Zarina Anjoulie berjaya dapatkan perintah bela diri kes saman fitnah, Fara Mendoza belum menang

0
935
zarina anjoulie

Mahkamah Tinggi Negeri Sembilan membenarkan permohonan yang dikemukakan oleh Zarina Anjoulie untuk membatalkan penghakiman yang dimasukkan oleh Nurfaralinah Md Yunus atau Fara Mendoza berhubung dakwaan yang pelakon itu memfitnah dirinya.

Siginifikasi kemenangan Zarina ialah keputusan tersebut memberi peluang kepada beliau untuk membela diri secara adil dan saksama di hadapan hakim. Setelah berjaya mengenepikan penghakiman ingkar bagi kes tersebut, maka Zarina boleh memfailkan pembelaan dan membuat tuntutan balas serta melalui perbicaraan penuh.

Menurut peguam Nurul Hafidzah Hassan daripada NHA Advocates And Solicitors, Zarina tetap dengan pendiriannya tidak pernah melemparkan tuduhan fitnah terhadap Fara.

“Anak guam saya menafikan segala tuduhan dan tidak pernah memfitnah Fara.

“Kami akan memastikan dia akan memenangi kes ini,” kata Nurul Hafidzah.

Terdahulu, Fara memfailkan saman pada bulan Januari tahun lalu dan media melaporkan yang beliau telah menang saman tersebut pada 5 Jun 2020.

Berikutan laporan berita itu, Zarina telah memfailkan permohonan membatalkan penghakiman di Mahkamah Tinggi Seremban pada 24 Jun 2020 dan seterusnya memberi pencerahan serta menyangkal berita yang dilaporkan.

“Zarina telah menerangkan bahawa kes saman itu masih berjalan, dia tidak kalah kes tersebut dan ianya baru saja bermula.

“Penghakiman tersebut dimasukkan kerana Zarina mendakwa dia tidak menerima salinan saman secara peribadi dan menyangkakan peguam terdahulunya telah membela nasib usahawan media sosial itu.

“Zarina menyangkakan peguam yang dilantik terdahulu telah melindungi haknya dan mengusahakan untuk memenangi kes tuntutan fitnah tersebut sehinggalah berita kemenangan Fara itu diterbitkan oleh pihak media pada 5 Jun tahun lalu.

“Apabila Zarina menghubungi peguam tersebut, ahli keluarga peguam itu telah memaklumkan bahawa peguamnya diserang strok dan firma guaman telah pun ditutup beberapa bulan,” jelasnya lagi.

Jom join channel Telegram UtusanTV untuk ikuti berita terkini dan sensasi