Oleh: CHAMIL WARIYA


Saya menerima beberapa reaksi menarik terhadap tulisan saya yang berjudul: Benarkah penulisan buku ilmiah tidak lagi diminati?

Kebanyakan reaksi tersebut datangnya daripada para pensyarah dalam bidang pengajian media, kewartawanan dan komunikasi.

Ada juga respon daripada kalangan di luar menara gading yang prihatin dengan kemerosotan penulisan buku-buku ilmiah dalam pelbagai bidang, termasuk bidang kewartawanan yang sudah setengah abad diajar di negara ini pertengahan tahun ini.

Ada kalangan bersetuju dengan sentimen yang dizahirkan oleh para peserta Forum Penulisan Buku Kewartawanan Sejak 1971: Satu Perbualan anjuran bersama Malaysian Press Institute (MPI) dan Persatuan Pengajar Kewartawanan Malaysia (MJTS) yang mengatakan orang akademik tidak lagi ghairah untuk menghasilkan buku ilmiah kerana buku tidak lagi diambil kira untuk tujuan kenaikan pangkat di universiti awam.

Tetapi dalam reaksi khalayak itu ada dua pandangan yang menarik untuk dinyatakan di sini. Mari kita perkatakan satu per satu.

Pendapat pertama mengatakan para pensyarah hari ini, tidak seperti orang-orang akademik suatu waktu dulu, tidak lagi memahami fungsi asas mereka untuk mendidik dan menyebar ilmu.

Justeru menurut hujah ini, para pensyarah tersebut terlalu memikirkan sangat soal mahu mendapatkan pangkat – menjadi profesor dan profesor madya.

Tulis pembaca itu secara sinis kepada saya: “Kalau para akademia hanya memikirkan untuk naik pangkat, mereka berada dalam profesion yang salah. Jadilah PTD (Pegawai Tadbir dan Diplomatik) ke, akauntan ke, jurutera ke dan sebagainya. Para akademik patutnya mendidik dan menyebar ilmu. Pangkat adalah kedua. Semua nak berebut jadi profesor, tetapi mentaliti macam pelajar tahun pertama.”

Pendapat tersebut tentulah mengundang kontroversi kerana apa-apa juga yang dizahirkan seolah-olah mengatakan orang akademik tidak berhak untuk memikirkan langsung soal pangkat.

Tentulah apa yang dinyatakan itu tidak benar seratus peratus. Tidak dinafikan memang ada antara orang akademik yang berebut-rebut nak jadi profesor itu mungkin bermentaliti siswa tahun pertama.

Tetapi tentulah bukan semua. Mungkin ada, tetapi segelintir sahaja. Janganlah kerana seekor kerbau membawa lumpur, kerbau-kerbau yang lain turut terpalit. Tidak adil sikap tersebut.

Namun saya melihat ada juga sesuatu yang positif dalam reaksi yang telah dinyatakan itu. Mesej yang ingin disampaikan kepada para pensyarah barangkali: binalah etos pendidik dan penyebar ilmu yang tulen dan hebat dan kemudian biarlah etos itu menentukan peluang untuk mereka bergelar profesor madya dan profesor. Betul juga.

Pendapat kedua mengaitkan penurunan buku ilmiah dengan sistem sokongan dunia akademik yang lemah sehingga para pensyarah dibebankan dengan kerja-kerja pentadbiran yang menganggu tugas teras mereka.

Itulah pendapat seorang pensyarah di sebuah universiti awam yang menyatakan bahawa penurunan penulisan buku-buku ilmiah pada masa ini bukanlah semudah seperti yang dinyatakan oleh sebilangan peserta dalam forum anjuran MPI dan MJTS itu.

Menurut orang akademik ini keadaannya adalah lebih rumit dan perkara sebenarnya tidak disentuh oleh mana-mana peserta forum tersebut.

Penyelesaiannya pula memerlukan reformasi dalam cara pendidikan pada peringkat universiti – awam dan swasta – yang diuruskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi.
Bagi beliau output buku-buku ilmiah merosot kerana para pensyarah sekarang terbeban dengan kerja-kerja pendokumentasian fail kursus dan audit.

Dengan kata-kata lain tugasan tersebut merupakan kerja pentadbiran yang sepatutnya tidak dilakukan oleh para pensyarah yang tugas teras mereka adalah mendidik dan menyebar ilmu dan melakukan kerja-kerja penyelidikan serta menulis buku dan artikel ilmiah dalam bidang kajian dan kepakaran masing-masing.

Selain itu para pensyarah dikatakan kena membuat kerja penyiapan dokumen kursus prasiswazah sampai pascasiswazah sehingga memakan waktu kerja yang agak banyak setiap hari.

Itu tidak termasuk para pensyarah kena mengajar sampai 2-3 kursus dengan bilangan pelajar yang ramai, ada kalanya sampai 300 orang.

Katanya lagi, dengan beban kerja serupa itu “mana ada masa untuk menulis kalau kita disuruh mengajar begitu ramai pelajar di samping kena buat kerja-kerja pendokumentasian.”

Selain beban kerja pentadbiran yang tiada kaitan dengan akademik, ada pensyarah mengakui fokus untuk menaikkan rangking IPTA/IPTS di mata dunia yang ditetapkan oleh Malaysian Qualification Agency (MQA) yang ditubuhkan sekitar 2004-2005 juga menjadi punca produktiviti menghasilkan karya-karya ilmiah merudum.

Ada yang berpendapat ahli-ahli akademik Malaysia bukannya bodoh apa lagi bermentaliti siswazah tahun pertama tetapi sistem sokongan agak lemah menyebabkan mereka tidak produktif.

Justeru pensyarah yang sama mencadangkan agar orang akademik yang ingin menulis buku ilmiah diberikan insentif cuti sabatikal, mungkin selama satu atau dua semester apabila diperlukan dari masa ke masa untuk mereka menyiapkan penulisan tersebut.

“Dengan itu, selepas satu semester, buku ilmiah siap dan pensyarah berkenaan boleh kembali mengajar,” katanya.

Sebenarnya apa yang telah dicadangkan itu bukan sesuatu yang baharu, tetapi telah diamalkan secara meluas di luar negara terutama di negara-negara maju.
Tidak ada sebab mengapa negara ini tidak boleh mengamalkannya.

Sesungguhnya adalah nyata bahawa sekiranya masalah penurunan penerbitan buku-buku ilmiah dalam pelbagai bidang termasuk kewartawanan ingin diatasi secara tuntas, penyelesaian yang holistik diperlukan.

Orang-orang akademik jangan dibebankan dengan kerja-kerja pentadbiran yang tiada kaitan dengan fungsi teras mereka sebagai pendidik, penyelidik dan penyebar ilmu sehingga menyebabkan mereka tiada kesempatan untuk berkarya secara ilmiah apa lagi untuk menulis buku.

Mekanisme menentukan kenaikan pangkat tidak harus ditentukan oleh artikel-artikel ilmiah dalam jurnal berimpak tinggi semata-mata, tetapi hendaklah mengambil kira buku-buku ilmiah yang telah dihasilkan.

Malah penghasilan buku-buku ilmiah hendaklah diberi pemberatan yang lebih dalam melantik profesor madya dan seterusnya sebagai profesor macam suatu waktu dulu.

Selagi kelemahan dalam sistem sokongan di universiti-universiti sekarang tidak diperbaiki, dan selagi orang-orang akademik kekal terpesong dalam memahami fungsi teras mereka, selagi itulah agaknya keluhan buku ilmiah merudum akan terus kedengaran.