Diserbu penjaga burung ruak-ruak

0
115

“Masak apa hari ni mak?” tanya saya, sambil membuka tudung saji.

Wah, burung wak-wak goreng berlada!  Memang kegemaran saya. Saya tahu itu mesti pemberian Abang Karim, jiran kami yang tinggal di hujung sawah sana.

Abang Karim seorang pemuda kampung yang rajin. Pagi, dia akan pergi menoreh getah. Petang, dia akan mengerjakan sawah pula. Manakala pada waktu malam, dia akan memikat burung wak-wak. Burung wak-wak itu tidak pernah pun dijual, Abang Karim akan memberi secara percuma sahaja kepada jiran tetangga yang berdekatan.

Telah lama saya berangan-angan mengikut Abang Karim memikat burung wak-wak. Saya mahu lihat macam mana dia melakukannya, cara dia pasang jaring, burung itu terperangkap, dan sebagainya. Tetapi hajat itu tidak pernah tercapai. Ada sahaja halangan yang mendatang.

 Malam itu malam Sabtu, esoknya memang cuti. Jadi saya bercadang untuk menunaikan hajat saya yang tertangguh. Tak sabar lagi rasanya hendak mengikut Abang Karim.

“Abang, malam ni boleh tak saya ikut tangkap burung wak-wak?” tanya saya.

“Ada berani ke?” tanya Abang Karim balik.

“Berani! Alah, sekadar tangkap burung!” kata saya, bercakap besar.

“Okey, kalau kau nak ikut, malam ni kau datang rumah abang,” jawab Abang Karim sambal tersenyum.

BULAN MENGAMBANG

Malam itu seperti yang dijanjikan, berbekalkan sebuah lampu suluh, saya bergegas ke rumah Abang Karim selepas sembahyang Isyak. Abang Karim dan Abang Man, yang kedua-duanya berusia pertengahan 20-an, telah siap  menunggu.

Saya mengikut langkah kedua-duanya meredah batas-batas sawah dengan berpandukan cahaya bulan yang sedang mengambang. Akhirnya kami tiba di sebuah kawasan lapang, betul-betul di tepi hutan hujung sawah.  Kawasan yang suram tapi amat mendamaikan.  

Saya cuma memandang sahaja Abang Karim dan  Abang Man yang sibuk merentangkan jaring sebagai perangkap  burung wak-wak. Dua batang buluh di kiri kanan dijadikan tiang untuk merentang jaring.

Di bawah jaring diikat dengan dua biji botol air supaya jaring itu meregang ke bawah. Di bahagian hadapan jaring pula telah dipasang sebuah lampu suluh yang amat terang sebagai daya penarik. Manakala di bawah jaring telah tersedia beberapa kotak kertas, tempat untuk mengisi burung wak-wak yang terperangkap.

Malam semakin sunyi, yang kedengaran cuma bunyi cengkerik dan katak-katak paya menyanyi-nyanyi riang. Bila Abang Karim dan Abang Man bekerja tanpa berkata-kata, saya pun turut senyap, cuma memerhatikan mereka sahaja. Mana tahu suatu hari nanti, Abang Karim minta saya memasang jaring itu, pandailah saya.

Kemudian Abang Karim mengeluarkan sebatang serunai kecil yang diperbuat daripada buluh dari poket seluarnya. Saiznya sebesar ibu jari kaki, panjangnya lebih kurang enam inci. Di bahagian atas serunai buluh itu ada dua lubang. Satu untuk mengeluarkan bunyi, yang satu lagi untuk Abang Karim kawal bunyi tersebut dengan jari telunjuk atau jari hantunya.

WAA… WAK… UWAK… UWAK… UWAK 

Bunyi tiupan serunai yang mendayu-dayu memecah kesunyian malam yang kian larut. Angin berhembus lembut membuatkan saya berasa amat sejuk. Saya capai kain pelekat Abang Karim yang terjelepok di tanah, lalu saya bungkus tubuh saya.

