Tuah yang datang dari sisa kotoran

0
159

Kadang kala tuah kejayaan itu datang secara tidak sengaja, seperti yang berlaku kepada William Henry Perkin dari Shadwell, London.

Pada tahun 1856, Perkin yang berusia 18 tahun bekerja sebagai pembantu ahli kimia. Disebabkan minat yang mendalam dalam sesuatu kajian, dia selalu menghabiskan waktu cutinya untuk menjalankan eksperimen di dalam makmal kecil di rumahnya.

William Henry Perkin sewaktu muda.

Perkin bercadang menghasilkan kimia kuinin daripada tar arang. Pada waktu itu, kuinin banyak digunakan dalam bidang perubatan sebagai ubat oleh doktor bagi merawat penyakit malaria, salah satu wabak penyakit yang banyak menyerang manusia ketika itu.

Permintaan bahan ini terlalu tinggi tetapi ia hanya boleh diperoleh daripada pokok kuinin sahaja. Perkin terfikir jika dia boleh menghasilkan sesuatu yang sama dari tar arang, ubat ini akan lebih mudah didapati.

Perkin mencampurkan tar arang dengan beberapa bahan kimia di dalam tabung uji, tetapi tidak satu pun daripada hasil campuran itu menyamai kuinin. Walaupun kecewa dengan hasil eksperimennya, dia tetap meneruskan uji kaji.

Suatu hari ketika melalui balang-balang kaca yang di dalamnya masih terisi sisa tar arang dan bahan kimia dari kajiannya, matanya tertarik pada sebuah balang. Dia mendapati dalam balang itu ada satu sisa pekat dan hitam. Apabila Perkin mencampurkan alkohol ke dalam balang itu berisi kotoran yang melekat itu, ia larut dan terhasillah cecair berwarna ungu.

Perkin tertarik dengan warna yang terhasil sehingga terlupa tujuan asal kajiannya untuk mencari kuinin. Dia kemudian menguji cecair berwarna ungu tersebut dan mendapati cecair tersebut mempunyai semua sifat pewarna. Beliau kemudiannya menamakan penemuannya itu dengan nama merah senduduk.

Kain silk yang diwarnakan oleh William Perkin pada 1860.

Penemuan ini pada awalnya tidaklah sebenar mana dan tidak memberi impak pun pada hidup Perkin. Tetapi tuah menyebelahinya. Kebetulan semasa penemuan cecair berwarna ungu itu, satu trend baju berwarna sedang mula merebak di Eropah. Trend ini dibawa oleh Maharani Eugenie dari Perancis.

Gaun terawal diwarnakan dengan pewarna sintetik hasil penemuan William Perkin.

Ketika itu, penggunaan warna agak terhad terhadap golongan bangsawan sahaja. Ini kerana kos untuk mewarnai fabrik agak mahal disebabkan pewarna ini datang daripada alam semula jadi seperti bunga dan buah beri.

Waktu ini Perkin terfikir hasil penemuannya ini akan membuatkan beliau menjadi hebat. Dia boleh membekalkan pewarna sintetik ungu ini dengan jumlah banyak. Lantas beliau memujuk bapa dan abangnya untuk menolong menghasilkan cecair ini dalam kuantiti yang banyak di kilang yang akan mereka bangunkan.

Dalam beberapa bulan, kilangnya berjaya mengeluarkan cecair ini dalam kuantiti yang banyak bagi memenuhi permintaan pelanggan. Serta merta hidup Perkin juga berubah.

Adakah kejayaan ini datang secara kebetulan atau berlaku kerana tuah?

William Henry Perkin.

Sebenarnya, kejayaan Perkin terhasil kerana sifat ingin tahu yang ada dalam dirinya hatta terhadap sisa bahan buangan. Bayangkan jika dia mengabaikan sisa hitam dalam balang tersebut, kejayaan penemuan pewarna itu tidak akan berjaya.

Hasil minat yang mendalam dan sifat ingin tahu Perkin telah membawa perubahan terhadap industri pewarnaan dengan pelbagai warna lagi dihasilkan. Kini warna boleh didapati dengan mudah, dengan pelbagai pilihan, harga lebih murah dan cara yang lebih cepat.

Medal Perkin.

Atas jasa beliau, Medal Perkin diwujudkan sebagai penghargaan tertinggi di dunia oleh Industri Kimia Amerika Syarikat.

__________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram.