Konsert maya Haqiem Rusli

0
53
haqiem rusli

SELEPAS kejayaannya mengadakan konsert sulungnya pada Oktober 2019 yang telah menghiburkan 1000 penonton, kini Haqiem Rusli bakal kembali menghiburkan peminatnya dengan sebuah persembahan pentas pada April ini.

Namun, disebabkan pandemik Covid-19 yang menyerang negara, penyanyi Jatuh Bangun itu bakal menganjurkan konsert tersebut secara maya.

Konsert berdurasi sejam lebih itu akan berlangsung pada 2 April depan dan dianjurkan oleh syarikat rakamannya, FMC Music dan YTJT Production.

“Tak dapat buat konsert skala besar-besaran untuk peminat secara normal, saya akhirnya dapat cetus idea melaksanakannya secara maya.

“Dalam tempoh sebulan, pasukan saya melakukan sesi percambahan media, kita sepakat teruskan konsert cara norma baharu ini,” katanya kepada URTV.

Penyanyi yang mula meledak dengan lagu Tergantung Sepi itu memaklumkan dia dijangka akan menyanyikan sekitar 10 buah lagu.

“Selain lagu sendiri, saya juga teruja nak menyanyikan dua buah lagu Datuk Seri Siti Nurhaliza secara medley iaitu Cindai dan Nirmala.

“Tak ketinggalan lagu sendiri termasuklah sebuah karya yang tak pernah saya lancarkan di mana-mana platform,” ujarnya.

Menurut Haqiem, penjualan tiket konsert dijual pada kadar harga yang cukup berpatutan.

“Yang beli awal, harga tiket dalam RM59. Jika sudah tamat promosi, harga tiket akan kembali kepada asal iaitu RM79.

“Saya harap konsert ini akan terus jadi saksi menghubungkan diri ini dengan peminat tersayang.

“Yang nak dapatkan tiket boleh beli di pautan profil Instagram saya,” jelasnya yang turut mencipta lagu Sejarah untuk Lah Ahmad.