KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi digesa menjelaskan kepada ahli-ahli UMNO adakah beliau sudah mengutuskan surat kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi memaklumkan UMNO tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Ketika membuat gesaan itu melalui Facebooknya, Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau difahamkan dalam surat bertarikh 26 Februari itu, Presiden UMNO tersebut memaklumkan, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang bermesyuarat pada 19 Februari di Janda Baik, Pahang memutuskan tidak ada kerjasama dengan Bersatu dalam PRU-15 dan kebersamaan UMNO dalam kerajaan hanyalah sehingga Parlimen dibubarkan.

‘’Sebagai ahli kita berhak mengetahui apakah berita ini benar. Jika benar, kenapa ahli tidak diberitahu mengenai tindakan tersebut. Ahli juga perlu tahu, apakah benar dua perkara tersebut sememangnya diputuskan oleh mesyuarat MKT.

‘’Jika benar tentu ahli mahu tahu, rasional keputusan itu dibuat sekarang, sedangkan pilihan raya tak tahu bila. Banyak persoalan yang timbul. Kenapa sudah diputuskan tidak bekerjasama sekarang, sedangkan ada usul usul sedemikian yang perlu dibawa ke Perhimpunan Agung terlebih dahulu. Mengapa mendahului PAU?,’’ katanya.

Annuar yang juga bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) turut menimbulkan persoalan jika benar keberadaan UMNO dalam kerajaan hanya sehingga Parlimen dibubarkan, adakah ia bermaksud parti itu tidak akan terlibat sebagai ‘caretaker government sepanjang tarikh pembubaran hingga pilihan raya umum diadakan.

‘’Tidakkah tindakan yang dibuat dalam keadaan tarikh PRU belum diputuskan, memberi disadvantage kepada UMNO kerana sudah tentu pihak kerajaan, khususnya Bersatu mungkin tidak lagi memberi kerjasama kepada pemimpin UMNO yang sudah mengambil pendirian menentang atau menolak Bersatu,’’ katanya.

Beliau mempersoalkan, tidakkah tindakan tidak bekerjasama dengan Bersatu bererti tidak bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) yang turut dianggotai Pas, Gerakan, PBS, STAR dan lain-lain.

‘’Apakah tindakan itu menguatkan atau melemahkan parti. Ahli juga (pasti) mahu tahu UMNO akan bekerjasama dengan siapa. PKR dan Anwar? DAP dan Lim Kit Siang? Jajaran baru? Apakah keputusan ini sudah diterima oleh Dewan Tertinggi BN, sedangkan dalam PRU kita bertanding atas nama BN?,’’ katanya.

Annuar berkata, ahli-ahli akar umbi sudah lama menunggu penjelasan pemimpin memandangkan mereka berada dalam kekaburan kerana tidak mengetahui ke mana hala tuju parti.

‘’Jika keputusan benar dibuat,usah bersembunyi.Beranilah berterus terang dengan ahli. Beritahulah pada ahli dan akar umbi, kita tunggu penjelasan terhadap perkara-perkara ini,’’ tegas beliau.