Kerajaan Melayu dahulukala mengenakan hukuman bunuh bagi kesalahan berat seperti kesalahan menderhaka kepada Raja dan pemerintah. Salah satu senjata yang digunakan bagi melaksanakan hukum bunuh ini ialah keris penyalang.

Keris penyalang atau juga dikenali sebagai keris alang adalah sejenis keris kuasa. Ia tidak digunakan untuk bertarung, tetapi lebih merupakan simbol kuasa dan autoriti kerajaan beraja. Keris ini digunakan untuk menjalankan hukuman bunuh terhadap penjenayah berat. Keris ini tidak dipakai bersama busana, tetapi dipegang dengan menggunakan tangan.

Kering alang yang digunakan dalam hukuman bunuh pada zaman dahulu.

Pesalah akan didudukkan secara melutut dengan tangannya diikat ke belakang dan algojo akan berdiri di belakangnya. Keris ini akan dihunus dan ditikam antara celah tulang selangka sebelah kiri pesalah, lalu ditekan terus dan sedikit menyerong ke kanan. Keris dengan bilah yang panjang ini akan terus menembusi jantung pesalah dan menyebabkan kematian serta-merta.

Hukuman salang.

Apabila keris ditarik keluar, secebis kapas akan diletakkan di tempat tusukan keris dan darah yang keluar dikesat dengan kapas tadi. Hukuman bunuh dengan cara ini sangat cepat, berkesan dan bersih kerana tidak banyak mengeluarkan darah. Dengan cara ini, jasad pesalah kekal sempurna dan lebih mudah diuruskan.

Bagi pengembara Eropah yang tiba di Kepulauan Melayu sekitar abad ke-16, hukuman menyalang ini sangat asing bagi mereka. Ini kerana hukuman berat di Eropah ketika itu biasanya dijalankan dengan cara yang kejam, bagi memberi pengajaran dan menakut-nakutkan orang ramai. Biasanya pesalah kesalahan berat akan dipenggal kepala, atau disiksa dengan kejam sehingga mati. Hukuman seperti itu sangat mengerikan dan tiada belas kasihan.

Mengikut catatan sejarah, kerajaan Melaka di bawah pemerintahan Sultan Mahmud Shah (Sultan Melaka terakhir) pada awal abad ke-16 mengenakan hukuman salang ini ke atas Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir dan keluarganya.

Buku Wilfrid Walker.

Manakala catatan oleh pengembara Inggeris pada abad ke-19, H. Wilfrid Walker di dalam bukunya bertajuk Wandering Among South Sea Savages and in Borneo and The Philippines juga mengatakan, kaedah hukuman menyalang ini biasa diamalkan oleh kerajaan Melayu, termasuk juga orang Melayu di Sarawak.

Hukuman menyalang ini tidak boleh dilaksanakan tanpa kefahaman teknikal terhadap anatomi manusia, dan juga penciptaan alat yang sesuai. Seorang algojo yang akan melaksanakan hukuman ini perlu mengetahui dengan tepat tempat untuk menikam, bagi memastikan kerisnya menusuk terus hingga ke jantung. Sebarang kesilapan akan mengakibatkan penyiksaan terhadap pesalah, dan mungkin tidak mengakibatkan kematian serta-merta seperti yang sepatutnya.

Alat yang digunakan juga mestilah cukup panjang, tajam dan teguh untuk menikam sehingga menembusi jantung pesalah. Dari situlah dapat disimpulkan kebijaksanaan orang-orang Melayu terdahulu, di mana hukuman bunuh juga dilakukan penuh adab dan berperikemanusiaan. Hanya mereka yang benar-benar layak boleh memiliki keris alang dan melaksanakan hukuman sebegini.

Bagi memenuhi fungsinya sebagai keris untuk menjalankan hukuman menyalang, keris alang atau penyalang mestilah mempunyai bilah yang lurus dan kuat. Oleh itu, keris alang biasanya diperbuat daripada besi sebatang, tanpa pamor dan dibuat lurus tanpa luk (bahagian berlekuk pada bilah keris).

Bilah lurus membolehkan keris ditusuk terus hingga mengenai jantung pesalah. Panjang bilah keris alang biasanya dibuat antara 19 hingga 27 inci, bagi memastikan ia dapat ditusuk hingga menembusi jantung, dan dikeluarkan semula tanpa mengakibatkan luka parah.

Keris alang dibbuat lurus tanpa luk.

Pesalah yang disalang akan mati serta-merta kerana kegagalan jantung. Pendarahan juga lebih kepada pendarahan dalaman, dan darah tidak menyembur dengan banyak kerana kedudukan tikaman pada bahagian atas jantung.

Oleh kerana fungsinya sebagai keris hukum dan lambang kuasa, keris alang biasanya menggunakan pakaian dan hiasan khas dan tidak sama dengan keris yang digunakan untuk bertarung. Pakaian bagi keris merujuk kepada sarung, hulu, sampir dan pendokok yang merupakan pelengkap bagi sebilah keris.

Keris ini turut menggunakan sampir berbentuk bulan sabit, dan dipakaikan hulu mengikut citarasa kedaerahan atau negeri. Sebagai lambang kuasa, keris alang adalah anugerah daripada Raja, dan tidak semua orang boleh memilikinya.

Dalam sistem pemerintahan moden hari ini,  keris alang tidak lagi digunakan dalam hukuman bunuh. Namun, ia masih dikekalkan sebagai antara alat kebesaran Raja bagi sesebuah negeri atau negara. 

______________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram.