Itulah rezeki, datangnya tanpa diduga

0
294
itulah rezeki datangnya tanpa diduga
Sekadar gambar hiasan

Itulah rezeki, datangnya tanpa diduga. Yang bulat datang bergolek, yang pipih datang melayang. Semudah itukah rezeki datang ke pangkuan tanpa perlu dicari? Sukar untuk mengerti. Ada kala rezeki itu mengalir deras bagai air bah yang payah untuk dihalang.

Dengan usaha sedikit saja dan tanpa memeras otak, pekerjaan yang dilakukan menghasilkan keuntungan yang bukan sedikit. Ibaratnya jalan ke kiri dapat duit, pusing ke kanan untung sudah menanti. Kemudian menoleh ke belakang rezeki datang melulu. Tanpa usaha yang keras, begitu senang datangnya rezeki. 

Sebaliknya, ada juga bersusah payah mencari rezeki, membanting tulang, kuat berusaha, lelah fikiran memikirkan  untuk menambah lagi pendapatan dan habis tenaga untuk bekerja tapi hasil yang diperoleh hanya sedikit. Hampa bukan?

Firman Allah di dalam surah Al-Ankabut, ayat 62 bermaksud,

Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan antara hamba-hamba-Nya dan menyempitkan (rezeki itu) baginya;sesungguhnya  Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”

Itulah firman Allah yang telah menerangkan dengan jelas dan nyata tentang persoalan rezeki. Pemegang segala rezeki  semua makhluk di muka bumi ini adalah Dia (Allah). Jika berusaha keras dan membanting tulang namun masih belum berhasil, tentu saja ada hikmahnya. Hanya Allah saja yang Maha Mengetahuinya.

Di bawah ini dibawakan kisah yang menceritakan tentang persoalan rezeki itu.  Kisah itu dipetik dari buku Bebas Dari Belenggu yang ditulis oleh Dr. Azhar Sarip. semoga kisah ini menjadi pedoman pada kita. 

Kisahnya begini.  Di dalam sebuah kampung pedalaman di Pulau Jawa  tinggal seorang wanita tua yang kerjanya membuat tempe. Wanita itu kuat beribadat dan berusaha mencari rezeki untuk menampung kehidupannya. Pagi itu juga sama seperti pagi-pagi yang lain, wanita itu bersiap-siap untuk membawa tempenya ke pasar untuk dijual.

Sebelum berangkat ke pasar, wanita tua itu memeriksa tempenya yang dibungkus dengan daun pisang. Tiba-tiba dia terkejut kerana tempenya masih belum menjadi sepenuhnya. Kacang-kacang soya yang ditapai masih lagi berderai. Sepatutnya tempe itu sudah masak setelah disimpan semalaman sebagaimana biasa yang dilakukan sebelum ini.

Setelah diperiksa, hatinya menjadi semakin runsing kerana semua tempenya tidak menjadi.  Jika tempe itu tidak dapat dijual bermakna tidak adalah duit untuknya  menyara hidup untuk hari itu.  Namun wanita tua itu tetap yakin, lantas memanjatkan doa  penuh khusyuk agar tempenya masak sewaktu perjalanannya ke pasar.

Tangannya ditadahkan ke langit lalu berdoa,

Ya Allah! aku memohon kepada Mu agar kacang soya ini menjadi tempe. Bantulah aku Ya Allah! Amin.

Kemudian hujung jarinya memicit-micit bungkusan tempe tadi,  masih belum berlaku keajaiban. Tempenya masih belum menjadi lagi. Tapi dia tidak putus asa dan terus berdoa dengan penuh keyakinan kepada Allah. Kali ini doanya lebih jelas dan panjang pula.

Dia berdoa, “Ya Allah! aku tahu bahawa tidak ada yang mustahil bagi Mu. Bantulah aku supaya hari ini aku dapat menjual tempe kerana inilah mata pencarian ku. Aku mohon agar jadikanlah kacang soya ku ini kepada tempe, Ya Allah. Amin.

Kali ini dia yakin bahawa doanya cukup terang dan akan dimakbulkan. Jarinya memicit bungkusan tempe itu. Dia berdebar-debar kerana tempenya  masih belum menjadi juga. Tapi, fikirannya tetap positif bahawa Allah akan makbulkan doanya ketika dia berjalan menuju ke pasar. Dia tidak pernah pun kecewa kerana Allah Maha Mengetahuinya dan akan membantunya. Segalanya diserahkan kepada Allah dan yakin keajaiban akan berlaku.

Sepanjang perjalanan ke pasar dia tidak pernah putus berdoa agar Allah memberikan jalan penyelesaian kepada tempenya yang tidak menjadi. Dia tahu pasti ada keajaiban yang akan berlaku.

Sesampainya di pasar dia meletakan bakul yang penuh dengan tempe di atas meja. Penuh debaran dia membuka bakul lalu jarinya menekan setiap bungkus tempe yang ada. Perlahan-lahan dibuka sedikit bungkusan tempe. Air mukanya segera berubah kerana tempenya masih lagi tidak jadi seperti yang diharapkan.

Wanita itu terus merasakan Allah tidak berlaku adil dan tidak kasihan padanya yang sudah tua. Jika tempe tidak terjual bermakna tidak adalah duit untuk bekalannya hari itu. Dia terhenyak ke bangku dan bungkam memikirkan nasibnya. Sudah pasti tidak ada siapa yang mahu tempenya yang hanya separuh menjadi. 

Waktu berlalu hari sudah semakin petang, pasar makin lenggang. Teman-teman di sebelahnya sudah berkemas untuk balik kerana tempe masing-masing sudah habis dijual. Wanita tua itu terus berdoa dan menaruh penuh keyakinan kepada Allah, pasti akan datang pertolongan.

Dia berdoa lagi, “Ya Allah! berikanlah penyelesaian terbaik terhadap tempe ku yang belum menjadi ini.”

Belum sempat doanya habis dia ditegur oleh seorang wanita muda. “Maaf ya , saya ingin bertanya sama ada makcik ada menjual tempe yang belum menjadi? Dari tadi saya mencarinya di sekeliling pasar tapi tidak ada.”

Berdoalah sepenuh hati pasti Allah kabulkan doamu

Wanita tua itu seakan tidak percaya kerana selama dia berniaga di pasar belum pernah ada orang mencari tempe yang belum jadi.  Sekali lagi dia berdoa agar tempe miliknya itu masih belum menjadi seperti mula-mula dia datang tadi.

Perlahan-lahan jarinya membuka bungkusan tempe itu. Alhamdulillah… tempe-tempenya masih belum menjadi.  Allah menjawab doanya dengan cara yang berbeza tanpa difikirkan itu kesudahannya kepada tempenya yang belum jadi itu.

Tempe-tempe yang belum sepenuh menjadi itu habis diborong oleh wanita muda untuk dihantar ke England bagi memenuhi hasrat anak-anaknya yang teringin tempe di perantauan.

Moralnya rezeki yang datang tidak terduga dan di luar keterbatasan akal manusia kerana Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya.

_______________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram