Oleh: ZULKARNAIN ZAKARIA, UTUSANTV

Salah satu tugas penting seorang wartawan ialah mendapatkan story pasca mesyuarat kabinet (post cabinet meeting) pada setiap petang hari Rabu. Mesyuarat kabinet berlangsung pada sebelah pagi, dipengerusikan oleh Perdana Menteri. Ketika itulah dibincang serta diputuskan setiap dasar serta isu-isu bersangkutan setiap kementerian. Petang, setiap menteri akan mengumumkannya kepada kami para wartawan di pejabat masing-masing.

Itulah salah satu tugasan saya dahulu semasa menjadi wartawan Meja Am di akhbar Utusan Malaysia pada 1994 – 1996. Selalunya saya ditugaskan ke Kementerian Penerangan, Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Perdana Menteri (Pusat Islam).

Seingat saya pada 1994, saya untuk pertama kalinya telah ditugaskan ke Angkasapuri untuk mengambil story post cabinet meeting dari Menteri Penerangan, Datuk Mohamed Rahmat, atau lebih dikenali dengan nama Tok Mat.

Adoii… apabila dengar saja nama Tok Mat, saya rasa macam malas nak pergi. Alahai, dah tak ada kementerian lain ke nak hantar saya assignment?

Di dalam fikiran saya sepontan terngiang bermacam-macam gelaran yang diberikan kepada Tok Mat. Ini ekoran karier politik Tok Mat yang tenggelam timbul, sebelum Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad (sekarang Tun) membawa beliau masuk semula ke dalam kabinet dan melantiknya sebagai Setiausaha Agung Umno.

Kejayaan paling besar Tok Mat ialah menjadi tulanģ belakang kejayaan program Setia Bersama Rakyat (Semarak) semasa berlakunya pertarungan antara  Mahathir (Umno) dengan Tengku Razaleigh Hamzah (Semangat 46) pada pertengahan 1980an.

Sifat setia beliau kepada Mahathir inilah antara punca menyebabkan pelbagai gelaran diberikan kepada Tok Mat. Kebanyakan gelaran itu bukanlah positif.

Sebagai wartawan baru, yang belum setahun berkhidmat dengan Utusan dan belum pernah pun bertemu dengan Tok Mat, sedikit sebanyak gelaran serta imej-imej yang tidak positif itu mempengaruhi persepsi saya kepada beliau. Gaya bercakap Tok Mat yang seperti pembaca berita, sering membuat saya ketawa.

Oleh kerana itu, terus-terang saya katakan, sewaktu menunggu Tok Mat muncul untuk memberi sidang medianya di bangunan kayu Angkasapuri, persepsi-persepsi kurang baik tadi bermain-main di dalam fikiran.

Satu daripadanya, dan yang paling besar ialah : `Kenapalah Mahathir lantik Tok Mat jadi Menteri? Istimewa sangatkah Tok Mat ni?’

WARTAWAN kian ramai menanti, sebàhagian besarnya senior. Saya masih ingat dengan jelas, antara wartawan yang ada pada petang itu ialah Rosmin Darus (Berita Harian), Nizam (The Star) serta Azman Hashim (Bernama). Saya yang paling junior. Terasa kekok ada, malu pun ada.

Mereka berbual mesra, tetapi saya diam saja kerana belum berapa kenal dengan mereka. Lagipun waktu itu fikiran saya lebih kepada menanti bagaimanalah rupanya Tok Mat nanti. Tentu bosan dibuatnya. 

Hampir sejam menunggu, pukul 3.00 petang Tok Mat pun muncul dari biliknya. Beliau memandang kami di ruang menunggu dan terus buat muka terkejut.

“Hah… dah lama tunggu?” Tok Mat bertanya.

“Dah sejam, Tok,” jawab Nizam.

Tok Mat buat-buat muka boring pula. “Tak payah lah… hari ni tak ada cerita. Kau orang baliklah…”

Hahaha.. wartawan-wartawan senior ini terus tergelak. “Alah Tok.. takkan tak ada apa-apa masa mesyuarat kabinet tadi. Pasal Umno ke…” Azman pula bertanya.

Heheheh… Tok Mat tersengih. Matanya yang kecil itu saya tengok menjadi sepet. Mukanya yang bulat serta-merta nampak berseri kerana seronok dapat menyakat wartawan.

“Okeylah… tapi nanti kejap, aku nak hisap rokok,” kata Tok Mat sambil buat muka eksyen pula. Hahaha… saya pun terus tergelak melihat gelagat Tok Mat.

Saya perhatikan beliau berjalan sambil sebelah tangan menyeluk seluar slacknya yang mempunyai dua poket melintang di bahagian hadapan. Gaya potongan 1960an. Kuat betul minat Tok Mat dengan pop yeh yeh, kata saya di dalam hati.

Lebih kurang lima minit merokok, Tok Mat masuk semula dan kemudian duduk di kerusinya. Kami cepat-cepat letak perakam suara, keluarkan buku nota dan pen, manakala krew Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) serta TV3 bersiap dengan kamera masing-masing.

Semasa menunggu semuanya siap sedia, Tok Mat terus berbual, mengusik dan berlawak dengan kami. Beliau menggunakan ganti nama ‘Engkau’ dan ‘Aku’ saja menyebabkan suasana menjadi sungguh santai dan lucu. Tergelak kami semua dengan cerita serta usikan beliau.

Akhirnya apabila semua sudah bersedia, suasana serta-merta bertukar sunyi. Serius. Diam.

“Okey Tok… siap. Boleh mula,” kata wartawan RTM.

Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat ketika majlis makan malam ketika beliau melawat Singapura, pada 1991.

Demi mendengar saja perkataan ‘Siap’, maka Tok Mat pun memulakan sidang medianya, dengan gaya bercakap seperti pembaca berita. Apabila dengar Tok Mat menukar gaya dan intonasi suaranya itu, saya terus mengetap bibir. Saya tahan  ketawa.

Tadi Tok Mat melawak, sekarang automatik beliau jadi serius, seperti Harjit Singh Hullon dan Mustaza Maah sedang membaca berita. Ditambah pula dengan suara Tok Mat yang serak-serak basah, cara beliau itu kelihatan sangat unik.    

Selesai saja cerita tentang Kementerian Penerangan, kami tanya pula tentang  UMNO. Selesai isu UMNO, kami beri soalan susulan (follow-up) isu-isu berkaitan kementerian, kerajaan dan politik.  

Tok Mat bercakap tidak berhent: Kami tanya, beliau jawab. Kami tanya, beliau jawab. Saya pula sebelum datang sudah membaca fail rujukan terlebih dahulu, maka bermacam-macam soalan yang saya tanyakan petang itu.

Salah satu yang saya ingat ialah berkaitan syarikat televisyen satelit yang mempunyai berpuluh-puluh saluran, yang dirancang akan memulakan operasinya beberapa tahun lagi (kemudiannya Astro).

Selesai sahaja sidang media, Tok Mat bercakap seperti biasa semula. Aku, engkau dan membuat lawak, ketawa sampai mata jadi sepet. Selepas itu hisap rokok.