Ketua Polis Daerah (OCPD) antara 31 warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang ditukarkan kerana disyaki terlibat dalam Macau Scam dan perjudian dalam talian.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya berkata, mereka masih lagi bertugas namun telah ditukarkan ke jabatan lain sementara menunggu keputusan hukuman terhadap mereka.

“Seperti OCPD (Ketua Polis Daerah) misalnya telah ditukarkan, ada yang ke KDN (Kementerian Dalam Negeri) dan ada yang ke tempat atau jabatan lain.

“Itu merupakan langkah sementara untuk kami mudah melakukan siasatan (terhadap mereka),” katanya kepada BERNAMA hari ini.

Beliau berkata, siasatan berhubung kes berkenaan telah selesai dan bagi tindakan dan hukuman sebenar terhadap mereka terbabit kelak akan diputuskan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) yang bersidang bagi meneliti bukti-bukti yang ada untuk dijatuhkan hukuman.

Zamri berkata peranan JIPS hanya melakukan siasatan dan bukannya menjatuh hukuman terhadap pegawai dan anggota polis yang didapati bersalah.

“JIPS hanya menyiasat dan apabila habis siasatan, maka kami akan rujuk ke Ketua Polis Negara (Tan Sri Abdul Hamid Bador) sebelum dihantar ke SPP untuk bersidang bagi menentukan keputusan hukuman.

“Antara tindakan atau hukuman yang akan dikenakan terhadap mereka ialah buang kerja dan turun pangkat dan setakat ini, tiada lagi pegawai atau anggota yang disyaki terlibat selain 31 orang ini,” katanya.

Zamri Yahya

Sebelum ini, media melaporkan dua lelaki ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Oktober 2020 selepas didapati menjalankan kegiatan jenayah yang menyasarkan mangsa di China selain bekerjasama dengan kartel penipuan di luar negara.

SPRM turut menahan serta menyoal siasat beberapa selebriti terkenal, pegawai dan anggota polis berkenaan sindiket terbabit.

Baca artikel berkaitan: ‘Macau Scam’ menyamar dari LHDN, guru ditipu RM115,000

Amaran KPN: Polis rasuah, lindungi penjenayah akan dibuang kerja

JIPS) Bukit Aman pada Disember lalu memaklumkan seorang pegawai kanannya berpangkat Deputi Komisioner (DCP) turut disiasat kerana dipercayai terbabit dengan sindiket judi dalam talian didalangi Addy Kanna.

Menurut Zamri, jumlah itu termasuk seorang pegawai berpangkat inspektor yang dipercayai memiliki wang simpanan dalam akaun berjumlah RM1 juta.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram