FDAM mohon MKN segera beri kelulusan penggambaran luar

0
83

PERSATUAN Pengarah Filem Malaysia (FDAM) meminta Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar segera mempertimbangkan permohonan penggiat industri kreatif untuk membuat penggambaran luar.

Presiden FDAM, Dr. Ahmad Ibrahim berkata MKN perlu menyatakan pendirian mereka terhadap draf Prosedur Operasi Standard (SOP) Penggambaran Luar yang dihantar oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan FDAM sebulan lalu.

“Kami telah memenuhi permintaan MKN iaitu mengemukakan draf SOP. Finas pun sudah hantar. Kami bersedia mematuhi segala peraturan dalam SOP termasuk melaksanakan ujian calitan (swab test) terhadap kru dan pelakon.

“Tapi kenapa MKN masih tidak memberi kelonggaran? Apa lagi yang MKN mahukan dari kami? Kami hanya mahu kepastian tapi sehingga kini, kami tidak menerima sebarang jawapan,” katanya

Menurut Ahmad, FDAM sedia berbincang dengan MKN bagi menjelaskan secara terperinci proses penggambaran.

“Kami bersedia dipanggil pada bila-bila masa. Ini hal survival anak seni. Kami tidak mampu lagi menunggu. Selain FDAM, Persatuan Penerbit Filem Malaysia, Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia dan Persatuan Seniman Malaysia juga menyatakan pendirian yang sama.

“Sebagai peneraju penggambaran di lokasi, kami para pengarah bertanggungjawab terhadap semua hal produksi. Sampai bila kami harus menunggu? Sedangkan negara-negara jiran, Singapura, Indonesia dan Thailand pun sudah melonggarkan syarat penggambaran luar,” tambahnya.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Mat London berkata penggiat industri seakan-akan mempunyai stigma bahawa industri perfileman tidak pernah dianggap sebagai penyumbang kepada ekonomi negara kerana sering dipinggirkan.

“Sabah pun sudah membenarkan penggambaran luar. Mesyuarat dalam dewan sudah dibenarkan sampai 300 hingga 500 orang. Kami cuma 30 hingga 40 orang. Itupun dalam kawalan yang ketat, katanya.