SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) wajib menamatkan pembekuan dan penyitaan ke atas akaun Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor serta-merta bagi membolehkan UMNO Selangor kembali mempunyai akses kepada wang kepunyaannya.

Ia selepas SPRM gagal dalam permohonannya melucut hak wang berjumlah RM2.73 juta yang disita daripada Badan Perhubungan UMNO Selangor didakwa berkaitan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Peguam, Datuk Hasnal Rezua Merican yang mewakili Badan Perhubungan UMNO Selangor dalam kenyataan memberitahu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin telah memutuskan bahawa SPRM gagal membuktikan wang RM2.73 juta itu adalah diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atau pun wang hasil aktiviti haram.

Beliau berkata, permohonan susulan Timbalan Pendakwa Raya untuk menggantung keputusan sementara mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan juga telah ditolak Hakim.

“Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Allah yang mengizinkan segala-galanya. Mahkamah Tinggi hari ini mendengar permohonan SPRM untuk melucut hak wang berjumlah RM2.73 juta di dalam akaun Badan Perhubungan UMNO Selangor.

“Saya mewakili Badan Perhubungan UMNO Selangor serta kesemua responden lain iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yakkob, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan, Datuk Johan Abdul Aziz dan Datuk Mohamad Satim Diman.

“Setelah mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya serta hujahan balas saya, Mahkamah telah menolak permohonan SPRM untuk melucut hak wang tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: SPRM sahkan penahanan, wang RM1.2 juta dirampas dari proksi bekas menteri

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan SPRM melucut hak wang berjumlah RM2.73 juta yang disita daripada UMNO Selangor.

Dalam penghakiman seperti dipetik Bernama, Muhammad Jamil berkata, mahkamah mendapati pemohon gagal membuktikan wang disita adalah hasil daripada aktiviti haram, selain wang yang dikatakan diterima daripada Najib sudah lama habis digunakan.

“Pihak pemohon juga tidak mencabar akaun dan penyataan dikemukakan dalam afidavit responden. Mahkamah mendapati pemohon gagal membuktikan wang disita adalah hasil daripada aktiviti haram. Oleh itu, permohonan pemohon ditolak,” katanya.

Pada prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim, manakala Hasnal Rezua dan Muzzammil Merican mewakili Badan Perhubungan UMNO Selangor.

Permohonan lucut hak itu difailkan pendakwa raya terhadap UMNO Selangor mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram