Sebuah kampung di wilayah Bhadrapur dalam daerah Kartanaka di selatan India, penduduknya mempunyai nama unik seperti Google, Glukosa dan Obama.

Contohnya, seorang lelaki di kampung ini bernama Court. Ibu bapanya memberikan nama tersebut sempena lokasi kelahiran lelaki ini berdekatan dengan sebuah mahkamah.

Tidak hanya Court, semua penduduk di jajahan ini mempunyai nama yang unik. Ada yang bernama Pistol, Cycle Rani, Goverment, Coffee, English, Shadhi, Japan, Amerika, Deluxe, Congress, tentera dan banyak lagi.

Siapa mereka ini? Kenapa nama mereka unik dan amat berbeza dengan nama penduduk India yang selalu kita dengar?

Suku Hakki Pikki.

Penduduk di kawasan ini merupakan sebahagian masyarakat nomad yang masih wujud di bahagian selatan negara India. Mereka ini saki baki suku Hakki Pikki yang masih hidup lagi sehingga hari ini.

Penggunaan nama-nama unik seperti ini sudah sebati dalam kehidupan mereka. Ia sudah menjadi kebiasaan kepada masyarakat ini untuk memberikan nama pada anak atau waris berdasarkan nama tempat, binaan, atau boleh jadi apa sahaja perkara menarik perhatian mereka.

Suku ini pada asalnya tinggal di hutan dan pada hari ini tinggal di bandar.

Selain penggunaan objek rawak, nama-nama artis terkemuka dunia turut menjadi pilihan suku tersebut untuk nama anak-anak mereka. Ia sesuatu yang menarik apabila ada di antara mereka kini menggunakan nama artis seperti Shahrukh dan Elizabeth.

Meletakkan nama-nama pelik ini bukan dibubuh secara suka atau syok sendiri. Ia sebenarnya bersebab mengapa nama seumpama itu dipilih. Sebagai contoh, salah seorang penduduk tersebut bernama Coffee. Difahamkan ia diambil sempena tempat kelahiran individu ini yang dilahirkan berdekatan sebuah ladang kopi.

Menurut Pengerusi Jabatan Pengajian Suku dari Universiti Hampi, KM Metri, Hakki Pikki merupakan suku kaum yang wujud di selatan negara India. Difahamkan suku ini diketuai oleh seorang raja Rajput yang bernama, Rana Pratap.

Suku ini mengamalkan cara hidup nomad dan suka berpindah randah. Pekerjaan utama mereka ialah memburu. Alam semula jadi seperti sungai dan gunung dianggap sebagai tuhan di kalangan suku tersebut. Akibat perubahan zaman dan pergolakan politik, suku ini dikatakan tersebar ke merata-rata lokasi di selatan India.

Selain nama pelik, suku kaum ini turut mengamalkan budaya perkahwinan dan perceraian yang berbeza dengan kaum majoriti di India. Misalnya, pemberian mas kahwin menjadi tanggungjawab bagi pengantin lelaki dan bukannya pengantin wanita seperti kebiasaan kaum India di sana.

Selain itu, upacara perkahwinan hanya boleh dilangsungkan pada sebelah malam. Manakala, proses menyarungkan Mangalsutra (rantai perkahwinan) juga dilakukan pada tengah malam.

Bagi proses perceraian pula, si isteri perlu bertanggungjawab mengembalikan separuh dowry (wang hantaran)  kepada si suami selepas urusan bercerai dilakukan.

Suku Hakki Pikki juga dikenali dengan hasil kraf tangan seperti barang kemas, pakaian dan barang perhiasan rumah yang diperbuat daripada plastik. Kebiasaannya, barang-barang ini mendapat permintaan tinggi sewaktu perayaan penting di India.

Suku Hakka Pikki pandai membuat hasil kraftangan.

Percaya atau tidak, komuniti nomad ini mampu bertutur sebanyak 14 bahasa dielak. Bahasa mereka gunakan agak unik dan tidak boleh diterjemahkan oleh mana-mana bahasa lain di dunia.

Dikatakan populasi suku ini semakin berkurangan. Ia berikutan penguatkuasaan Akta Perhutanan yang menghalang mereka memasuki hutan semula. Tidak dinafikan suku Hakki Pikki kini mula bergelut dan kehilangan amalan budaya mereka sendiri.

Populasi suku kaum ini kian berkurangan.

Generasi baru Hakki Pikki pada masa sekarang tidak mengamalkan cara hidup berpindah randah seperti dahulu. Kebanyakannya tidak mahu melihat anak-anak mereka menjalani hidup secara nomad seperti zaman dulu.

________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram.