PELAKON Sari Yanti yang juga isteri kepada pelawak Jep Sepahtu mengesahkan dirinya sedang berbadan dua.

Namun begitu, pelakon drama Inayah ini tidak memperincikan usia kehamilannya.

Perkara berkenaan dikongsikan sendiri oleh Sari atau nama sebenarnya Sari Yanti Mohamad Nazari ketika menjawab semua persoalan yang ditanyakan oleh peminatnya di Instagram Story.

“Lebih daripada 50 % soalan ini. Iya betul kakak Sari mengandung (pregnant). Alhamdulillah,” jawabnya.

Dedah Sari, ini merupakan kandungannya yang ketujuh selepas dua kali keguguran.

Malah, jelas Sari lagi, sepanjang kehamilan ini, dia tidak mengambil suplemen tambahan selain yang dibekalkan oleh doktor.

“Ini kehamilan ketujuh sebenarnya. Saya hanya ambil vitamin yang doktor bagi sahaja, lain tak ambil,” jelasnya.

Terdahulu, penampilan Sari yang bergambar bersama pelakon Scha Alyahya di Instagram baru-baru ini menimbulkan teka-teki mengenai perutnya yang kelihatan sedang mengandung.

Untuk info, Sari mendirikan rumah tangga kali kedua dengan Jep pada Februari 2017 dan memiliki dua cahaya mata, Dariya Inara,3, dan Muhammad Khidir,sembilan bulan.

Menerusi perkahwinan pertama, Sari dikurniakan dua orang anak lelaki Barr Al Aliy dan Baasit Al Haq.

Jom join channel Telegram UtusanTV untuk ikuti berita terkini dan sensasi