama beliau turut diabadikan pada bangunan dan jalan-jalan di sekitar Kedah selain terusan yang menjadi simbolik negeri jelapang padi itu.

Nama Wan Mat Saman turut diabadikan pada bangunan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah dan sebatang jalan dinamakan Jalan Dato’ Wan Muhammad Saman.

___________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram.