UPSI sediakan khidmat sokongan bantu PdPR

0
111
upsi

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah dan sedang menggembleng tenaga pakar untuk membantu menyediakan khidmat nasihat kaedah pengajaran atau pedagogi Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah (PDPR) serta webinar secara berkala buat guru yang memerlukan.

Timbalan Naib (Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni), Prof. Dato’ Dr. Md Amin Md Taff yang  menjalankan tugas Naib Canselor  bermula 15 Februari lalu berkata sebagai universiti pendidikan, UPSI sentiasa cakna dengan perkembangan semasa serta bersedia untuk  membantu para guru mempelbagaikan kaedah dan strategi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) yang sesuai untuk digunakan secara dalam talian, atau luar talian.

“Akademia dari Fakulti Seni, Komputeran Dan Industri Kreatif (FSKIK) dan Pusat Pedagogi Fakulti Pembangunan Manusia(FPM) akan membantu golongan guru menampilkan pelbagai kandungan  kaedah pengajaran dan pembelajaran yang menarik, sesuai dengan Pedagogi Revolusi Industri 4.0 serta mendepani  fenomena pandemik COVID-19,” katanya.

Menerusi Sekolah Makmal atau kini lebih dikenali Neoteric Education Initiatives Centre – NiCE UPSI, katanya, menampilkan eksplorasi khidmat nasihat penggunaan teknologi  PDPR dan bahan bantu mengajar (platform & sistem) untuk pengajaran dan pembelajaran segerak dan tidak segerak (synchronous & asynchronous).

“PdPR adalah pendekatan baharu yang semestinya menuntut kreativiti guru dan murid supaya ia lebih efisyen dan menarik. Sehubungan itu, UPSI akan memainkan peranan sewajarnya dalam membantu golongan guru yang memerlukan khidmat bantuan sokongan,” tambahnya.

Beliau berkata UPSI terkenal dengan  penyelidikan pendidikan yang sangat membantu dalam membangunkan pelbagai pedagogi untuk kanak-kanak sehingga pelajar sekolah menengah.

“Kami menyambut baik kerjasama pelbagai pihak termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri serta sekolah seluruh negara untuk memanfaatkan kepakaran yang dimiliki UPSI,” ulasnya lagi.

Menurut Prof. Madya Dr. Mohd Izwan Shahril (Pengarah Pusat Alumni UPSI), berdasarkan rekod UPSI telah menghasilkan ramai alumni yang merupakan guru pakar dalam mata pelajaran yang terkandung dalam kurikulum pendidikan rendah dan menengah. Oleh itu, sudah semestinya UPSI merupakan institusi relevan untuk menjadi tempat rujukan dalam mencari inisiatif Pdpr berkesan.

Mereka yang berhasrat untuk memanfaatkan perkhidmatan NICE- UPSI  boleh menghubungi talian Hotline:

013-3158684 (Dr. Mohd Hafiz, Pengarah),

016-6944036 (Dr. Kama Shaffeei, Timbalan Pengarah)

atau emel: [email protected] atau melayari Facebook: https://www.facebook.com/niceupsi.