Abang Man saya lihat mundar-mandir berdekatan jaring yang dipasang, menunggu burung wak-wak datang dan terperangkap. Kira-kira 10 minit kemudian saya lihat seekor burung wak-wak terbang melayang menuju ke jaring.

PUUP!

Burung itu tersangkut, lalu menggelupur, ingin melepaskan diri yang telah terjerat. Tidak berapa lama kemudian berpuluh-puluh ekor lagi terbang melayang, menyahut panggilan serunai Abang Karim dan tersangkut pada jaring.

Saya amat seronok dengan apa yang dilihat. Betapa mudahnya Abang Karim menangkap burung wak-wak itu. Di dalam fikiran saya sudah terbayang keenakan wak-wak yang digoreng oleh emak.

“Dah banyak tu! Cukuplah, jom balik!” tiba-tiba Abang Man bersuara.

“Tunggu kejap lagi!” jawab Abang Karim sambil meneruskan tiupan serunainya.

UWAK… UWAAAKK.. UWAAAKKK…

Burung-burung hitam makin banyak yang terperangkap. Tiba-tiba saya rasa cuaca makin sejuk, angin pun makin kuat bertiup. Kemudian saya rasa angin begitu kuat dan tiba-tiba muncul sekelompok lembaga hitam dengan pantas melanggar jaring!

Bentuknya seperti kepulan asap, bulat dan sebesar tubuh manusia. Ia datang entah dari mana, tiba-tiba saja muncul dan merempuh jaring. Semuanya berlaku dengan cukup pantas. Hanya dalam sekelipan mata saja.

Saya dan Abang Man terpaku seketika. Terkejut. Abang Karim serta-merta memberhentikan tiupan serunainya. Saya lihat jaring yang kami pasang telah tumbang dan koyak rabak, burung-burung yang terperangkap tadi semuanya terlepas.

“Kemas! Kita balik!” arah Abang Karim, terketar-ketar.

Kelam-kabut kami berkemas, tanpa sepatah kata yang keluar. Tiada seekor burung wak-wak pun kami perolehi, mungkin bukan rezeki kami malam itu, agaknya.

“Lembaga apa tadi?” tanya saya apabila kami telah sampai ke rumah Abang Karim.

“Penjaga burung wak-wak!” Abang Karim menjawab ringkas.

Tiba-tiba pula saya berasa takut, bulu roma mulai menegak. Akhirnya saya tidur di rumah Abang Karim, dek kerana takut hendak balik rumah.

(Diceritakan oleh Basari Mat Yasit, Sentul, Kuala Lumpur. Kisah ini berlaku pada awal 1980-an, di Kampung Semantan, Raub, Pahang, semasa beliau berusia belasan tahun.)

KEMATIAN

Dalam kepercayaan tradisional masyarakat Melayu, selain ruak-ruak (wak-wak), terdapat burung-burung lain yang dikaitkan dengan alam misteri. Antaranya burung gagak, murai dan cenderawasih.  

Murai dan gagak dikaitkan dengan petanda-petanda kematian manakala cenderawasih pula kononnya burung dari alam kayangan. Diceritakan cenderawasih ini hidupnya di angkasa dan tidak akan turun ke bumi kecuali di hujung hayatnya. Maknanya, cenderawasih hidup di awan tapi mati di bumi. Bangkainya berbau wangi dan tidak mereput.

Namun janganlah pula kita mengatakan masyarakat Melayu ini kuno. Sebenarnya kepercayaan yang mengaitkan burung-burung tertentu dengan alam misteri juga wujud dalam masyarakat-masyarakat lain di seluruh dunia.

Tentu anda tahu, masyarakat barat percaya burung gagak membawa bencana dan kematian. Burung hantu turut dikaitkan dengan kematian. Kononnya kalau burung hantu datang ke rumah kita, bererti ada ahli keluarga di rumah itu yang akan meninggal dunia beberapa hari kemudian.

Masyarakat Rom juga demikian. Malah kematian Julius Cesar, Augustus dan Aurelius dulu turut dikaitkan dengan kemunculan burung hantu.