vaksin ditempah
MALAYSIA telah melaksanakan program imunisasi COVID-19 di seluruh negara.- GAMBAR: Abd Razak Aid

Tiada isu bekalan tidak mencukupi kerana Malaysia menempah vaksin COVID-19 kira-kira 108 peratus daripada jumlah penduduk.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim, berkata orang ramai tidak perlu bimbang kerana jumlah mencukupi untuk semua orang.

“Nasihat saya kepada seluruh rakyat Malaysia sekarang, sila mendaftar dengan aplikasi MySejahtera. Sebab program vaksin yang kita sediakan mencukupi untuk semua orang.

“Dari segi giliran, sebarang kegiatan potong barisan kita tidak benarkan, (termasuk mereka) yang tidak tergolong dalam senarai ‘frontliners’ (barisan hadapan).

“Kita tidak benarkan dan (perkara ini) boleh diadukan,” katanya selepas Majlis Pelancaran Aplikasi MyCar 3.0 di ibu negara seperti dilapor BERNAMA hari ini.

Sementara itu, Ahmad Amzad berkata, Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga memberi jaminan tidak akan berlaku gangguan bekalan elektrik yang boleh memberi kesan kepada penyimpanan vaksin COVID-19, terutamanya Pfizer-BioNTech, yang memerlukan suhu -70 darjah Celcius.

Beliau berkata, perbincangan dengan TNB dijalankan minggu lalu bagi memastikan mereka mempunyai pelan gantian supaya tidak berlaku gangguan kepada bekalan elektrik.

“Kita tidak mahu apa yang berlaku di Jepun. 1,000 dos terpaksa dibuang begitu sahaja disebabkan pada hujung minggu lepas, tiba-tiba bekalan elektrik terputus. Semua ini telah diambil kira dan insya-Allah, kita harap perkara itu tidak berlaku dan kita telah mengambil langkah yang perlu.

“TNB telah memberikan senarai khusus nama pegawai yang akan ditugaskan di setiap tempat sekiranya berlaku apa-apa gangguan dari segi bekalan,” katanya.

Baca artikel berkaitan: “Pfizer barang baik, tapi saya akan ambil vaksin lain untuk beri contoh”

Vaksinasi bersejarah bermula, Muhyiddin selesai disuntik dos pertama

Dalam perkembangan lain, timbalan menteri itu berkata organisasi media boleh menghantar permohonan kepada kerajaan untuk memasukkan pengamal media dalam kategori petugas barisan hadapan fasa satu.

Beliau berkata, perkara itu dibincangkan pada peringkat jawatankuasa Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dan keputusan berkenaan perkara itu akan diumumkan nanti.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kamidi FacebookTwitterInstagram & Telegram